Tuesday, August 10, 2010

Banyak Majikan Menentang Penetapan Gaji Minimum - Chandra Muzaffar

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kebanyakan majikan swasta di negara ini nampaknya menentang usaha untuk membela nasib golongan miskin melalui penetapan gaji asas minimum, kata pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Begitu pun, kata beliau kerajaan perlu terus menangani cabaran berhubung pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan dalam masyarakat, tanpa menghiraukan kerenah kumpulan kecil yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi masing-masing dan terlalu taksub dengan tanggapan dangkal bahawa "kuasa pasaranlah yang menentukan kadar gaji".

Ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar dalam kalangan anggota masyarakat di negara ini menjadi penghalang utama kepada perpaduan dan kesepakatan yang ingin dicapai di bawah Gagasan 1Malaysia, katanya dalam kenyataan Isnin.

Sekiranya 1Malaysia dibina berasaskan premis keterangkuman, maka ia bukan sahaja perlu memastikan 40 peratus rakyat yang tergolong dalam kelompok bawahan menerima pendapatan mencukupi untuk menyara kehidupan mereka, tetapi juga merapatkan perbezaan begitu ketara dalam bidang ekonomi dan sosial, yang mencemari maruah manusia, kata Dr Chandra.

Yayasan 1Malaysia adalah sebuah badan bukan mencari keuntungan, yang bermatlamat menggerakkan seluruh rakyat Malaysia berusaha ke arah mencapai perpaduan nasional dan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Dr Chandra berkata arah aliran gaji di Malaysia hanya mencatat pertumbuhan tahunan 2.6 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas, berbanding peningkatan besar kos sara hidup dalam tempoh yang sama dan inilah sebabnya kenapa hampir 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja memperoleh pendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Beliau berkata tidak sukar untuk mencari sebab kenapa pekerja di negara ini memperoleh pendapatan serendah itu dan kenapa jurang pendapatan dalam kalangan rakyat begitu ketara.

"Kebanjiran masuk tenaga kerja tidak mahir dan bergaji rendah ke negara ini sejak penghujung 1980-an memainkan peranan besar dalam merendahkan kadar upah bagi sekelompok rakyat.

"Pada waktu sama, peliberalan sektor kewangan dan penswastaan syarikat awam di Malaysia, seperti yang dilakukan di kebanyakan negara, telah meningkatkan pendapatan kelompok yang lain pula dan seterusnya melebarkan jurang ketidaksamaan," kata beliau.

Dr Chandra berkata kerajaan cuba memberi respons terhadap cabaran itu dengan mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan dengan menaikkan kadar upah serta memperbaiki keadaan bekerja dalam sektor ekonomi tertentu.

Katanya 90 peratus negara memiliki undang-undang yang memperuntukkan gaji minimum mengikut cara masing-masing.

Bagaimanapun, kata beliau banyak ahli ekonomi dan sosiologi hari ini berpendapat bahawa istilah "gaji minimum", yang merupakan produk era sebelum ini, perlu digantikan dengan istilah "pendapatan untuk menyara kehidupan" yang mempunyai kaitan dengan maruah manusia.

"Pendapatan untuk menyara kehidupan" adalah paras pendapatan minimum yang mampu memenuhi lima keperluan asas setiap manusia serta tanggungan mereka -- makanan, tempat kediaman, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Keperluan ini amat perlu dipenuhi untuk melindungi maruah manusia," katanya.

Dr Chandra mendakwa kerajaan, pemilik modal dan anasir-anasir lain yang berkuasa di peringkat atasan dalam masyarakat, sering gagal melindungi maruah orang ramai, yang mengakibatkan meningkatnya jumlah mereka yang terpinggir dan tidak berpuas hati di kebanyakan tempat di dunia.

China adalah contoh sebuah negara di mana kadar pertumbuhannya yang mencapai kadar luar biasa sejak awal 1990-an, hanya memberi manfaat kepada golongan minoriti, bukan golongan majoriti serta menjadi punca meningkatnya kekacauan sosial. Perkara ini diakui oleh Akademi Sains Sosial China, sebuah badan yng begitu dihormati.

Demikian juga halnya bagi India di mana kejayaan ekonominya yang amat membanggakan, tidak membawa perubahan kepada berjuta-juta penduduknya. Kajian terbaru Pertubuhan Bangsa Bersatu mendapati bahawa sepertiga daripada golongan miskin di dunia boleh dikatakan hidup dalam keadaan melarat.

Bantahan oleh pergerakan "baju merah" di Thailand, yang mewakili sebahagian besar penduduk miskin luar bandar di negara itu, disifatkan oleh sesetengah penganalis sebagai luahan perasaan marah dan kecewa golongan yang terpinggir.

Dr Chandra berkata nasib 40 peratus daripada rakyat Malaysia yang merupakan golongan berpendapatan rendah tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan keadaan golongan miskin di China, India atau Thailand.

"Bagaimanapun, peminggiran tetap berlaku. Sebahagian daripada perasaan terpinggir ini diluahkan melalui peti undi dalam Pilihan Raya Umum Mac 2008. Peningkatan kadar jenayah yang begitu ketara dan pelbagai kes pengabaian sosial yang muncul antara 2006 dan 2008 juga, mungkin berpunca daripada pemencilan dan peminggiran ini.

"Terdapat juga kemungkinan bahawa sebahagian daripada mereka yang termasuk dalam golongan ini -- terutama belia -- berasa mereka dipinggirkan oleh masyarakat, yang lebih memberi perhatian terhadap selera golongan elit, daripada memenuhi tuntutan naluri mereka agar mereka dihormati dan diberi pengiktirafan.

Dr Chandra berkata tiada siapa yang pasti bagaimana peminggiran golongan miskin ini dan mereka yang terpaksa berhempas pulas untuk memenuhi keperluan hidup, akan menampakkan kesannya dalam beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, kata beliau kerajaan perlu menangani isu berkaitan pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan ini dengan sebaik-baiknya. - BERNAMA

Dua Lelaki Dipenjara Dan Didenda Kerana Perdagang Manusia

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pemandu teksi dan seorang peniaga masing-masing dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, pada 2009.

Hakim Fathiyah Idris mengarahkan Mohd Nazeri Mat Hussein, 51, dan Azhar Yusof, 33, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 7 Julai 2009.

Beliau membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah Isnin. Fathiyah juga mengarahkan mereka dipenjara 60 bulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dikenakan penjara tiga tahun dan denda RM5,000 dan jika gagal bayar denda, dikenakan penjara enam bulan lagi, manakala bagi pertuduhan kedua mereka dikenakan penjara lima tahun dan denda RM50,000 dan jika gagal dikenakan penjara 60 bulan.

Mohd Nazeri, didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Myanmar, 29, bagi tujuan eksploitasi mengikut Seksyen 13 Akta Antipermerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendapatkan keuntungan RM1,500 hasil daripada dagangan itu, mengikut Seksyen 15 akta yang sama, yang mana boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang Kompleks Pasar , Jalan Ipoh, Sentul pada 11.30 pagi, 7 Julai 2009.

Manakala tertuduh kedua, Azhar Yusof, pula didakwa atas dua pertuduhan yang sama dan mengikut Seksyen 13 dan 15 akta yang sama, di Kompleks Maybank Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 1.30 petang.

Mereka tidak diwakili peguam bela.

Seorang lagi rakannya yang mengaku bersalah Ayub Jehmi@Ayub Che Mik, 50, dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 atau dipenjara 60 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Ayub yang diwakili peguam bela Amiruddin Mohd Rosli, didakwa menerima hasil keuntungan itu sebanyak RM1,000 di Malayan Banking Kulai Jaya, Jalan Besar Johor, pada 11.55 pagi pada 9 April 2009, mengikut Seksyen 15 akta yang sama.

Sementara seorang lagi tertuduh iaitu petugas dari Jabatan Imigresen Johor, Rahman Selamat, 45, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap dua pertuduhan yang sama mengikut seksyen yang sama, di Pengkalan Haram Kertas, Kampung Guah Tok Deh, Rantau Panjang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12.30 pagi hingga 1 pagi, 9 April 2009.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan Rabu depan untuk sambung bicara untuk tertuduh, Rahman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar.

Ketiga-tiga tertuduh masih gagal membayar denda itu. - BERNAMA

Sunday, August 8, 2010

10 Pelacur Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita asing yang menjalankan aktiviti pelacuran ditahan di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat kecantikan di Jalan Kuchai Lama di sini kelmarin.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, ASP Khairi Anuar Rusli berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, yang disertai dua pegawai dan 11 anggota itu, polis turut menahan sembilan pelanggan dan seorang penjaga premis warga China.

“Hasil risikan selama dua hari itu, kita dapati premis berkenaan bukan sahaja menjalankan rawatan kecantikan dan spa tetapi turut menawarkan khidmat seks,” katanya kepada media selepas serbuan itu.

Khairi Anuar berkata, semua wanita yang ditahan itu berumur antara 20 dan 30 tahun, manakala pelanggan premis terdiri daripada lelaki tempatan, berumur antara 20 dan 40 tahun.

“Wanita asing dari beberapa negara ini menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan dua daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, premis yang beroperasi selama setahun itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan dan operasinya bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 pagi.

“Caj RM80 dikenakan kepada setiap pelanggan yang menginginkan oral seks dan RM150 untuk khidmat seks. Pelacur-pelacur ini juga perlu berbogel ketika menjalankan rawatan urutan kepada pelanggan premis,” katanya. - Bernama

20,000 Pendatang Minta 'ampun' Melalui PPP-PATI


Cari peluang sambut hari raya di Indonesia Dengan Pulang Secara Sah Melalui Program Penghantaran Pulang PATI
KUALA LUMPUR: Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, kira-kira 20,000 Indonesia yang mencari rezeki di negara ini tanpa sebarang dokumen membanjiri kedutaan republik itu untuk mendapatkan ‘pengampunan’ dengan memohon Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam masa dua bulan, bermula Jun 2010, kira-kira 12,000 rakyat Indonesia memohon SPLP, berbanding lima bulan pertama tahun ini apabila kira-kira 8,000 rakyat republik itu menyerah diri untuk tujuan sama.

Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya, Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata jumlah rakyat Indonesia memohon SPLP meningkat secara mendadak kerana masing-masing berhasrat menjalani ibadat puasa dan menyambut 1 Syawal bersama keluarga.

“SPLP adalah langkah terbaik untuk membolehkan rakyat Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan pulang melalui saluran sah, selain mengelak ditahan pihak berkua-sa negara ini.

“Majoriti rakyat Indonesia tidak memiliki dokumen adalah mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan atau pekerja melarikan diri daripada majikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mei lalu, seramai 8,000 warga Indonesia menyerah diri dengan lebih 7,000 berbuat demikian dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Dalam tempoh itu juga, antara 30 hingga 50 orang memohon SPLP setiap hari.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi menangkap pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini. Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan berikutan rayuan pelbagai pihak.

Widyarka berkata, rekod kedutaan Indonesia menunjukkan, dalam masa dua bulan sehingga akhir Julai lalu, sebanyak 19,727 SPLP dikeluarkan dan kira-kira 200 orang tampil setiap hari.

Beliau berkata, warga Indonesia yang menyerah diri perlu membayar kompaun, tambang perjalanan pulang sama ada melalui laluan laut atau udara, selain RM15 untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Katanya, walaupun menyediakan saluran mudah untuk rakyat republik itu pulang ke tanah air tetapi masih ada yang menggunakan ‘jalan belakang’ terutama menerusi laluan laut. - Berita Harian

Dagang orang: Segera hubungi kedutaan

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara dinasihatkan agar mendapatkan bantuan segera daripada pihak kedutaan di negara berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, tanpa laporan, kerajaan tidak mengetahui kes-kes melibatkan rakyat negaranya.

Katanya, dalam sesetengah kes, kerajaan hanya mengetahui kes rakyat negara ini yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia apabila dimaklumkan pihak berkuasa negara tersebut.

“Jika tiada laporan, kita tidak tahu ada kes pemerdagangan membabitkan rakyat Malaysia di luar negara kerana kita hanya tahu di dalam negara sahaja.

“Sebab itu, kita minta rakyat kita yang menjadi mangsa pemerdagangan supaya membuat laporan kepada kedutaan Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka dibantu,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Menghentikan Pemerdagangan Seks Kanak-Kanak anjuran syarikat kosmetik terkenal, The Body Shop di pekarangan kompleks beli-belah The Pavillion di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Mina Cheah Foong; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainul Mohd. Nur dan Ketua Pengarah Pengurusan The Body Shop Malaysia, Datuk Simon Foong.

Menurut Abu Seman, aktiviti pemerdagangan manusia merupakan sindiket yang beroperasi secara teratur dan terancang.

Beliau berkata, kurangnya kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kegiatan tersebut menjadi punca pihak berkuasa sukar menangani jenayah terbabit.

“Mangsa pemerdagangan manusia memang sukar dikenal pasti sebab mereka memasuki negara ini secara sah menggunakan pas pelawat. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...