Thursday, March 4, 2010

Rumah Tertuduh Kes Bunuh Muntik Dipecah Masuk, Kata Pegawai Penyiasat

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis diberitahu rumah penjual air tebu, A.Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani telah dipecah masuk semasa tertuduh ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

Pegawai penyiasat ASP Ahmad Tarmudi, 47, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, berkata kejadian itu disedari apabila beliau pergi ke rumah tertuduh di Taman Sentosa, Klang, pada 3 Nov tahun lepas, bersama isteri tertuduh, D.Vanitha, yang juga suspek pada masa itu serta seorang lagi anggota polis wanita.

"Ketika kami sampai di rumah tertuduh, rumah itu telah diceroboh melalui bumbung rumah dan pada masa itu tiada sesiapa di rumah. Barang di dalam rumah berselerak kemungkinan ada suspek lain telah pecah rumah untuk mencuri.

"Saya tahu rumah dipecah masuk berdasarkan kepada kesan pecah melalui siling rumah yang terbuka. Ada laporan polis dibuat oleh saudara mara tertuduh berhubung kejadian itu," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Idham tujuan beliau pergi ke rumah tertuduh, Ahmad berkata beliau ke sana untuk menyiasat tempat kejadian dan untuk mendapatkan dokumen anak tertuduh, M.Thirukumaran.

Terdahulu, saksi ke-50 yang juga saksi terakhir pendakwaan itu berkata beliau telah diarahkan oleh ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang, pemangku DSP Ruslan Ibrahim untuk mengambil alih siasatan kes itu daripada pegawai penyiasat pertama, Inspektor Mohd Azan Radzali pada 26 Okt tahun lepas.

"Semasa dilantik sebagai pegawai penyiasat pada 26 Okt, kenapa awak mengambil masa dari 26 Okt sehingga 3 Nov untuk pergi ke rumah tertuduh?" soal Idham.

"Rumah tertuduh telah dilawati oleh pegawai penyiasat yang asal, Inspektor Mohd Azan dan pakar forensik dari Bukit Aman yang juga telah mengambil beberapa barang kes dari rumah tertuduh. Pada 26 Okt, saya bersama pakar forensik, Dr Norliza Ibrahim menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa sehingga selesai pada pukul 11 malam, hari yang sama. Saya juga terpaksa uruskan penghantaran pulang mayat mangsa ke Indonesia dan perlu mengesan saksi-saksi penting di hospital seperti doktor-doktor yang merawat Muntik untuk diambil keterangan mereka.

"Saya juga perlu menyiasat di kawasan sekitar rumah tertuduh untuk mencari jiran-jiran tertuduh yang boleh memberikan keterangan selain perlu menyiasat rumah majikan lama Muntik. Kesemua perkara itu saya lakukan dari 26 Okt sehingga 3 Nov. Saya juga telah dipanggil oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Peguam Negara untuk menerangkan kedudukan kes ini kepada mereka," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Jumaat. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...