Wednesday, August 4, 2010

19 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu

ALOR SETAR 3 Ogos - Tak serik-serik. Biarpun pernah ditahan dan dihantar pulang ke negara asalnya kira-kira empat bulan lalu, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masih tetap menyeludup masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, wanita berusia 20-an itu berjaya ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Imigresen negeri di sekitar bandar raya ini semalam.

Tidak pernah serik dan mencabar pihak berwajib. - Gambar hiasan.

Timbalan Pengarahnya, Hasreena Hashim berkata, seramai 33 pegawai Imigresen telah melakukan pemeriksaan di rumah sewa di sembilan lokasi berbeza sekitar Alor Setar dan Felda Sungai Tiang, Pendang, dekat sini.

"Wanita tersebut telah berkahwin dengan warga Myanmar dan dipercayai masuk semula ke negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak kami percaya ramai antara PATI masuk semula ke negara ini dengan menggunakan jalan laut," ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi selama enam jam itu dan berakhir kira-kira pukul 4 pagi berjaya menahan seramai 19 PATI.

"Tujuh yang ditahan ialah warga Kemboja, Myanmar (lima), Bangladesh (empat) dan Indonesia (tiga).

"Pasukan kami terpaksa memecahkan pintu rumah selepas mereka enggan memberikan kerjasama," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan lapan bulan hingga 40 tahun dan dipercayai melakukan kesalahan seperti tiada pas perjalanan, tinggal lebih masa dan memiliki pas perjalanan palsu.

"11 tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah.

"Lima lagi akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(l), Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Hasreena menambah, mereka akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. - UTUSAN

34 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Gambar hiasan

PULAU PINANG 3 Ogos - Seramai 34 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) rakyat China termasuk seorang penjaga lelaki tempatan bertempiaran lari apabila pusat hiburan yang menjadi 'sarang' kegiatan tidak bermoral mereka diserbu polis tengah malam tadi.

Namun, cubaan GRO wanita yang berpakaian menjolok mata termasuk salah seorang yang cuba menyorok di sebalik timbunan kertas upacara keagamaan, tidak berhasil apabila mereka semua berjaya dicekup oleh pihak berkuasa.

Dalam operasi 'Ops Noda' selama empat jam bermula pukul 12.30 tengah malam di sebuah premis hiburan di Pulau tikus di sini, 15 daripada GRO itu cuba melarikan diri menggunakan laluan rahsia di tempat itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, serbuan yang dijalankan Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu adalah hasil intipan pihaknya dan maklumat orang awam.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, semua GRO wanita warga China itu sedang sibuk melayan pelanggan masing-masing.

"Kita berjaya mengepung dan menahan mereka yang cuba melarikan diri, bagaimanapun kita percaya ada antara mereka yang sempat meloloskan diri dipercayai dengan bantuan tonto," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal, semua GRO berusia 20 hingga 30 tahun itu bukan sahaja menjalankan aktiviti tidak bermoral malah menetap di sini walaupun melebihi tempoh yang ditetapkan.

Polis juga percaya wanita-wanita yang ditahan itu turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan berdasarkan keadaan di bilik berhibur di premis berkenaan.

Kata beliau, semua wanita terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 55 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit.

"Pemilik premis pula akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit," ujarnya. - UTUSAN

Tuesday, August 3, 2010

Pengeluaran VOA Kepada Pelancong Asing Dibatalkan - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (JKKPA-PATI) kali ke-4 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. Bersamanya ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri).

PUTRAJAYA 2 Ogos - Kerajaan Isnin memutuskan untuk tidak lagi memperkenalkan semula visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah membatalkan pelaksanaan VOA itu adalah kerana didapati kemudahan tersebut banyak disalahgunakan, sebelum ini.


"Pada masa lepas, kita beri kelonggaran kepada beberapa buah negara di mana kalau pelawat itu datang dari negara itu, mereka tiada visa... visa boleh dikeluarkan waktu mereka sampai di pintu masuk ke Malaysia.

"Ini (VOA), kita lihat berlaku kes-kes penyalahgunaan dan sebagainya. Kita bersetuju VOA dibatalkan atau tidak lagi diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini memutuskan bahawa 29 daripada 50 syor dan inisiatif yang dikemukakan dalam makmal pengurusan warga asing sebelum ini, boleh dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau berkata 19 lagi inisiatif tersebut memerlukan kajian lanjut manakala dua lagi digugurkan kerana ia tidak wajar dilaksanakan.

