SEREMBAN: Empat perompak yang dipercayai warganegara Indonesia mati ditembak selepas cuba menyerang polis dengan parang panjang dan pistol jenis revolver di sebuah terowong kecil di bawah Kilometer 276.3 Lebuhraya Utara Selatan di sini, jam 5.20 pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata penjenayah yang memandu kereta Wira Aeroback dengan nombor pendaftaran WJP5728 sebelum itu ditahan pasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Labu.
"Mereka berhenti tetapi apabila anggota kita keluar dari kereta, penjenayah terus memecut ke arah Nilai dan masuk ke jalan kuari sebelum terlanggar tengah terowong dalam ladang Sime Darby," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Polis membalas tembakan menyebabkan keempat-empat lelaki maut di tempat kejadian dan menjumpai dua bilah parang panjang, satu senjata seperti sabit, sepucuk pistol revolver .38 dan satu alat pengumpil," katanya.
Beliau berkata, penjenayah terbabit sengaja mensasarkan perkampungan Melayu di kawasan Labu dan Nilai kerana keadaan rumah yang berjauhan dan terpencil.
"Pada 21 Ogos, 1.45 pagi, mereka menyamun RM5,000 termasuk komputer, telefon dan jam dari sebuah rumah di sini dan 40 minit kemudian merompak RM1,500 dari sebuah lagi rumah penduduk tempatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Mohd Zaki Masroh, berkata seorang pelanggan kedai bistro di Lukut hampir maut apabila perompak yang menggunakan sepucuk pistol yang sudah rosak terlepas tembakan.
"Hasil siasatan kita dapati peluru dalam pistol tersebut sudah berada di dalam 'chamber' terlalu lama mengakibat berlaku 'misfire'," katanya kepada pemberita.
"Polis sedang memburu tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian itu yang menyaksikan kerugian RM40,000 melibatkan wang tunai, jam tangan Rolex dan telefon bimbit milik kedai dan pelanggan," katanya. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment