Saturday, May 1, 2010

Polis KL Akan Tingkatkan Operasi Kesan Pendatang Di Kawasan Hutan

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pihak polis akan meningkatkan operasi mengesan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan hutan di bandaraya ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata ini berikutan terdapatnya kes pendatang asing tanpa izin yang bekerja di tapak pembinaan menjadikan kawasan hutan berhampiran sebagai tempat bersembunyi di waktu malam agar tidak dikesan.

Awal pagi ini, polis telah menahan 13 lelaki pendatang asing tanpa izin, yang terdiri daripada enam warga Bangladesh dan tujuh warga Indonesia dalam operasi di kawasan hutan di sekitar Bukit Kiara, kata Wan Abdul Bari.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 3 pagi itu, pendatang asing itu sedang nyenyak tidur dengan hanya berlapikkan plastik di atas tanah di dalam hutan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Polis Kuala Lumpur di Balai Polis Wangsa Maju di sini pada Sabtu.

Wan Abdul Bari berkata daripada pemerhatian yang dibuat, pendatang tanpa izin berkenaan bekerja, makan dan mandi di tapak pembinaan sebelum berjalan kaki ke kawasan hutan untuk tidur.

Sementara itu, katanya di tapak pembinaan dekat kawasan Pantai Dalam di sini awal pagi ini, dua pendatang tanpa izin warga Bangladesh yang berumur dalam lingkungan 20-an, cedera parah apabila terlibat dalam pergaduhan merebut tempat tidur di dalam kawasan hutan berhampiran kawasan itu, dengan dua pendatang tanpa izin dari Indonesia.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang pengawal keselamatan terlihat dua mangsa itu berlari masuk ke dalam kawasan tapak pembinaan dengan seorang mangsa cedera akibat dikelar di leher, manakala seorang lagi cedera di perut dipercayai diserang menggunakan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, dan polis turut menahan mereka kerana tidak mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya polis sedang memburu dua suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Friday, April 30, 2010

18 GRO China ditahan

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU 29 April - Seramai 18 wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) bersama 30 pelanggan ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Pelangi, di sini malam tadi.

Kesemua wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi yang disertai 10 anggota polis kira-kira pukul 11 malam.

Pegawai Turus Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor, Deputi Supritendan Tan Hiap Seng berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam.

"Ketika serbuan, wanita warga asing tersebut cuba menyembunyikan diri di dalam setor dan tandas namun tindakan mereka berjaya dikesan.

"Kita juga menahan 30 pelanggan berusia 25 hingga 55 tahun termasuk pengurus premis berusia 30-an bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya wanita-wanita itu turut terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan membawa pelanggan ke hotel-hotel bajet atau lokasi lain.

Katanya, pemeriksaan mendapati premis terbabit telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan lesen pusat latihan nyanyian.

"Polis sedang memburu pemilik premis berkenaan dan juga dalang di sebalik sindiket tersebut," ujarnya.

Kesemua wanita terbabit katanya, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. - Utusan

Bookmark and Share

Nasib Tertuduh Kes Pembunuhan Muntik - 7 Mei

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat depan untuk keputusan kes pembunuhan pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani selepas perbicaraan, yang bermula 18 Jan lalu, berakhir Khamis.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing sejak semalam.

Pendakwaan menutup kes mereka pada 12 Mac lepas selepas 50 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan selepas tertuduh A.Murugan, 35, mengaku tidak bersalah membunuh pembantu rumah berusia 36 tahun itu.

Murugan, seorang penjual air tebu, didakwa membunuh Muntik, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani sementara tertuduh diwakili peguam V.Rajehgopal.

Terdahulu itu, dalam hujahannya, Idham berkata sekiranya tertuduh bukan orang yang membunuh Muntik, dia tidak akan mengurung mangsa, yang dalam kesakitan akibat kecederaan teruk, di dalam tandas yang berkunci dari luar atas alasan apa sekalipun.

"Kalau bukan tertuduh yang lakukan perbuatan itu kenapa dia tidak bawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Seandainya tertuduh tiada niat untuk membunuh mangsa, dia tidak akan melakukan perbuatan itu.

"Justeru itu, memang tertuduh yang melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sehingga menyebabkan kematiannya," katanya.

Mengenai akuan nazak mangsa, Idham berkata terdapat enam saksi mendengar sendiri pengakuan mangsa (mengenai perbuatan tertuduh) dan mangsa juga berada dalam keadaan sedar semasa membuat pengakuan itu.

"Sekiranya mahkamah sukar menerima kenyataan mangsa yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, adalah selamat untuk mahkamah terima kenyataan bertulis daripada doktor yang merawat mangsa berhubung pengakuan itu," katanya.

Ketika membalas hujahan itu, Rajehgopal mempersoalkan kegagalan pendakwaan memanggil ibu tertuduh, M. Vasantha Rani sebagai saksi memandangkan wanita itu turut tinggal bersama tertuduh dan keluarganya.

Katanya sekiranya ibu tertuduh dipanggil sebagai saksi maka keterangannya selaras dengan keterangan isteri tertuduh D Vanitha.

Katanya mahkamah juga perlu meneliti keterangan seorang lagi saksi, Puah Hooi Sueew, kerana dia merupakan bekas majikan mangsa.

Rajehgopal berkata tiada bukti menunjukkan tertuduh membunuh mangsa selain daripada pendakwaan bergantung kepada bukti mengikut keadaan sahaja.

Katanya saksi yang dikemukakan oleh pendakwaan hanya menyatakan mereka melihat tertuduh menendang dan memukul mangsa dengan penyapu.

"Tiada bukti menunjukkan semua perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa dan tiada bukti menunjukkan perbuatan itu dilaklukan antara 18 dan 20 Okt," katanya.

Katanya anak guamnnya sepatutnya dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes itu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Thursday, April 29, 2010

Lebih 70,000 pekerja asing di Pahang

KUANTAN 28 April - Sebanyak 70,301 warga asing didapati memegang pas lawatan kerja sementara dan bekerja dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terdapat 207 warga asing berada di negeri ini atas pas pengajian dan 679 lagi merupakan suami atau isteri warga tempatan yang diberikan pas lawatan sosial.


Beliau berkata, warga asing terbabit bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkilangan, perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan pembantu rumah.

"Pekerja-pekerja dari Indonesia seramai 4,218 orang, Kemboja (108), Thailand (352), Bangladesh (lima) dan Pakistan (sembilan)," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (Pas-Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Adnan bagaimanapun memberitahu, setakat ini, tiada rekod mengenai jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Mengenai jumlah warga asing di negeri ini yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan pula, beliau memberitahu, seramai 2,015 warga asing mengemukakan permohonan dalam tempoh 10 tahun lalu. - Utusan


Bookmark and Share

Sentral: Spa sedia pakej seks


Wanita tukang urut warga asing dihantar depan rumah 

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik nama pusat spa dan kesihatan, satu sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan penghantaran gadis tukang urut sampai depan pintu rumah kepada pelanggan dipercayai untuk tujuan pelacuran.



Difahamkan, perkhidmatan itu bagaimanapun terpulang atas permintaan pelanggan yang inginkan pakej urut dan seks tetapi tidak mahu mengunjungi spa terbabit untuk mengelak diserbu pihak berkuasa.


SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pusat Spa di Jalan Raja Chulan

Malah, sindiket terbabit hanya mengenakan bayaran antara RM148 hingga RM228 mengikut pakej dikehendaki pelanggan. 

Difahamkan, pelanggan yang ingin melanggan gadis terbabit akan berurusan dengan seorang ejen yang menjadi orang tengah sebelum menghantar gadis berkenaan kepada pelanggan mereka berdasarkan lokasi ditentukan. 

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPPKL) menyerbu pusat spa terbabit di bangunan Wisma MPL di Jalan Raja Chulan di sini, malam kelmarin. 

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis menahan 12 wanita warga asing dari China, Indonesia dan Thailand berusia antara 21 hingga 37 tahun, selain seorang lelaki berusia 30-an dipercayai penjaga spa terbabit hasil maklumat awam dan risikan. 


Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan dilakukan, semua gadis warga asing itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah bilik stor kira-kira 30 meter dari pusat spa berkenaan. 

“Polis terpaksa mengejar mereka dan hasil kecekapan anggota, berjaya memberkas semua gadis itu. Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan gadis warga Indonesia, dua warga Thailand dan dua lagi warga China. 

“Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan dipercayai ‘penjaga’ gadis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini. 

Katanya, siasatan awal mendapati semua gadis itu menyalah guna pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai tukang urut. 

“Berdasarkan pemerhatian ke atas pasport gadis berkenaan, mereka beberapa kali memasuki negara ini dan ada antara mereka datang ke negara ini lebih daripada enam kali. 

“Kita (polis) percaya mereka datang ke sini untuk bekerja selain menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya. 

Beliau berkata, semua gadis itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1963. 

“Saya mohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini supaya melaporkannya kepada polis. Polis juga akan meneruskan operasi sebegini untuk membanteras gejala maksiat dan kegiatan pelacuran,” katanya.  - Berita Harian



Bookmark and Share

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...