TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta menjelaskan dakwaan sebuah parti pembangkang kononnya ada usaha daripada jabatan itu mendaftar pendatang tanpa izin (PATI) sebagai warga negara di Kalabakan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, berkata penjelasan dan siasatan itu perlu memandangkan beliau sendiri ada menerima aduan kononnya usaha pendaftaran berkenaan dibuat di Kampung Kalabakan Tengah pada bulan lalu.
Katanya, dakwaan itu sudah menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk dan masyarakat tempatan kerana ia membabitkan pemberian kewarganegaraan kepada penduduk asing yang tidak berkelayakan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Kong Hong Ming yang mendakwa wujudnya usaha mendaftarkan PATI di Kampung Kalabakan Tengah bagi mendapatkan MyKad, seperti yang disiarkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini.
Dalam kenyataan itu, Kong mendakwa ramai PATI dari luar sudah dibawa ke kampung terbabit menggunakan bas dan teksi untuk mendaftar di dalam operasi yang didakwanya dijalankan kakitangan JPN Tawau dan Kota Kinabalu. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment