Saturday, November 14, 2009

Gaji Tinggi Kilang-Kilang Berjaya Tarik Minat Pekerja Tempatan

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan bahawa kecenderungan banyak kilang menawarkan skala gaji yang tinggi buat pekerja ketika ini berjaya menarik minat ramai pekerja tempatan untuk bekerja di kilang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Katanya dari semasa ke semasa skop kerja petugas di kilang-kilang berkenaan ditingkatkan, dan gaji yang ditawarkan juga ditambah selaras dengan kenaikan skop kerja.

"Pendekatan ini dilihat menggalakkan pekerja-pekerja tempatan untuk bekerja di kilang-kilang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang satu pertandingan di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata langkah itu akan membantu usaha kerajaan mengurangkan penggantungan terhadap tenaga kerja asing secara perlahan, sekaligus memastikan sumber kewangan tidak mengalir keluar dari negara.

Subramaniam seterusnya berkata keadaan ketika ini memperlihatkan terdapat kekurangan sumber dalam pasaran tenaga kerja terutama semasa ekonomi negara mulai semakin rancak, dan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji usaha menangani masalah itu.

"Walaupun bidang industri dilihat semakin meningkat, respons dari kalangan pekerja tempatan didapati kurang menggalakkan," katanya. -- BERNAMA

Friday, November 13, 2009

Susilo puas hati langkah penambaikan tenaga kerja Indonesia


Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (enam dari kiri) bersama delegasi kedua-dua negara sebelum mengadakan rundingan dua hala di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Nov. - Indonesia berpuas hati dengan pelbagai langkah penambahbaikan yang dilakukan oleh Malaysia membabitkan layanan terhadap tenaga kerja dari republik itu.

Ini termasuk tindakan ke atas para majikan dalam kes penderaan terhadap pekerja Indonesia dengan memastikan mereka ditangani mengikut lunas undang-undang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, berdasarkan penilaiannya, langkah yang dilakukan oleh kedua-dua negara saban tahun semakin positif.

''Perkembangannya cukup signifikan berbanding pengalaman kita pada masa lalu, ini satu pencapaian yang perlu kita menyatakan terima kasih atas semua itu.

''Apabila ada kes, kita tangani bersama sehingga ia tidak menjadi isu baru yang mungkin disalah ertikan oleh orang lain seolah-olah tidak ada tindakan cepat, tepat dan adil sehingga ia merugikan hubungan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengadakan mesyuarat delegasi di sini hari ini.

Susilo dalam rangka lawatan ke luar negara kali pertama sejak dilantik sebagai Presiden republik itu bagi penggal kedua 20 Oktober lalu.

Susilo mengakui sekali-sekala akan terdapat kes membabitkan tenaga kerja dari republik itu.

Namun, tegas beliau, kedua-dua negara tidak mengambil mudah dengan sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan.

''Jika ada masalah tenaga kerja Indonesia, maka hukum dan keadilan ditegakkan, siapa pun yang bersalah tentu harus mendapatkan saksi, dengan ketelusan yang tinggi tentu akan mengurangkan salah faham berkaitan perkara itu," katanya.

Dalam hal ini, beliau memahami sekiranya terdapat warga republik itu melakukan kesalahan di Malaysia, mereka harus diadili berdasarkan undang-undang negara ini.

Begitu juga sebaliknya, jelas Susilo, rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di Indonesia akan diadili berdasarkan undang-undang republik itu.

''Pada satu sisi, pekerja Indonesia menjadi sebahagian daripada proses pembangunan ekonomi Malaysia manakala pada sisi lain, mereka perlu dipastikan mendapat layanan yang baik," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan memberikan layanan adil dan saksama ke atas rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini.

Kata Najib, kerajaan akan memastikan majikan yang melakukan kekasaran terhadap pekerja Indonesia seperti kes penderaan pembantu rumah diambil tindakan.

''Banyak kes yang telah kita selesaikan termasuk membabitkan kes berprofil tinggi.

''Kita juga berharap tenaga kerja Indonesia juga tidak melakukan kesalahan, kalau ada, layanan yang sama juga diberikan, ini amat difahami oleh Presiden Susilo dalam pertemuan kami tadi,'' katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri berharap, warganegara Indonesia yang memasuki negara ini perlu memastikan status mereka pekerja asing yang sah.

"Ini bagi memastikan hak mereka lebih terjamin kerana kemasukan secara tidak sah memudahkan mereka dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya. - Utusan

Keputusan Isu Pembekuan Penghantaran Pembantu Rumah Indonesia Selepas Mesyuarat 20 November

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia akan hanya diketahui selepas berlangsung mesyuarat ketiga kumpulan kerjasama Malaysia-Indonesia mengenai pembantu rumah pada 20 November ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata mesyuarat ketiga itu bakal membincang dan membuat keputusan mengenai kos membawa masuk pembantu rumah Indonesia ke dalam negara.

"Saya harap pada mesyuarat akan datang, satu keputusan boleh dicapai mengenai 'structure cost' yang dicadangkan, dengan persetujuan kedua-dua pihak, dan jika isu-isu ini boleh diselesaikan saya berharap isu pembekuan pembantu rumah asing ini akan ditamatkan," katanya pada satu persidangan media di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Subramaniam menghadiri mesyuarat dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia A.Muhaimin Iskandar yang antara lain membincangkan isuisu berkaitan pekerja asing Indonesia dalam negara.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lalu berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Sementara itu, Hishammuddin pada persidangan media yang sama berkata satu unit khas ditubuhkan hasil daripada mesyuarat semalam, khusus bagi mencari kaedah terbaik menangani kes penderaan pembantu rumah dalam negara.

"Unit khas ini yang terdiri daripada pihak polis dan pegawai pendakwa akan melaporkan kajian mereka (mengenai kes penderaan) secara langsung kepada saya sendiri," katanya.

"Pihak kerajaan Indonesia melalui menteri bertanggungjawb (Muhaimin) juga akan dimaklumkan mengenai kajian itu dan akhirnya kami berdua (masing-masing) akan melaporkan terus kepada pihak Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya. - Mstar online

Thursday, November 12, 2009

SIAPA NAK BELA MAJIKAN : Onar amah 3 hari kerja

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


laporan polis." title="RUGI...Norhafizah di samping dua anak kecilnya menunjukkan
laporan polis." border="0">
RUGI...Norhafizah di samping dua anak kecilnya menunjukkan
laporan polis.

SEREMBAN: “Sebaik pulang, saya dapati dua anak kecil menangis hingga bengkak mata selain keadaan rumah berselerak,” kata seorang jurutera Pertonas yang menjadi mangsa ‘kebas dan cabut’ pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di sebuah kondominium di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Norhafizah Baharuddin, 29, berkata bayi lelakinya berusia empat bulan dan anak sulung berusia satu tahun 10 bulan menangis tidak henti-henti ketakutan kerana ditinggalkan bersendirian.

“Keadaan dalam rumah saya pula seperti dimasuki pencuri kerana semua bilik dan almari digeledah dipercayai dilakukan pembantu rumah.

“Selepas diperiksa, saya mendapati beberapa barang seperti telefon bimbit, jam tangan, pakaian dan kamera digital bernilai lebih RM5,000 hilang dan saya mengesyaki perbuatan itu dilakukan pembantu rumah,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Tuanku Jaafar (TTJ), Senawang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 29 Oktober lalu, pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Rika Hardianti, 21, dari Medan, yang baru bekerja tiga hari di rumah mangsa melarikan diri bersama sejumlah barang.

Lebih keji apabila wanita itu turut meninggalkan dua anak majikannya bersendirian dalam rumah yang dikunci.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia meninggalkan rumah bersama suami, Muhammad Yusry Muhamad Najib, 30, untuk keluar bekerja kira-kira jam 7 pagi dan meninggalkan pembantu rumah itu bersama dua anak lelaki.

“Saya bersama suami pulang ke rumah pada waktu makan tengah hari untuk menjenguk anak sebelum terkejut dengan kejadian yang berlaku.

“Dia (pembantu rumah) nampak baik dan kedua-dua anak saya sukakannya dan kami melayannya dengan baik. Tak sangka dia mempunyai niat tersembunyi walaupun baru tiga hari bekerja,” katanya.

Katanya, dia mengambil pembantu rumah itu melalui agensi pembantu rumah dengan bayaran kira-kira RM6,500 dua minggu lalu.

Menurutnya, dia dan suami sudah membuat aduan kepada ejen berkenaan dan difahamkan wanita itu baru beberapa minggu datang ke negara ini.

“Saya dan suami berusaha mengesannya melalui nombor telefon bimbit suami yang digunakannya untuk menghubungi seseorang, namun menemui jalan buntu.

“Kami percaya pembantu rumah itu melarikan diri dengan bantuan orang lain,” katanya.

Katanya, semua dokumen termasuk pasport wanita itu ada disimpan agensi pembantu rumah berkenaan.

Berikutan itu, suaminya membuat laporan di Balai Polis Ampang pada hari kejadian bagi memaklumkan perkara itu.

Menurutnya, sebelum ini, seorang pembantu rumahnya juga dari Indonesia yang belum tamat kontrak pulang ke negara asal untuk melihat bapanya yang sakit dan tidak pulang selepas itu. - Harian Metro

2 gadis dilayan macam hamba

KUALA LUMPUR: Dua gadis warga Vietnam mengalami detik hitam dalam hidup mereka apabila dipaksa menjadi hamba seks sindiket pelacuran selepas memasuki negara ini sejak dua bulan lalu.

Dua gadis berkenaan dilayan tidak ubah seperti hamba apabila dikurung ahli sindiket di sebuah rumah dan dikawal sepanjang masa.

Bagaimanapun, dua gadis berusia awal 20-an itu berjaya diselamatkan selepas sepasukan anggota polis Bukit Aman yang menerima maklumat badan bukan kerajaan (NGO) menyerbu rumah menempatkan gadis terbabit di Taman Perindustrian Kepong, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.45 malam itu, dua gadis berkenaan yang dijadikan ‘modal’ oleh sindiket pelacuran terbabit diselamatkan sebelum dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata, hasil serbuan itu, polis turut memberkas dua lelaki berusia 40-an dipercayai anggota sindiket pelacuran tempatan yang bekerjasama dengan sindiket pelacuran antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan menyelamatkan dua gadis terbabit hasil maklumat disalurkan NGO yang membantu polis memerangi aktiviti penyeludupan manusia ke negara ini.

“Berdasarkan maklumat itu, polis secara tidak langsung melumpuhkan aktiviti penyeludupan gadis dari Vietnam yang dijadikan pelacur.

“Siasatan awal mendapati dua gadis berkenaan dihantar ke lokasi tertentu di sekitar Lembah Klang oleh sindiket terbabit dengan kadar bayaran ratusan ringgit bagi setiap kali perkhidmatan.

“Kedua-dua gadis itu yang memasuki negara ini secara sah sejak beberapa bulan lalu dikurung dalam rumah berkenaan selepas selesai melayan pelanggan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Mengenai Laporan Penyeludupan Manusia, semalam.

Menurutnya, polis percaya mangsa diperdaya sindiket yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan di negara ini, namun mereka sebaliknya dijadikan pelacur.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada suspek mempunyai hubungan dengan sindiket lain dan usaha memburu saki baki penjenayah dan dalang sindiket berkenaan diteruskan.

“Ini kejayaan terbaru polis selepas melakukan 110 operasi membanteras kes penyeludupan manusia sepanjang tahun ini. Polis amat serius mengenai hal ini.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun kegiatan penyeludupan manusia ke negara ini masih berterusan atas beberapa faktor termasuk tarikan pekerjaan selain ekonomi negara ini yang berkembang maju,” katanya.

Menurutnya, langkah membanteras penyeludupan manusia itu digiatkan lagi selepas Amerika Syarikat (AS) menerusi Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2009’ oleh Jabatan Negara AS dikeluarkan Jun lalu menyenarai hitam negara ini kerana gagal mematuhi sepenuhnya piawaian minimum menghapuskan aktiviti itu serta tidak menunjukkan usaha bersungguh-sungguh menanganinya.

“Pihak berkuasa di negara ini terutamanya PDRM sudah mengambil langkah sewajarnya untuk membersihkan Malaysia daripada dikaitkan dengan pemerdagangan orang.

“Kita turut serius menangani kegiatan sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit oleh pendatang asing terutama dari negara dunia ketiga untuk menyeludup masuk ke negara maju seperti Australia dan Eropah,” katanya.

Selain daripada pengamal media, bengkel dua hari terbabit turut dihadiri oleh profesional berkaitan termasuk Atase Akhbar Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, Tina Melone; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya dan Koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez. - Harian Metro

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...