Saturday, April 17, 2010

Jaga kebajikan pekerja asing elak jenayah

KUALA LIPIS 16 April - Golongan majikan digesa menjaga kebajikan pekerja asing terutamanya dari aspek gaji untuk mengelak pekerja terbabit terlibat dalam kejadian jenayah.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kes jenayah terutamanya membabitkan kes pecah rumah berpunca daripada pekerja asing terbabit tidak mendapat gaji atau upah seperti yang dijanjikan.

Menurut beliau, pekerja terbabit juga tidak diberi penjelasan sebenar mengenai upah atau gaji, sistem waktu kerja dan faedah kebajikan lain.

"Kebanyakan kes jenayah warga asing turut berpunca daripada pekerja keliru dan terpedaya apabila upah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

"Masalah ini menyebabkan rasa tidak puas hati, tertekan dan akhirnya tercetus perkara negatif akibat tidak ada tempat bagi pekerja berkenaan untuk mengadu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Polis daerah Lipis dengan masyarakat Orang Asli sempena Sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Ulu Kenip, Pos Betau dekat sini semalam.

Abdul Razak berkata, majikan daerah ini perlu bijak mengurus pekerja asing masing-masing tanpa mengeksploitasi mereka untuk meraih keuntungan.

Katanya, segelintir majikan membawa masuk pekerja berkenaan tidak jujur termasuk menggunakan kekerasan dalam menguruskan pekerja mereka.

"Ramai pekerja asing yang datang ke sini tertipu dengan perkhabaran mengenai senario lokasi dan sistem kerja yang baik di negara ini, namun berlaku sebaliknya hingga menyebabkan harapan pekerja berkenaan musnah ketika menjejakkan kaki ke sini," katanya. - Utusan

RM25 bagi kami lumayan - PATI

KUALA LUMPUR 16 April - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita mengakui, upah menjual kuih sebanyak RM25 yang diperoleh setiap hari, amat tinggi dibandingkan dengan pendapatan penduduk di negaranya.

Atas sebab itu, wanita Indonesia itu yang hanya mahu dikenali sebagai Misuyanti, 21, sanggup bergadai nyawa datang secara haram ke negara ini tiga tahun lalu bagi mencari rezeki di sini.

 Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen dan Rela di Kuala Lumpur, semalam.

"Di Malaysia, suami saya bekerja sebagai buruh binaan manakala saya pula bekerja membuat kuih di sebuah pasar pagi dengan pendapatan RM25 sehari.

"Mungkin bagi orang Malaysia pendapatan RM25 itu sedikit tetapi ia cukup besar bagi kami yang berasal dari Indonesia. Wang ini jika dikirim ke negara kami amat tinggi nilainya," katanya yang hanya membayar RM200 sebulan bagi rumah sewa di Kampung Sri Makmur, Sri Gombak di sini.

Misuyanti bersama bayi lelaki berusia 42 hari dan suaminya adalah antara 52 orang PATI yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi di kampung tersebut, kira-kira pukul 2.45 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita, wanita itu mengaku kehidupan yang sukar di negara mereka menyebabkan rakyat Indonesia tidak serik-serik untuk ke Malaysia mencari rezeki, biarpun masuk melalui cara yang tidak sah.

"Di kampung saya di Jawa Timur, pendapatan keluarga saya sebagai nelayan memang tidak cukup untuk menampung hidup. Jadi hanya dengan bekerja di Malaysia sahaja, kami boleh hidup senang.

"Rezeki lumayan menanti di Malaysia mendorong saya sanggup mengambil risiko datang secara haram ke negara ini dengan menaiki feri meskipun terpaksa duduk berhimpit dengan penumpang lain sepanjang beberapa jam perjalanan," katanya.

Kehadiran mengejut 80 anggota penguat kuasa Imigresen bersama 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) turut menyaksikan pelbagai gelagat lucu pendatang asing yang panik cuba melepaskan diri daripada diberkas.

Antaranya, sekumpulan wanita dilihat berlari naik ke atas bumbung rumah malah ada yang segera bersembunyi di atas pokok.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd. Radzi Ain ketika ditemui selepas operasi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di perkampungan setinggan itu selepas menerima maklumat tentang kehadiran ramai PATI.

Dalam serbuan itu, katanya, seramai 52 PATI iaitu 23 wanita dan 13 lelaki warga Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Thailand diberkas.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia antara 42 hari hingga 50 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tinggal melebihi tempoh dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya. - Utusan

Kadar levi pekerja asing ikut tempoh kontrak

Usaha kurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar

PUTRAJAYA: Majikan yang berhasrat menggaji lebih ramai pekerja asing atau mahu memanjangkan tempoh kontrak mereka mungkin perlu membayar kadar levi lebih tinggi bagi memastikan rakyat asing berkenaan hanya digunakan dalam sektor memerlukannya.


Kedi - Gambar hiasan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penstrukturan semula kadar levi yang sedang dikaji, antara lain mempertimbangkan cadangan menetapkan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh mereka bekerja di sini.

“Hakikatnya, majikan menggaji ramai pekerja asing untuk tempoh lama perlu membayar levi lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai kontrak kerja lebih singkat.

“Ini secara tidak langsung mendorong majikan hanya mengambil pekerja asing apabila benar-benar perlu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Levi pekerja asing kini ditetapkan mengikut sektor iaitu RM1,200 bagi perkilangan dan pembinaan; RM1,800 bagi pekerja restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan runcit dan borong, perniagaan tekstil, barangan logam, lusuh dan terpakai, spa dan urut refleksologi, hotel serta kedi.

Sementara itu, pekerja asing di sektor pulau peranginan perlu membayar levi RM1,200; RM600 bagi pekerja rumah kebajikan; RM540 bagi pembantu rumah kedua, dan RM360 bagi pekerja asing di sektor perladangan serta pembantu rumah pertama.

Menyusuli keputusan itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengemas kini pangkalan data majikan dan pekerja asing untuk diguna pakai dalam usaha membanteras kemasukan pekerja asing tanpa izin dan mengurangkan jumlah pekerja asing sah sedia ada.

Kedi di Malaysia gajinya tidak setimpal levi yang dikenakan Kerajaan.

Hishammuddin berkata pendekatan itu lebih berkesan bagi mengenal pasti majikan yang mendera pekerja asing, melakukan kesalahan berkaitan Akta Imigresen atau terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Katanya, statistik Jabatan Imigresen antara 2007 hingga 2009 menunjukkan 269 majikan didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1963, manakala 137 orang didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bagi tempoh dua tahun bermula Februari 2008.

Beliau yakin dengan adanya pangkalan data itu, rekod kemasukan dan kepulangan pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Kita mahu majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka, terutama mengawal selia bagi memastikan mereka memenuhi tempoh kontrak dan benar-benar pulang selepas ia tamat, tanpa terus tinggal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementeriannya juga sudah menyiapkan laporan berhubung prestasi syarikat memperoleh bekalan pekerja asing sejak sistem membekal dan mengurus pekerja asing dilaksanakan pada 2005.

Katanya, semua syarikat akan dinilai jika mematuhi prosedur sedia ada yang menggariskan pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan permintaan serta keperluan guna tenaga dan bukannya untuk mengaut keuntungan semata-mata. - Berita Harian

APMM Tahan Empat Pendatang Asing, Seorang Ejen

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan empat pendatang asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selepas memeriksa sebuah feri yang dalam perjalanan ke Sibu, di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah KM Bijak, Leftenan Maritim Muhammad Nazry Zubir berkata, keempat-empat lelaki berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan selepas pihaknya memeriksa feri berkenaan pada kira-kira pukul 8.45 pagi.

"Kami turut menahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 55 tahun yang merupakan ejen yang bertanggungjawab membawa keempat-empat pendatang itu untuk bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Igan, Mukah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja tanpa dokumen sah manakala keempat-empat pendatang itu tersebut ditahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63. - mstar online

Thursday, April 15, 2010

Kod nombor pilih GRO

KUALA LUMPUR: Aktiviti pusat karaoke di sebuah menara di Jalan Pudu Ulu, Cheras di sini, lumpuh setelah diserbu pihak berkuasa lewat malam kelmarin.

TAHAN...antara wanita warga asing yang ditahan ketika operasi di sebuah pusat karaoke di Cheras, malam kelmarin. 

Premis yang menawarkan karaoke dan bar ini menggaji perempuan warga asing sebagai pemanis dengan pakej istimewa layanan ‘seks ringan’.

Difahamkan, pelanggan yang datang boleh memilih perempuan yang diingini dengan kod nombor bagi menemani mereka sepanjang berhibur, malah dijadikan tempat melampiaskan nafsu.

Pegawai Turus Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, operasi diadakan susulan maklumat orang awam yang mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti berkenaan tanpa lesen.

“Serbuan dilakukan jam 1.20 pagi oleh sepasukan anggota D7 Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan premis terbabit tidak mempunyai lesen hiburan, malah turut menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Ketika serbuan, GRO terbabit cuba meloloskan diri melalui jalan tikus di tandas, namun gagal dan kami menahan semua GRO berkenaan serta 15 pelanggan yang asyik berhibur ketika serbuan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Razali, seramai 11 gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dari Vietnam serta seorang wanita Indonesia ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan serta permit. “Turut ditahan, dua wanita tempatan serta seorang pekerja lelaki di premis terbabit kerana menggaji serta melindungi pekerja warga asing.

“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 55(B) dan 11(7) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan serta melindung dan menggaji pekerja warga asing,” katanya. - Harian Metro

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...