Wednesday, August 25, 2010

Depoh Sesak

WARGA asing yang ditahan di Depoh Belantik, Kedah terpaksa bersesak berikutan bangunan yang tidak pernah dinaik taraf sejak 1970-an.

Imigresen dedah 10 pusat tahanan daif di seluruh negara


PUTRAJAYA: Daif dan sesak. Itulah keadaan 10 depoh tahanan Imigresen di seluruh negara hingga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pusat berkenaan yang mewarisi bangunan tinggalan pangkalan Unit Kawalan Kawasan (UKK) sejak awal 1970-an.

Depoh berkenaan bukan saja tidak dilengkapi lampu limpah untuk kawalan pada waktu malam serta kamera litar tertutup (CCTV), malah sistem pendawaian elektriknya sudah lama dan ada yang rosak, pagarnya pula tidak pernah diganti sejak 1970-an sebaliknya hanya diperbaiki mengikut keperluan atau kerosakan, manakala tiang sesetengah menara kawalan berkarat dan reput. Kuarters kakitangannya juga amat menyedihkan serta tiada kemudahan.

Keadaan itu berlaku di depoh tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Belantek, Kedah; Lenggeng, Negeri Sembilan; Machap Umboo, Melaka; Tanah Merah, Kelantan; Semuja, Sarawak; Kemayan, Pahang; Langkap, Perak; Juru, Pulau Pinang dan Pekan Nenas, Johor.

Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam, menyusul beberapa kejadian membabitkan tahanan warga asing melarikan diri dari depoh Imigresen.

Terbaru, 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen KLIA, kira-kira jam 3 pagi 2 Ogos lalu selepas memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar. Sebelum ini, pada 27 Mac lalu, 16 warga Afghanistan dan empat Myanmar yang ditahan di depoh yang sama turut melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, Imigresen mempunyai 13 depoh tahanan dengan di Semenyih, Negeri Sembilan sedang dalam pembaikan dan dijangka siap pada Disember ini, manakala Bekenu dan Ajil adalah bangunan baru serta memiliki kemudahan tahanan dan tempat tinggal kakitangan yang lebih baik.

Beliau berkata, 10 depoh yang uzur itu menempatkan kira-kira 7,000 tahanan warga asing dengan sesetengahnya mengalami kesesakan, seperti di Lenggeng yang menempatkan antara 1,400 hingga 1,600 tahanan sepanjang masa berbanding kapasitinya 1,200 tahanan.

Malah, depoh itu turut menempatkan banduan dagang, iaitu pesalah yang selesai menjalani hukuman jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang, selain yang menunggu ditahan reman atau untuk siasatan sebelum dibawa ke mahkamah serta warga asing yang melanggar peraturan Imigresen.

Daripada jumlah tahanan itu, sekitar 4,000 adalah kategori banduan dagang dan kumpulan menunggu ditahan reman - kumpulan yang dianggap berisiko tinggi melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, setiap depoh mempunyai 120 petugas yang mana setiap syif memerlukan 20 kakitangan untuk berkawal.

Mereka menghadapi tugas berat sama ada dari segi keselamatan tahanan serta diri sendiri apabila terpaksa bergantung kepada keadaan infrastruktur yang uzur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menjejaskan piawaian minimum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam mengendalikan tahanan termasuk berkaitan "penahanan selamat" iaitu tahanan tidak boleh mencederakan diri sendiri.

Beliau berkata, Imigresen memerlukan sekitar RM100 juta bagi meningkatkan taraf infrastruktur di semua depoh terbabit.

Katanya, kira-kira RM10 juta diperlukan bagi setiap depoh untuk meningkatkan tahap infrastrukturnya, jumlah yang dilihat wajar kerana pendapatan daripada Imigresen berjumlah sekitar RM3 bilion setahun.

"Akibat infrastruktur yang tidak sempurna, kita juga terpaksa mengehadkan pergerakan tahanan menyebabkan aktiviti pengisian kepada mereka terlalu berkurangan kerana kita tidak mahu mengambil risiko dan ini menyebabkan tekanan kepada tahanan terus bertambah," katanya.

Pengisian kepada tahanan termasuk kegiatan sosial serta kawasan lapang untuk mereka ambil angin, tetapi ia memerlukan infrastruktur keselamatan yang baik terutama pagar dan menara kawalan.

Abdul Rahman berkata, jika ada yang menganggap pusat tahanan warga asing tidak perlu terlalu baik, mereka juga perlu memikirkan risiko kakitangan Imigresen yang bertugas di setiap depoh berkenaan.

Mengenai Depoh Tahanan KLIA, Abdul Rahman berkata, bangunan itu sepatutnya menempatkan warga asing yang transit sementara menunggu pesawat, tetapi bertukar menjadi pusat tahanan kekal selepas Depoh Semenyih ditutup.

Sehingga 31 Mac lalu, Depoh KLIA mempunyai 542 tahanan termasuk mangsa pemerdagangan orang yang diberi perlindungan di blok khas di situ. - Berita Harian

Sunday, August 22, 2010

Pengemis Asing Di Bazar Ramadan Kaut RM300 Sehari


KUALA LUMPUR: Pengemis jalanan di ibu negara terutama di kawasan elit mampu mengutip sehingga RM300 sehari hanya berbekalkan kotak sebagai alas tempat duduk dan bekas kecil di hadapan mereka.

Di merata tempat, pengemis menyasarkan bazar Ramadan sebagai lubuk rezeki dengan pendapatan lebih lumayan berbanding hari biasa.

Sepanjang tinjauan selama tiga jam di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini mendapati, kebanyakan pengemis ialah mereka yang kurang upaya walaupun secara luarannya kelihatan sihat.

Lebih memeranjatkan mereka ialah warga asing yang tidak diketahui statusnya dan tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris.

Setiap lima orang yang melintasi pengemis itu akan menghulur sumbangan wang tunai dan ada juga yang memberi makanan. Tidak disangkal pilihan mengemis di bazar Ramadan berbaloi bagi mereka.

Kebanyakan orang ramai menghulurkan RM1 hingga RM10, tetapi tidak kurang juga yang menghulurkan RM50 menyebabkan pendapatan pengemis mencecah ratusan ringgit sehari.

Ketika ditanya kepada pengunjung yang memberi sumbangan, kebanyakan mengatakan demi keberkatan Ramadan dan simpati.

Kegiatan pengemis itu seolah-olah tidak dipedulikan pihak berkuasa dan mereka semakin bebas meminta sedekah di mana saja. Pihak berkuasa sentiasa memantau bazar Ramadan tetapi kehadiran pengemis tidak diendahkan.

Sumber memberitahu Berita Minggu, ada ketikanya pihak berkuasa sekadar menegur dan menghalau pengemis, tetapi mereka tetap berlegar di kawasan sama. - Berita Harian

Saturday, August 21, 2010

15 GRO Warga China Diberkas

Sebahagian daripada 15 wanita warganegara China yang dipercayai GRO ditahan Polis Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di Pusat Hiburan Karaoke Taman AST, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 20 Ogos - Meskipun sebuah pusat hiburan di Taman AST, dekat ini sudah empat kali diserbu polis, namun pemiliknya langsung tidak gentar malah berlagak kebal.

Apa tidaknya, ketika 'anak ayam belaan' diangkut pihak berkuasa, pemiliknya hanya tersenyum sinis tanpa langsung menunjukkan rasa insaf.

Dalam serbuan itu, seramai 15 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam Ops Noda di sini malam tadi.

Menurut Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Habibi Majinji, serbuan itu bermula pukul 9.20 malam tadi, melibatkan dua pegawai serta 12 anggota.

"Ketika serbuan, kesemua GRO berusia antara 18 dan 46 tahun itu dikatakan cuba menyembunyikan diri dengan memasuki dinding terowong yang disediakan pemilik premis," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Habibi menjelaskan, dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun warga tempatan yang merupakan penjaga pusat hiburan berkenaan.

Jelas beliau, ketika serbuan dilancarkan seramai 17 pelanggan dikatakan sedang berhibur di dalam premis itu.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung bagaimanapun kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Tambah beliau, polis akan mengadakan pemeriksaan lebih kerap di pusat-pusat hiburan di negeri ini yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan itu.

"Kita mengalu-alukan orang ramai supaya bekerjasama dengan memberikan maklumat mengenai kegiatan tersebut atau kehadiran GRO warga asing di sekitar negeri ini," katanya.

Kesemua GRO yang ditahan itu dibawa ke IPD Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan. - UTUSAN

Friday, August 20, 2010

Sembilan Laluan Haram PATI Dikesan

PULAU PINANG 19 Ogos - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 mengesan sembilan laluan yang sering dijadikan jalan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke kampung masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, laluan itu dipercayai akan digunakan sindiket tertentu untuk membawa keluar PATI secara haram dari perairan negara ini.

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti pihaknya adalah di perairan Pelabuhan Kelang, Selangor dan di utara Perak.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan, PATI beragama Islam terutama dari negara jiran Indonesia akan mula bergerak ke luar negara bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kita difahamkan, pada waktu umat Islam sedang sibuk berbuka puasa, kumpulan ini bergerak aktif dan cuba mengambil kesempatan kerana beranggapan ia 'waktu selamat' dan tiada rondaan.

"Justeru, ingin ditegaskan di sini walaupun pada bulan Ramadan, unit risikan dan rondaan kita akan terus beroperasi sepanjang masa siang dan malam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Zainul Abidin mengetuai rondaan cegah jenayah bersama 12 pegawai dan anggotanya di sekitar perairan Pulau Pinang dengan menaiki bot peronda PA 43.

Tambahnya, tumpuan akan diberikan kepada sindiket yang cuba membawa masuk rakyat asing ke negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, pihaknya akan menggandakan operasi dan rondaan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut bagi mengesan PATI yang cuba keluar secara haram.

Jelasnya, rondaan 24 jam setiap hari itu membabitkan 11 bot peronda mengikut giliran di kawasan tanggungjawab PGM Wilayah 1 iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak dan Selangor.

"Selain itu, kita juga akan membuat rondaan melibatkan operasi cegah jenayah di laut dengan memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan barangan kawalan seperti gula dan minyak masak," ujarnya. - Utusan

23 Wanita Warga Asing Tawar Khidmat Seks Diberkas

TIGA anggota polis termasuk seorang anggota wanita memeriksa dua wanita warga asing yang mengalami kecederaan dan hanya mampu terbaring selepas terjun dari tingkap sebuah pusat kesihatan di hotel tiga bintang di Klang, malam kelmarin.

KLANG 19 Ogos – Walaupun pernah diserbu awal tahun ini kerana menawarkan perkhidmatan seks, pemilik spa yang beroperasi di sebuah hotel tiga bintang di sini masih belum serik dan terus menjalankan aktiviti tidak bermoral itu secara sembunyi-sembunyi.

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dihidu pihak polis dan seramai 23 wanita warga asing Indonesia dan China berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun dipercayai tukang urut yang menawarkan khidmat seks diberkas di pusat tersebut dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam tadi.

Semasa serbuan, enam daripada wanita yang cuba melarikan diri mengalami kecederaan akibat terjatuh di atas tempat letak kereta di tingkat lima hotel tersebut.

Sementara seorang lagi wanita ditemui dalam keadaan berbogel bersama seorang pelanggan di atas katil di dalam spa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, turut diberkas dalam serbuan itu ialah dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga spa tersebut, masing-masing berusia 20 dan 46 tahun serta empat pelanggan.

“Akibat cuba melarikan diri, enam daripada wanita yang diberkas cedera di kaki dan bahagian punggung.

“Polis menemui banyak kondom yang sudah digunakan berselerak dalam beberapa bilik khas dipercayai digunakan untuk khidmat seks kepada pelanggan spa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ujar beliau, siasatan awal polis mendapati, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di situ akan meminta pakej urut dalam bilik dan dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 untuk sesi sejam.

Tambahnya, kesemua wanita warga asing yang diberkas di spa tersebut disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...