"Bagi 29 inisiatif yang telah dipersetujui, kita akan teliti perkara ini. Saya sudah minta setiap agensi dan kementerian terlibat, yang dipertanggungjawabkan untuk laksanakan inisiatif ini untuk menentukan bila waktu yang paling sesuai untuk dikuatkuasakan.

"Saya juga minta mereka membawa balik (laporan) kepada jawatankuasa Kabinet ini pada mesyuarat akan datang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat juga bersetuju supaya sebuah sekretariat tetap ditubuhkan sebagai mekanisme untuk menyusul pelaksanaan inisiatif makmal pengurusan warga asing tersebut.

Katanya 12 pegawai daripada pelbagai agensi dan kementerian akan ditempatkan di sekretariat itu, yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu yang melibatkan pelbagai bidang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju agar langkah-langkah untuk menangani pekerja asing tanpa izin dikuatkuasakan dengan lebih berkesan lagi.

Katanya penguatkuasaannya akan melibatkan 'total solution' iaitu mulai di peringkat awal iaitu semasa pendaftaran sehinggalah ke peringkat akhir melibatkan penguatkuasaan.

"Maka, setiap peringkat kita akan perkukuhkan peraturan dan tindakan supaya masalah pekerja asing tanpa izin dapat diatasi secara lebih berkesan.

"Angka pekerja asing tanpa izin di negara ini besar dan ini menimbulkan masalah kepada negara," katanya. - BERNAMA

Tahanan Afghan Lari: KSU KDN Dan KP Imigresen Diberi Kata Dua - Hishammuddin

PUTRAJAYA 2 Ogos - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Isnin memberi kata dua kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berhubung insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen KLIA Ahad.

"Saya langsung tidak puas hati. Apa jua sistem yang kita wujudkan, apa jua penekanan yang kita berikan, apa jua undang-undang yang kita pinda, kalau kerja pegawai saya di KDN dan Jabatan Imigresen tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, maka isu-isu sebegini akan berterusan.


"Kalau satu kes, mungkin kita kata ada kesilapan, kita boleh maafkan. Dua tiga kes kita mungkin kata kecuaian. Tetapi kalau berulang kali, saya tidak boleh dengar lagi alasan terlalu ramai sangat orang di pusat tahanan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

Dalam kejadian pada 3 pagi semalam, tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.

Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.

Mengulas lanjut, Hishammuddin mahu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah itu supaya ianya tidak berulang.

Beliau berkata jika ada kekurangan atau kelemahan di depot berkenaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepadanya supaya tindakan susulan dapat diambil.

"Saya penat buat pindaan terhadap akta berhubung kait pemerdagangan manusia. Tetapi bila mereka (pesalah) dibawa ke pusat tahanan, kita dengar berulang kali mereka dapat larikan diri.

"Kalau perkara ini tidak dibendung dan diambil serius sama ada di KDN atau Jabatan Imigresen, maka isu ini tidak akan selesai. Maklumkan kepada saya kalau ada kekurangan. Tetapi kalau mendiamkan diri dan perkara seumpama ini berlaku, mereka kena jawab kepada saya," katanya.

Hishammuddin tidak menafikan depot tahanan tersebut mempunyai kekurangan namun itu bukannya lagi alasan sehingga tahanan di situ boleh melarikan diri. - BERNAMA

Monday, August 2, 2010

Mangsa Korban Tiada Dokumen

Orang ramai melihat keadaan kereta Chevrolet yang terbabas mengakibatkan tiga mangsa terkorban di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Malang bagi sekumpulan lima warga asing dari Asia Barat apabila kereta Chevrolet yang mereka naiki terbabas melanggar tiang papan tanda mengakibatkan tiga terkorban di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran susur keluar Jalan Klang Lama di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi itu, dua mangsa termasuk seorang wanita dipercayai warga Iran mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Seorang lagi mangsa wanita mati sejam kemudian selepas dibawa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Sehingga petang semalam, tiga mangsa yang terkorban belum diketahui identiti masing-masing kerana polis tidak menemui apa-apa dokumen pengenalan diri pada mangsa-mangsa itu.

Difahamkan, kesemua mereka yang berusia awal 20-an itu merupakan pelajar di sebuah kolej di Damansara di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, sebelum tragedi itu, kereta yang dipandu lelaki asing itu dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Petaling Jaya.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda.

"Akibat rempuhan kuat itu, kereta berwarna biru tersebut remuk teruk menyebabkan dua penumpang belakang dan seorang lelaki yang berada di tempat duduk hadapan maut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas kemalangan itu, menurut beliau, dua lagi penumpang lelaki termasuk pemandu kereta tersebut yang cedera ringan menghilangkan diri. - KOSMO

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...