Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 11.45 malam itu terdiri daripada 13 warga China dan lapan warga Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun.
SEBAHAGIAN daripada 21 pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan oleh pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sebuah pusat hiburan di Jalan Burmah, Pulau Pinang, 23 Mac.
"Polis turut merampas kondom yang telah dan masih belum digunakan, wang tunai hasil pelacuran serta resit," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau berkata kesemua wanita itu berjaya ditahan meskipun cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam premis terbabit.
"Tiga lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah manakala wanita pula kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen," katanya.
Wan Abdullah berkata antara kesalahan itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.
Katanya dalam serbuan yang dilakukan oleh Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu, polis turut mengambil keterangan 17 lelaki dipercayai melanggani pelacur di pusat hiburan berkenaan.
"Kesemua yang diambil keterangan itu telah dibebaskan dan siasatan lanjut berhubung aktiviti pelacuran di pusat hiburan berkenaan sedang dijalankan," katanya. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment