Saturday, February 13, 2010

15 lelaki Myanmar ditahan edar dadah

SABAK BERNAM: Polis menahan 15 lelaki rakyat Myanmar dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai nelayan di Bagan Sungai Besar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad, berkata semua lelaki yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadar di pelantar ikan dan menjadikan penduduk tempatan sebagai pelanggan utama.

Beliau berkata, dalam Ops Tapis Khas membabitkan 20 anggota termasuk polis sukarela itu, tiga paket besar dan 15 paket kecil dipercayai mengandungi dadah jenis heroin ditemui.

"Pemeriksaan terhadap semua suspek menemui kira-kira 57.5 gram dadah jenis heroin bersama wang tunai berjumlah RM800 dan mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Ketika serbuan pada pukul 7 pagi itu, lelaki terbabit sedang leka bermain judi dan cuba melarikan diri tetapi pasukan bot peronda polis mengepung kawasan perairan berhampiran dan berjaya menahan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Mushar berkata, sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari luar negara sebelum dibungkus dan dijual di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan air kencing juga mendapati 12 daripada mereka positif dadah," katanya.

Noor Mushar berkata, siasatan ke atas semua suspek itu dibuat mengikut Seksyen 39(B) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Berita Harian

GTP sasar penurunan 20 peratus jenayah jalanan

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Sasaran pengurangan kadar jenayah jalanan yang ditetapkan kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai prestasi awal menggalakkan apabila merekodkan penurunan 13 peratus kes jenayah itu bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, angka tersebut diperoleh pada Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kadar jenayah jalanan yang dilaporkan dalam suku keempat tahun lalu mencatat penurunan sebanyak 7.6 peratus.

"Bagi indeks jenayah pula, sebanyak 3.7 peratus penurunan dicatatkan dalam suku terakhir (Disember) 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengurangan jenayah adalah penting dalam rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

"Jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat dan melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan.

"Oleh itu, kami (KDN) amat kagum dengan keputusan awal ini," katanya.

Tambah Hishammuddin, oleh kerana jenayah jalanan merupakan tumpuan utama, kerajaan menyasarkan keberhasilan yang lebih cepat iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus dalam jenayah jalanan yang dilapor menjelang Disember 2010.

Katanya, inisiatif yang dikuatkuasakan antaranya memastikan kehadiran polis di 50 kawasan panas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota polis itu turut dibantu oleh 3,000 sukarelawan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kita turut meletakkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas ini untuk menghalang aktiviti jenayah, membolehkan tindakan segera daripada pihak polis selain memudahkan pengecaman suspek," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara, pegawai-pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan ke atas bersama anggota polis lain terlibat secara langsung dalam rondaan di tempat-tempat awam.

Katanya, pegawai-pegawai kanan polis itu akan bertugas selama tiga hingga lima jam dalam seminggu.

"Kehadiran anggota polis berhenti dan berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit setiap jam ketika rondaan biasa akan memberi peluang untuk masyarakat meluahkan kebimbangan mereka selain merapatkan hubungan," katanya.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan akan menggalakkan semangat sukarelawan melalui inisiatif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seperti rondaan yang dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan di kawasan tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, sukarelawan itu boleh mendaftar sebagai ahli Rakan Cop dan menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu jenayah. - Utusan

Friday, February 12, 2010

Warga asing yang tiada permit : Pulang sebelum 16 Mei ini

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan terhadap sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sekalipun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata matlamat sistem itu adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dikesan pihak berkuasa dan bertindak meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

"Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk, dokumen-dokumen seperti pasport kita sendiri supaya apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang ada yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian dalam negeri," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat kementerian mengenai pemantauan warga asing, pada Jumaat.

Katanya mesyuarat itu memperincikan beberapa perkara yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari ini.

"Selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, antara agenda yang akan dibincangkan adalah pertimbangan dan kajian dasar semasa berhubung pengambilan pekerja asing sebagai pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi.

"Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Hishamuddin turut mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia pada kadar segera.

Katanya mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada bulan April 2009. -- BERNAMA

Sentral: Pegawai MPAJ menyamar serbu rumah urut

Kegiatan mencurigakan berselindung di sebalik premis sentiasa bertutup

AMPANG: Tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan penyamaran sebagai pelanggan di sebuah rumah urut di Pandan Indah, akhirnya berhasil memberikan jawapan berhubung aktiviti mencurigakan yang dilakukan premis yang bertutup selama ini.

Susulan itu, rumah urut yang beroperasi di Pusat Komersial Pandan Indah itu bukan saja diserbu MPAJ baru-baru ini, malah turut disita selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram kerana tidak memiliki lesen perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPAJ, Rosli Jaafar, bersama tujuh anggota penguat kuasanya turut menemui dua tukang urut warga Thailand.

Rosli berkata, tindakan penyamaran dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada aktiviti tidak bermoral dijalankan premis berkenaan kerana mendapati pintu depan premis itu sentiasa bertutup rapat tetapi ramai pengunjung menuju ke pintu belakangnya.

Beliau berkata, hasil siasatan itu, pihaknya mendapati rumah urut terbabit hanya membenarkan pelanggan biasa atau dikenali saja masuk menerusi pintu belakang untuk mendapatkan khidmat urut termasuk khidmat seks yang ditawarkan wanita terbabit.

Pintu premis itu sentiasa bertutup seolah tiada apa yang berlaku tetapi sebenarnya menjalankan perniagaan urut dan khidmat seks yang mendapat sambutan di kalangan pelanggan.

Ketika kakitangan MPAJ menyamar sebagai pelanggan untuk masuk ke rumah urut itu, mereka terkejut apabila pemilik premis itu meletakkan beberapa anjing mengawasi premis berkenaan, sekali gus dapat memberi amaran awal menerusi salakannya jika premis itu dikunjungi individu tidak dikenali termasuk anggota penguat kuasa, katanya.

Rosli berkata, pemilik premis itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana melakukan pengubahsuaian dalaman tanpa kelulusan daripada pihak majlis untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Beliau berkata, MPAJ akan meneruskan operasi mengesan kegiatan tidak bermoral seperti itu dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan bagi memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan bebas daripada gejala sosial yang memberi imej negatif kepada MPAJ. - Berita Harian

Industri logam perlukan 15,000 pekerja asing baru

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 peniaga India seluruh negara yang terbabit dalam perniagaan logam berkemungkinan 'gulung tikar' kerana mereka kini berhadapan krisis kekurangan tenaga buruh.

Presiden Persatuan Peniaga dan Kitar Semula Logam India (Mimta), Datuk P Krishnamurthy, berkata bagi kembali memajukan industri itu, sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing baru terutama daripada Tamil Nadu diperlukan segera.

"Kita sudah banyak kali memohon kepada Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan khidmat tenaga tempatan namun rakyat tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor ini.

"Ada yang datang bekerja satu hari, selepas itu terus 'hilang'... ada pula yang datang kerja selama dua hari dan paling lama mereka bekerja pun untuk tempoh seminggu saja.

"Ini kerana rakyat tempatan melihat perniagaan ini sebagai satu tugas berat dan kotor. Persatuan akui bahawa tugas ini memang mencabar walaupun gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM800 hingga RM1,200.

"Bagaimanapun katanya, kebanyakan rakyat tempatan bekerja dalam bahagian pengurusan dengan segelintir lagi bertugas sebagai memandu lori. Kita dapati tenaga buruh dari Tamil Nadu amat sesuai bekerja sebagai pekerja am sektor ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Krishnamurthy berkata, sektor itu mula menghadapi kekurangan tenaga buruh secara berperingkat bermula tahun lalu apabila kerajaan tidak meluluskan permohonan baru pekerja asing. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...