Friday, July 23, 2010
19 warga asing ditahan
PASIR GUDANG – Seramai 19 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dan rampasan barangan termasuk kerusi dan meja di sita dalam Operasi Bersepadu Bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Pasir Gudang, di sini, malam semalam.
Operasi yang bermula jam 10 malam hingga 1 pagi melibatkan enam pegawai imigresen dari Pejabat Imigresen Pasir Gudang, lima anggota Rela dan 33 anggota penguat kuasa MPPG termasuk Bahagian Kesihatan MPPG.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pasir Gudang, Norazah Jenan berkata, seramai 19 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1999/63 (Pindaan 2002).
Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk tahanan reman selama 14 hari untuk tempoh siasatan.
“Operasi yang dijalankan di sekitar Simpang Kong Kong Masai, Taman Kota Masai, Taman Nusa Damai dan Taman Scientex berjaya menahan 19 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan.
“Tiga warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan kerana menyalahguna pas lawatan sosial, manakala 15 warga Thailand termasuk dua wanita ditahan kerana tinggal lebih masa dan seorang warga Myanmar ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pegawai Tadbir MPPG, Sharif Idros berkata, seramai 10 peniaga dikenakan kompaun sebanyak RM250 manakala enam kedai disita barangan kerusi dan meja dalam operasi melalui pemantauan penguat kuasa MPPG dan maklumat awam.
Menurutnya, MPPG terpaksa mengambil tindakan atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan meletakkan kerusi dan meja di kawasan lot meletak kenderaan tanpa kebenaran MPPG.
“Kita terpaksa merampas buah-buahan di Simpang Kong Kong Masai kerana berniaga di kawasan larangan memandangkan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga mengundang kemalangan.
“Dalam kes rampasan buah-buahan, ia boleh ditebus dalam masa 24 jam, manakala bagi peniaga yang baru pertama kali melakukan kesalahan turut boleh mengambil semula barangan yang dirampas selepas membayar kompaun yang dikenakan,” katanya.
Sharif berkata, operasi seperti itu sebelum ini sering dijalankan dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa melalui kerjasama dengan jabatan kerajaan yang lain. - Sinar
Pusat urut haram: 13 GRO ditahan
Serbuan dilakukan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketika diserbu, terdapat empat pelanggan sedang diurut oleh pekerja wanita tersebut termasuk dua daripada wanita itu dipercayai sedang melakukan urutan seks.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, premis yang berselindung di sebalik pusat urut refleksologi itu turut meletakkan nombor pada baju wanita terbabit.
Katanya, setiap nombor terbabit adalah untuk tujuan pemilihan di kalangan pelanggan yang datang.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 31 tahun," katanya ketika ditemui selepas mengetuai serbuan itu.
Tambah Razali, hasil siasatan pihaknya mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi urutan refleksologi dan dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu.
Difahamkan, setiap pelanggan dikenakan bayaran RM150 bagi setiap sesi urutan termasuk urutan seks.
Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63. - Utusan
Sindiket pemalsuan pasport tumpas
Dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Ampang pukul 2.50 petang itu, seorang lelaki Indonesia berusia 30-an yang sedang leka memproses dokumen palsu ditahan bersama kelengkapan termasuk komputer, alat pengimbas, pencetak dan alat memotong.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Raja Mohd. Raja Ismail berkata, rampasan membabitkan lebih 21 dokumen perjalanan termasuk satu pasport Malaysia, MyKid dan puluhan lagi pasport Indonesia adalah yang terbesar dilakukan pasukan itu tahun ini.
Menurut beliau, turut dirampas, puluhan pelekat dokumen perjalanan dan dokumen agensi lain seperti kad pengesahan nikah Indonesia, MyKad dan lesen memandu.
"Pegawai kami telah membuat intipan sejak tiga minggu lalu ke atas sindiket itu yang berpusat di Ampang dan Hulu Klang. Ia dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Dalam serbuan itu, kami berjaya menahan seorang ahli sindiket ketika dia cuba melarikan diri dari tingkat empat pangsapuri berkenaan. Kami sedang memburu saki-baki ahli kumpulan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Raja Mohd., suspek yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 atas kegiatan pemalsuan dokumen terbabit dan kemasukan tanpa izin ke negara ini.
"Suspek kini ditahan reman di lokap Jabatan Imigresen di sini bagi membolehkan kami mengesan pergerakan sindiket tersebut.
"Kita percaya selain sindiket berkenaan, terdapat banyak sindiket berskala kecil seumpama itu yang wujud dan kami akan terus memburu mereka," tegasnya.
Beliau berkata, pelanggan sindiket berkenaan terdiri daripada rakyat asing yang memerlukan dokumen walaupun terpaksa membayar ribuan ringgit kepada sindiket berkenaan.
"Pasport Malaysia diminati rakyat asing kerana amat dipercayai penggunaannya di negara lain tetapi sindiket tersebut gagal meniru 100 peratus ciri-ciri keselamatan pada dokumen berkenaan," katanya. - Utusan
Monday, May 10, 2010
Polis jamin kawal jenayah warga asing
Manakala pada Januari hingga Mac tahun ini, 33 kes dikenal pasti dan semua kes kini sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Hamdan Majid berkata dari jumlah kes pada tahun lalu, 35 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Bangladesh, 13 Vietnam, enam dari Pakistan, empat dari Myanmar, dua masing-masing dari Peru dan India, manakala dari Nepal, Singapura, Kemboja dan Cina masing-masing melibatkan seorang penjenayah.
“Manakala dari segi pecahan kes pula pada 2009, lapan kes melibatkan pembunuhan, samun berkawan tanpa senjata, 5 kes, dua kes rogol, mencabul kehormatan 7 kes, mendatangkan kecederaan 8 kes, ugutan jenayah sebanyak 4 kes, lain-lain kecurian/pecah rumah 37 kes, dan curi di malam hari dua kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Menurut Hamdan, bagi tahun 2010 pula iaitu dari Januari hingga Mac sahaja, IPK merekodkan 33 kes iaitu tiga kes bunuh, enam kes samun berkawan tanpa senjata, 1 kes cabul kehormatan, lapan kes ugutan jenayah, 18 kes lain-lain kecurian/pecah rumah dan curi malam hari melibatkan 5 kes.
Manakala pada tahun dan tempoh sama, seramai 12 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Pakistan, empat Vietnam, dua Myanmar, dua dari India, tiga dari Nepal, satu Nigeria, satu Amerika dan satu lagi dari Kemboja.
“Selain dari jenayah di atas kita juga memantau warga asing yang terlibat dengan jenayah seks seperti pelacuran.
“Mereka ini kita pantau melalui operasi bersepadu yang kita kerap adakan dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain agensi,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 2009, sebanyak 29 warga asing ditahan kerana terlibat dalam kes pelacuran di negeri ini.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 orang warga republik China, lima dari Thailand, lima Vietnam, dua dari Kazakhstan dan masing-masing seorang dari Indonesia dan Uzbekistan.
Manakala bagi Januari hingga April 2010 pula, 34 kes dikenal pasti melibatkan 19 orang dari republik China, 10 dari Thailand, empat dari Indonesia dan seorang dari Vietnam.
“Kita sebagai pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negeri, akan terus menjalankan gerak kerja mengesan dan menyelesaikan kes-kes yang melibatkan warga asing yang kita lihat agak serius.
“Dari statistik kita dapat lihat terdapat peningkatan kes jenayah di kalangan mereka, namun dengan kerjasama erat dari egensi dan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kita, kita yakin kegiatan jenayah mereka dapat dikawal,” katanya. - Sinar Harian
Wahid Terima RM60,000 Di Rumahnya - Saksi
KUALA LUMPUR: Saksi dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Wahid menerima wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh. Saksi ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata wang yang itu beliau serahkan kepada Wahid di hadapan pintu rumahnya pada 10 Julai 2008, pukul 9.30 malam selepas menghubungi Wahid.
Katanya bayaran itu berkaitan dengan kelulusan sebanyak 4,377 calling visa pekerja terbabit dan ketika menerima wang tersebut, Wahid sempat menyatakan bahawa beliau akan keluar awal pagi esok.
Low adalah antara yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pada 9 Julai 2008 ketika menerima wang daripada seorang ahli perniagaan Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 bagi tujuan yang sama.
Tambah Low, ketika ke rumah Wahid beliau telah ditemani oleh dua anggota BPR yang menyamar, seorang sebagai pemandunya dan seorang lagi sebagai anak saudaranya.
Sebelum itu katanya ketika di pejabat BPR, beliau telah memberitahu bahawa Wahid adalah orang yang terlibat dalam transaksi kes ini, setelah diminta bekerjasama dan memberitahu siapa yang bertanggungjawab.
"Saya telah hubungi Wahid hari itu (10 Julai) pukul 7 malam untuk beritahu dia yang saya mahu berjumpa dengannya dan saya mempunyai bungkusan untuk diberi kepadanya," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Low, 66, memberikan keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Pada perbicaraan lepas, Low telah memberitahu bahawa Wahid turut menerima RM50,000 ketika beliau berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung esok.
Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah manakala Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambaram. - mstar online


