Wednesday, November 25, 2009

Banteras jenayah: 50 buah rumah PATI diroboh


Anggota penguat kuasa MPAJ merobohkan salah sebuah rumah yang didirikan oleh pendatang tanpa izin dalam operasi merobohkan penempatan haram warga asing di Ukay Perdana, Hulu Klang, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Ekoran empat kejadian samun di sekitar Ukay Perdana, polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bertindak merobohkan 50 buah rumah kongsi milik warga asing di dalam sebuah hutan berhampiran.

Tindakan susulan itu dimulakan pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan 142 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, MPAJ dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, operasi itu diadakan berikutan empat kejadian samun rumah yang berlaku di Ukay Perdana sejak awal November lalu.

"Siasatan polis mendapati, penjenayah yang terdiri daripada tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu tinggal di sekitar kawasan ini.

"Ini berikutan, sekatan jalan raya di lapan lokasi yang dilakukan tidak menemui sebarang barangan yang disamun dikeluarkan dari kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, modus operasi penjenayah itu hampir sama dalam setiap kejadian samun iaitu mengikat mangsa sebelum menggeledah rumah tersebut.

Berikutan itu, katanya, polis telah menyerbu kawasan rumah kongsi tersebut kelmarin sebelum merobohkan semua rumah-rumah itu hari ini.

"Selain menghapuskan kawasan yang dipercayai menjadi tempat berlindung penjenayah, operasi itu juga membantu MPAJ membanteras rumah yang dibina secara haram.

"Dalam operasi tersebut, kita juga menahan dua lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," ujarnya.

Abdul Jalil memberitahu, ketika kerja merobohkan rumah itu dilakukan, seorang anggota polis iaitu Konstabel Mohd. Fadirul Alimi Ramzi mengalami kecederaan kerana dihempap atap zink.

Bagaimanapun, menurutnya, anggota terbabit tidak mengalami kecederaan serius apabila hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Ampang. - Utusan

Tuesday, November 24, 2009

10 pelajar asing ditahan, dadah bernilai RM63,000 dirampas

SHAH ALAM: Sepuluh pelajar rakyat asing yang disyaki mengedar dadah jenis heroin dan ganja, ditahan dan polis merampas 1,280 gram dadah yang dianggar bernilai RM63,000 dalam dua operasi di sekitar Lembah Klang, semalam.

Dalam operasi pertama, polis menahan empat lelaki rakyat Nigeria serta merampas dua bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 925 gram ketika membuat pemeriksaan di hadapan sebuah hotel di Subang Jaya, jam 8.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 23 dan 28 tahun itu dan menuntut di kolej berasingan sekitar Lembah Klang itu, disyaki mengedar dadah untuk pasaran luar negara.

"Mereka direman sehingga 28 November dan kami juga telah menghantar surat kepada kolej terbabit bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai penuntut terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Nordin berkata dadah yang dirampas daripada keempat-empat penunut itu dianggar bernilai RM60,000 dan polis turut merampas wang tunai RM4,740 dan AS$5,000 daripada mereka.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi polis menahan enam penuntut, iaitu tiga rakyat Nigeria dan masing-masing seorang rakyat Arab Saudi, Yemen dan Somalia di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg berwarna hitam mengandungi daun kering mampat disyaki ganja seberat 355 gram yang dianggar bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

"Mereka yang berusia antara 20 dan 23 tahun kini direman sehingga 30 November bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap keenam-enam mereka mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis ganja.

Nordin berkata polis mendapati ramai penuntut asing terutama rakyat Nigeria terlibat dalam pengedaran dadah dan sejak awal tahun ini, polis mengesan lebih 20 kes seumpama itu. - Berita Harian

Monday, November 23, 2009

Keputusan pembekuan pembantu rumah Indonesia akhir tahun ini

KLANG 22 Nov — Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dijangka diketahui menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Subramaniam berkata Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh demi manfaat kedua-dua negara.

"Hanya ada satu dua isu yang tertangguh dan jika kedua-dua negara boleh menyelesaikannya, maka isu pembekuan pembantu rumah asing ini boleh ditamatkan (menjelang akhir tahun ini),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan sekitar Parlimen Kota Raja di sini anjuran bersama Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja dan MIC Bahagian Kota Raja.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lepas berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. - Utusan

Saturday, November 21, 2009

Lacur: 15 gadis Thai ditahan di Cheras

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Polis menahan 15 wanita warga Thailand yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di tiga lokasi berasingan di sekitar Cheras di sini semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di Taman Midah, Taman Yu Lek dan kondominium Awana Puri di Taman Mutiara.

