JOHOR BAHRU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor kini sedang memburu majikan di seluruh negeri yang tidak berdaftar dengan pertubuhan itu termasuk gagal mendaftar semua pekerjanya menerusi operasi dikenali, Ops Kesan Perkeso, yang dijalankan sepanjang bulan ini.
Timbalan Pengarahnya, Mustafa Draman, berkata Ops Kesan Perkeso yang dijalankan membabitkan lebih 60 anggota Perkeso negeri diketuai beliau, dengan tumpuan syarikat di sekitar Mount Austin, Taman Daya, Pusat Perdagangan Tebrau dan Iskandar Malaysia.
Katanya, kawasan lain ialah Taman Perling, Nusa Indah, Taman Tan Sri Yaakob, Taman Universiti, Pusat Bandar Kota Tinggi serta pusat beli belah sekitar bandaraya.
"Kami percaya wujud sebilangan majikan yang memandang remeh terhadap peraturan yang ditetapkan Perkeso, termasuk syarikat yang beroperasi di sekitar kawasan tumpuan.
"Oleh itu, kita akan turun padang melakukan pengesanan dari pintu ke pintu bagi mengesan majikan yang belum berdaftar dengan pertubuhan di samping tidak mendaftar semua pekerjanya," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment