Saturday, January 9, 2010

Samun: Lima lelaki Vietnam diberkas


IBRAHIM Mohd. Aris menunjukkan pistol kejutan elektrik yang dirampas daripada lima rakyat Vietnam di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 8 Jan. – Polis memberkas lima lelaki warga Vietnam kerana disyaki terbabit dalam kes samun 20 rakan senegara mereka di sebuah asrama pekerja kilang di Taman Nira, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 23 dan 32 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripadanya memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala tiga lagi dipercayai memasuki negara ini secara haram.

Menurutnya, tiga daripada mereka pula diberkas Rabu lalu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Parit Imam di sini, kira-kira pukul 1 pagi.

“Beberapa alat untuk merompak termasuk sepucuk pistol renjatan elektrik, sebilah pisau bersarung, sebuah mesin canai, sebatang kuku kambing, sebuah tukul, tiga batang pemutar skru dan dua playar ditemui daripada mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi lelaki terbabit diberkas selepas menjalani kawad cam yang dilakukan polis pada Khamis lalu.

Menurut beliau, semua suspek masih ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga 11 Januari ini.

Sebelum ini, menurutnya, sekumpulan lima lelaki bersenjatakan pisau dan parang telah menyerbu masuk sebuah asrama pekerja wanita warga vietnam di Taman Nira, di sini, pada 9 November lalu, kira-kira pukul 11 malam. - Utusan

Polis tahan 11 warga Afrika

AMPANG 8 Jan. - Lelaki warga Afrika atau lebih dikenali sebagai 'awang hitam' semakin melampau! Mereka dikatakan mula mengganggu wanita-wanita tempatan di pusat beli-belah Ampang Point dan beberapa kawasan di sekitarnya.

Berikutan dua laporan polis yang diterima sejak 1 Januari lalu, polis hari ini melancarkan Ops Gagak dan telah menahan 11 suspek yang disyaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, polis menerima aduan daripada dua wanita yang merupakan suri rumah mendakwa mereka didatangi sekumpulan lelaki Afrika.

"Sekumpulan lelaki itu didakwa cuba menarik tangan dan 'beramah mesra' dengan mereka.
"Tindakan mereka itu menyebabkan mangsa tidak selesa dan ketakutan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi di sini hari ini.

Katanya, polis telah memeriksa 20 lelaki Afrika dan menahan 11 daripada mereka yang disyaki terlibat.

Menurut Abdul Jalil, kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Polis akan meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk memeriksa latar belakang dan rekod kemasukan awang-awang hitam ini," jelasnya.

Ujar Abdul Jalil, selain wanita, para pemilik premis perniagaan di situ turut melahirkan rasa kurang senang dengan kelibat lelaki Afrika tersebut kerana tindakan mereka menakut-nakutkan pelanggan, justeru menjejaskan perniagaan mereka. - Utusan

Lesen besar UNHCR


KAWASAN sekitar Pasar Borong Selayang merupakan tempat paling popular bagi warga Myanmar menjalankan aktiviti perniagaan secara haram.

SELAYANG 8 Jan. – Tahu yang mereka tidak akan dikenakan tindakan menyebabkan ramai pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.


Kad UNHCR yang mereka miliki adalah lesen besar untuk berniaga walaupun mereka tahu yang tindakan mereka itu salah di sisi undang-undang negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ab. Salim Mansor berkata, pihaknya sering menangkap pendatang tanpa izin kerana menjaja tetapi terpaksa dilepaskan kerana status mereka itu.

Menurutnya, pendatang tanpa izin memang tidak dibenarkan berniaga tetapi dalam masa yang sama, pihak berkuasa tidak boleh bertindak terhadap mereka yang memegang kad pelarian itu.

“Semua yang memegang status pelarian UNHCR akan ditahan dan Jabatan Imigresen akan melepaskan mereka selepas diperiksa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu membanteras warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Lama Selayang di sini awal pagi semalam.

Namun, kata Ab. Salim berkata, untuk menyalahkan mereka seratus peratus juga tidak wajar kerana mereka perlu mencari wang untuk meneruskan kehidupan.

“Masalah utama kepada masalah itu ialah pelarian-pelarian yang datang ke Malaysia tidak dikumpulkan di satu tempat.

“Kedudukan mereka yang bertaburan ini telah menyukarkan kerja-kerja pemantauan dilakukan ke atas mereka termasuklah memberikan bantuan,” katanya.

Tambah Ab. Salim, pelarian itu pula terpaksa bekerja untuk mencari wang dan pilihan yang paling mudah ialah berniaga atau menjaja di pasar-pasar borong kerana perniagaan itu tidak memerlukan modal yang banyak.

Sementara itu, dalam operasi yang bermula sekitar pukul 4.30 pagi itu, pihaknya menahan 78 orang warga asing dan dibawa ke pejabat Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dan siasatan dilakukan oleh DBKL dan pihak Imigresen, hanya 10 orang warga negara asing yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh akan diambil tindakan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Dalam operasi yang pertama untuk tahun baru ini, kami memang memberikan perhatian serius bagi membendung isu aktiviti warga asing di pasar-pasar borong.

“Malah penjaja warga asing terutamanya dari Myanmar sememangnya dalam pemerhatian pihak kami dan kami akan terus membendung masalah ini,” katanya.

Ini kerana, kata Ab. Salim, selain telah melakukan kesalahan menjaja, mereka juga sering terlibat dalam kejadian jenayah serta sering bergaduh sesama kaum mereka.

“Ini menimbulkan ancaman keselamatan di kawasan umum dan tumpuan orang ramai itu,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam operasi itu, DBKL juga menyita barangan perniagaan salah seorang penjaja di Pasar Borong Kuala Lumpur kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Operasi itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan kekuatan anggota seramai 60 orang.

Difahamkan, DBKL akan mengadakan operasi seperti dari semasa ke semasa dengan Pasar Pudu, Chow Kit dan Jalan Petaling akan menjadi tumpuan utama.

Dalam pada itu, DBKL turut menangkap tujuh lelaki kerana melakukan kesalahan menjaga tempat letak kereta secara haram.

Mereka ditangkap di tiga lokasi berasingan iaitu di sekitar Bangsar, Changkat Tambi Dolah, Bukit Bintang dan Jalan Klang Lama. - Utusan

Tiga lelaki Indonesia dihukum penjara rompak stesen minyak

KUANTAN 8 Jan. - Baru dua hari memasuki negara ini tetapi sudah berani melakukan rompakan bersenjata.

Bagaimanapun, jenayah yang dilakukan itu mengundang padah apabila warga Indonesia tersebut, Yudi Basmi, 41, bersama dua rakan senegaranya masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Yudi bersama Azman Apendi, 25, dan Heri Hassan, 26, dijatuhi hukuman tersebut selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata di stesen minyak tempat Azman bekerja.

Ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi perompak yang masih bebas mengaku melakukan rompakan berkumpulan di premis tersebut di Taman Tas di sini kira-kira pukul 3 pagi, 28 Disember tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa mulai dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja stesen minyak itu, Mohd. Fazli Shamsudin yang sedang tidur di dalam premis berkenaan telah didatangi tiga lelaki dengan salah seorang daripada mereka adalah pekerja stesen itu.

Leher mangsa kemudian diletakkan parang sebelum kaki dan tangannya diikat.
Kejadian itu menyebabkan pemilik stesen minyak berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM4,700 sebelum ketiga-tiga tertuduh ditangkap di kawasan berhampiran oleh orang ramai.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman hari ini, ketiga-tiga lelaki itu menitiskan air mata ketika diberi peluang mengemukakan rayuan.

"Saya baru dua hari datang ke sini (Malaysia) untuk mencari rezeki yang halal tetapi telah terpedaya dengan rakan saya. Saya mohon mahkamah ringankan hukuman saya kerana mempunyai tiga anak di Indonesia," rayu Yudi.

Azman dan Heri turut memohon diringankan hukuman kerana mempunyai tanggungan iaitu isteri, anak dan ibu yang sedang uzur. Mereka juga mendakwa terpaksa menjual tanah untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan ke negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar pula memohon hukuman setimpal dijatuhkan kerana kesalahan mereka amat serius dan jenayah tersebut semakin berleluasa dilakukan oleh warga asing pada masa kini. - Utusan

Isu pembekuan amah Indonesia selesai Mac

KUALA LUMPUR: Isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka selesai selewat-lewatnya Mac depan apabila kedua-dua kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru, dengan kira-kira 4,000 warga negara itu sudah berdaftar dengan agensi dan sedia untuk berkhidmat serta-merta selepas memorandum di dimetrai.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty, berkata antara 3,000 hingga 4,000 pembantu rumah berdaftar itu yang kebanyakannya dari Jawa Tengah dan Jawa Timur, menanti dan berharap keputusan pembekuan penghantaran mereka ke Malaysia sejak pertengahan tahun lalu, ditarik balik.

Beliau berkata, masalah berkenaan diharap selesai secepat mungkin, terutama berikutan sebahagian agensi di Malaysia sudah membayar ratusan ribu ringgit kepada agensi di Indonesia untuk penghantaran pembantu rumah.

Pada Jun tahun lalu, Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Alwi mendakwa, pembekuan penghantaran itu secara tidak langsung mencetuskan gejala pembantu rumah Indonesia dibawa masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang sah didalangi oleh agensi haram.

Menurutnya, pelbagai masalah susulan timbul selepas itu terutama pihak majikan terpaksa berdepan dengan isu negatif pembantu rumah yang tidak diberi latihan yang cukup, termasuk kes kecurian dan penderaan anak majikan. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...