Operasi itu dilakukan selepas polis membuat intipan selain maklumat yang diterima daripada orang awam.

Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, dua orang pegawai dan sembilan orang anggota terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 31 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau memiliki pasport yang tamat tempoh.

Beliau memberitahu, mangsa dikurung di dalam rumah yang berkunci sebelum mendapat tempahan pelanggan dan dihantar ke hotel oleh bapa ayam mereka.

Jelasnya, ketiga-tiga lokasi tempat tinggal mereka dikunci rapi manakala setiap tingkap rumah itu dirantai.

"Polis terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk memotong rantai dan memasuki rumah terbabit," katanya selepas mengetuai operasi itu.

Difahamkan, wanita warga asing terbabit yang telah menjalankan aktiviti pelacuran sejak setahun lalu tidak dibayar gaji dan hanya diberi makan dua hingga tiga hari sekali.

Razali berkata, pihaknya turut menemui kondom yang masih belum digunakan yang dipercayai digunakan wanita terbabit ketika bersama pelanggan.

Dalam pada itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai bapa ayam dan ditugaskan menjaga wanita terbabit. - Utusan

Friday, November 20, 2009

Indonesia Wajibkan TKI Jalani Latihan 200 Jam

Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 19 Nov (Bernama) -- Dalam usaha memastikan ketrampilan tenaga kerjanya yang akan bekerja di luar negeri, Indonesia kini mewajibkan mereka menjalani latihan kecekapan selama 200 jam.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar berkata syarat yang diperketatkan bagi setiap calon tenaga kerja Indonesia (TKI) itu sekali gus bertujuan meningkatkan daya saing mereka supaya lebih diterima di pasaran tenaga kerja dunia.

"Calon TKI yang ingin bekerja di luar negeri wajib lulus latihan standard kompetensi minimum 200 jam agar dapat bersaing di pasaran dunia," katanya yang dipetik laman web Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia.

Beliau berkata pemerintah Indonesia juga memperbaiki sistem penghantaran dan penempatan TKI untuk mencegah penghantaran TKI yang belum bersedia untuk bekerja di luar negeri.

Ini juga merupakan usaha untuk melindungi TKI, supaya dengan berbekalkan kecekapan bekerja, mereka tidak dilayani dengan buruk oleh majikan, katanya, yang yakin bahawa dalam masa lima tahun lagi, TKI yang bekerja di luar negeri sudah memiliki tahap kecekapan yang sesuai.

Muhaimin yang baru pulang dari lawatan kerja ke Malaysia beberapa hari lepas, bagaimanapun tidak menyebut di mana latihan itu akan dijalankan, bentuk kurikulumnya, bidang kerja yang terlibat seperti pembantu rumah tangga atau buruh binaan, dan sama ada ia akan dikendalikan oleh swasta atau agensi pemerintah.

Ketika ini terdapat 130 balai (pusat) latihan kerja (BLK) milik syarikat swasta dalam bidang penghantaran TKI, yang lebih menumpukan kepada latihan asas untuk pembantu rumah tangga yang akan mereka hantar bekerja di luar negeri termasuk Malaysia.

Selain latihan wajib 200 jam itu, katanya, kementeriannya juga sedang menyelaraskan dengan Kementerian Pendidikan Indonesia untuk menghasilkan formula latihan yang akan membolehkan lepasan sekolah di negara 17,000 pulau ini terus dapat diserap oleh pasaran tenaga kerja.

Pemerintah Indonesia akan meningkatkan usaha membanteras orang tengah atau 'calo' TKI yang selama ini menjadi antara penyebab perekrutan TKI menjadi panjang dan berbelit-belit serta mahal sehingga banyak TKI memilih ke luar negeri khasnya Malaysia secara haram tanpa menggunakan dokumen sah dan jalan rasmi.

"Kita akan pertingkatkan kerjasama dengan polisi dan imigresen bagi mencegah pengiriman TKI secara haram," katanya. -- BERNAMA

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...