JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan merampas dua laras senapang angin selepas menahan seorang tekong bersama lima awak-awaknya yang menaiki sebuah bot nelayan di perairan Tanjung Tohor, dekat Batu Pahat, pagi semalam.
Ketua Penguatkuasa Wilayah Selatan Laksamana Pertama, Che Hassan Jusoh, berkata bot laju APMM Kilat 47 yang sedang melakukan rondaan di perairan berkenaan mengesan bot itu yang dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di kedudukan tujuh batu nautika barat Tanjung Tohor, kira-kira jam 4 pagi.
"Pemeriksaan dokumen mendapati tekong bot itu mempunyai dua pengenalan diri (Malaysia/Indonesia), dua awak-awak tidak mempunyai pengenalan diri manakala tiga awak-awak lagi memiliki kad pengenalan penduduk tetap yang meragukan.
Beliau berkata, semua mereka dipercayai menjadi tali barut atau tekong laut penyeludup berikutan penemuan pelbagai khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit mereka yang mengaitkan pengoperasian dan kehadiran penguatkuasaan APMM serta agensi lain di perairan berkenaan.
Che Hassan berkata, semua tekong dan awak-awak dalam lingkungan 39 hingga 51 tahun itu dibawa ke Pangkalan Maritim APMM Wilayah Selatan, Batu Pahat, untuk siasatan lanjut.
"APMM akan sentiasa mempertingkatkan operasi di perairan negara bagi membanteras penyeludupan serta rompakan di laut. Pihak APMM menyedari kewujudan tekong laut yang dan berusaha untuk menanganinya dengan sentiasa melaksanakan operasi pemantauan di lokasi yang dikenalpasti sebagai kawasan pendaratan penyeludupan," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat penyeludupan di perairan ini diminta menghubungi talian hotline APMM di 07-2199401. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment