KUALA LUMPUR, 18 Dis - Kerajaan disaran menggunakan
hubungan kerajaan dengan kerajaan (GTG) dalam pemgambilan pembantu
rumah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ejen yang
mengenakan bayaran terlalu tinggi.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir berkata seharusnya sistem itu diguna pakai kerana hubungan baik antara kedua negara, selain dilihat mampu membanteras elemen rasuah yang mungkin wujud dalam pengambilan pembantu rumah.
"Mungkin melalui 'government to government', mereka boleh datang sebagai pelancong dan mohon untuk menjadi pembantu rumah mengikut prosedur kedua-dua yang ditetapkan kedua-dua negara," katanya kepada Bernama Selasa.
Beliau mengulas mengenai polisi pengambilan pembantu rumah asing yang pada masa ini rumit dan menyusahkan majikan selain menguntungkan hanya orang tengah atau ejen.
Ahad lepas, media melaporkan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar sebagai berkata kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia mungkin dilakukan tanpa melalui agensi seperti sekarang, sebaliknya terus kepada majikan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment