Monday, August 16, 2010

Tiga jenis visa saring kemasukan warga asing

PUTRAJAYA 15 Ogos - Semua warganegara asing yang memasuki negara ini akan disaring melalui tiga jenis visa yang perlu dimiliki setelah kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) dimansuhkan mulai esok.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tiga jenis visa itu adalah visa dengan rujukan, tanpa rujukan dan tanpa visa.

Katanya, melalui tiga jenis visa tersebut, ia akan memudahkan Imigresen membuat penyaringan lebih teliti melalui syarat-syarat visa berbanding VOA yang dikeluarkan sewaktu mereka tiba di pintu masuk.

''Sistem tiga jenis visa ini sudah dipraktikkan sebelum VOA diperkenalkan, jadi kita kembali kepada sistem asal kerana ia lebih menjamin keselamatan bagi mengelak mereka menyalahgunakan visa itu.

''Visa dengan rujukan diberikan kepada mereka yang ditaja oleh seseorang seperti majikan, visa tanpa rujukan pula adalah mereka yang perlu membuat permohonan dengan Pejabat Perwakilan Malaysia di negara masing-masing.

''Tanpa visa pula hanya diberikan kepada negara anggota ASEAN. Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, tempoh tinggal visa dengan rujukan boleh dilanjutkan sebulan demi sebulan sehingga tiga kali berbanding visa tanpa rujukan yang hanya boleh dilanjutkan sekali sahaja.

''Kita percaya dengan sistem tiga visa ini, negara dapat membendung penyalahgunaan visa dan kemudahan kawalan pintu masuk.

''Ini kerana masa saringan VOA terlalu pendek, tidak sampai setengah jam sahaja mereka boleh memilikinya tanpa kita dapat memeriksa rekod mereka terlebih dahulu sekiranya pernah tinggal melebihi masa," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak mahu masyarakat keliru dengan istilah visa dengan pas masuk.

''Visa berbeza dengan pas yang dikeluarkan kepada golongan tertentu seperti pas pelajar, pas lawatan sosial, pas lawatan kerja sementara, pas iktisas, pas penggajian, pas tanggungan dan pas transit.

''Tempoh yang dibenarkan tinggal di negara ini adalah berbeza mengikut pas-pas tersebut dan mereka juga ramai yang membuat kesalahan tinggal lebih masa," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Jabatan Imigresen akan membangunkan sistem terbaru yang dikenali MYIMMS yang mampu mengenal pasti jumlah warganegara asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini mulai 1 Disember ini.

''Keseluruhan sistem Jabatan Imigresen selepas ini akan menggunakan MYIMMS seperti sistem permit masuk, keselamatan dokumen dan penguatkuasaan selain dokumen keselamatan dan sistem kawalan pintu masuk," katanya. - UTUSAN

Empat Wanita Thailand Ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Polis menahan 54 individu termasuk empat wanita warga Thailand dalam dua serbuan cegah jenayah dan pelacuran di daerah Serdang dekat sini awal pagi semalam.

Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Bandar Puchong 14.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 50 pengunjung pusat hiburan itu ditahan. Lima daripada mereka positif mengambil dadah hasil ujian saringan air kencing.

"Kesemua lima yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1983," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah urut yang berselindung di sebalik pusat refleksologi di Bandar Puteri.

Menurutnya, pusat urut refleksologi itu menawarkan harga serendah RM120 sejam untuk khidmat urutan badan termasuk khidmat urutan seks.

"Empat wanita warga Thailand yang mempunyai pas lawatan sosial telah ditahan kerana dipercayai melakukan khidmat urutan seks.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat kemasukan," katanya.

Abd. Razak menambah, pemilik premis yang turut ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55B akta yang sama kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - UTUSAN

Sunday, August 15, 2010

Gaji Minimum RM600 Amah Indonesia Belum Diputuskan

KUALA SELANGOR 15 Ogos - Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah warga Indonesia sebanyak RM600 oleh kedutaan negara itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata penetapan gaji minimum itu tidak dilakukan dengan persetujuan kementeriannya atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya tidak tahu adakah pihak kedutaan Indonesia menetapkan perkara itu mengikut pentadbiran sendiri, tetapi pada apa yang dipersetujui oleh kita sehingga kini, semua isu gaji pekerja asing diputuskan mengikut kuasa pasaran, iaitu berdasarkan permintaan dan pembekalan.

"Oleh itu, apa yang dilakukan oleh pihak kedutaan adalah di luar pandangan kita dan kita akan siasat apa yang sebenarnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India di Dewan Harmoni Simpang Tiga, Ijok di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan beberapa majikan bahawa mereka terpaksa bersetuju membayar gaji minimum sebanyak RM600 sebagai syarat memperbaharui pasport pembantu rumah mereka.

Mereka mendakwa perkara itu diumumkan oleh pihak kedutaan Indonesia melalui sistem pembesar suara semasa pembantu rumah memperbaharui pasport.

Dakwa mereka lagi, pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa perjanjian berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah itu telah ditandatangani oleh Malaysia dan berkuat kuasa Julai lepas.

Subramaniam berkata kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan secara berterusan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa Malaysia menolak cadangan Indonesia bagi menetapkan gaji minimum pembantu rumah negara itu sebanyak RM800 sebulan kerana negara ini tidak mempunyai struktur gaji minimum. - BERNAMA

Pekerja Asing Bertindak Agresif Rakan Mati

SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang yang berkumpul di balkoni asrama kerana tidak puas hati dengan kematian pekerja Nepal di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU 15 Ogos - Lebih 5,000 pekerja asing sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini, pada Ahad berkumpul dan bertindak agresif termasuk membaling kerusi selepas menyangkakan kematian seorang rakan mereka disebabkan kelewatan majikan menghantarnya ke hospital.

Dalam kejadian selama tujuh jam mulai pukul 7 pagi di asrama pekerja itu, kumpulan pekerja asing rakyat Myanmar, Bangladesh, Nepal dan India berkenaan turut membaling sampah sarap sebagai tanda protes terhadap majikan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal yang ditemui di tempat kejadian berkata siasatan mendapati kesemua pekerja asing itu tersalah faham mengenai kematian rakan mereka.

"Sebenarnya rakan mereka yang berumur 20 tahun itu telah merahsiakan mengenai demam panas yang dialaminya dari majikan dan pihak pengurusan sebelum akhirnya bersetuju untuk ke hospital pagi tadi.

"Bagaimanapun, akibat lewat ke hospital, lelaki rakyat Nepal itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail kira-kira pukul 7 pagi," katanya.

Beliau berkata kematian itu menyebabkan rakan-rakannya menyangkakan dia mati akibat kelewatan majikan memabawanya ke hopital lalu berkumpul dan membuat bising di asrama itu bagi menyatakan ketidakpuasan hati.

Amer berkata kesemua pekerja berkenaan berjaya disuraikan kira-kira pukul 2 petang tanpa sebarang kecederaan dan dikawal sepenuhnya oleh polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Beliau berkata polis tidak membuat sebarang penahanan dalam kejadian itu dan telah menghubungi Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berhubung tuntutan mayat pekerja itu. - BERNAMA

Lagi Amah Didera Dan Disorok Dalam Tandas

SIBU 14 Ogos – Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera dengan kejam oleh majikannya sejak tiga bulan lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai di sini petang semalam.

Dalam serbuan pukul 1 petang di Jalan Kapua di sini, mangsa yang dikenali sebagai Sulasti dari Jakarta ditemui dalam tandas, dipercayai cuba disembunyikan majikannya yang ketakutan berikutan kehadiran polis.

MAJIKAN Sulasti ditahan dipercayai mendera pembantu rumahnya di Sibu, kelmarin.

Agak menyedihkan, ketika ditemui, wanita itu dalam keadaan lemah dan tidak mampu berjalan akibat kecederaan yang dialaminya.

Terdapat kesan kecederaan di kepala dan mukanya, dipercayai akibat ditampar manakala di badan wanita itu terdapat kesan luka dan melecur.

Polis kemudian menahan seorang suri rumah berusia 35 tahun yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan kerana disyaki terlibat mencederakan mangsa.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zamani Hamdan berkata, bertindak atas maklumat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, pihaknya menyerbu rumah kedai itu.

Beliau berkata, polis pada mulanya sukar untuk memasuki rumah itu berikutan keengganan pemilik rumah bekerjasama dengan polis.

Katanya, berikutan itu, polis terpaksa memotong pintu jeriji rumah kedai berkenaan untuk masuk sebelum menemui pembantu rumah berusia 21 tahun dalam tandas.

“Ketika ditemui, keadaannya tidak terurus. Dia kelihatan kurus dan tidak mampu berjalan berikutan kecederaan yang dialami malah kita mengesyaki dia tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zamani, ketika ditemui, mulut pembantu rumah itu berdarah dan tidak diberi makan dan minum. Pihaknya percaya mangsa telah didera sejak tiga bulan berkhidmat bersama majikan.

Beliau memberitahu, susulan penahanan suri rumah itu, polis bertindak menahan suaminya, seorang mekanik berusia 47 tahun kira-kira pukul 10 pagi ini.

Katanya, wanita itu dan suaminya kini ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 326 Kanan Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Kita juga sedang menimbang untuk mendakwa pasangan itu mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa permit yang sah,” jelas beliau.

Sementara itu, Sulasti mendakwa majikannya pernah memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki, kayu, rotan dan besi sepanjang tiga bulan dia bekerja dengan mereka.

Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu pada pukul 1.30 petang semalam untuk menerima rawatan lanjut. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...