Tuesday, April 13, 2010

Kerajaan siasat dakwaan MTUC - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 12 April - Jabatan Imigresen dan polis telah diminta menghantar laporan berhubung dakwaan terdapat lebih 150,000 pekerja asing tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selepas menerima laporan berkenaan barulah beliau dapat mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.

''Sebenarnya memang majikan tidak boleh memegang pasport mana-mana individu dan ia juga tidak boleh dibuat dengan alasan mengelak pekerja lari.

''Saya difahamkan bahawa dengan memegang pasport ini, masih ada pekerja asing yang lari daripada majikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam pada Sabtu lalu bahawa lebih 150,000 pekerja asing yang bekerja di restoran dan kedai kopi tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.

Menurut Balasubramaniam, pekerja berkenaan tidak berniat untuk tinggal melebihi tempoh tetapi telah dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa yang telah tamat tempoh.

Sehubungan itu, MTUC mencadangkan kerajaan memberikan pengampunan khusus kepada kumpulan itu untuk kembali ke negara asal mereka.

Menurut Hishammuddin, adalah sukar untuk menyatakan secara tepat jumlah pekerja yang pasport mereka dipegang oleh majikan dan bilangan sebenar pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

''Ini kerana ada dua kategori pekerja asing sedemikian di Malaysia iaitu yang datang ke sini secara sah dan selepas itu menjadi tidak sah kerana tinggal lebih masa serta mereka yang sejak awal-awal lagi tiba di negara ini tanpa dokumen sah.

''Jumlah sebenar hanya dapat disahkan setelah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing mendapat laporan penuh daripada lapan kementerian dan 15 agensi yang ditugaskan memantau isu ini," katanya.

Menurut beliau, angka tepat jumlah PATI itu akan memudahkan kerajaan melakukan pemantauan dan tapisan bagi mengenal pasti pekerja yang tinggal lebih masa kerana pasport dipegang majikan dan menghantar mereka yang masuk tanpa dokumen sah pulang ke negara asal.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, ahli patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand perlu mengemuka bukti lengkap berhubung dakwaan beliau tidak dapat menyertai inkues Teoh Beng Hock kerana bimbang keselamatan dirinya berikutan terdapat 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

''Isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana kerajaan menjamin keselamatan semua orang termasuk bukan warganegara Malaysia dan pelancong yang berada di negara ini.

''Sekiranya terdapat pihak yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing, mereka sepatutnya melaporkan kepada polis dengan menyertakan maklumat lengkap," katanya.

Tegas beliau, dakwaan Pornthip itu setakat ini hanya bersifat umum dan ia menyukarkan kerajaan untuk melakukan siasatan.

''Saya menyeru kepada beliau untuk memberikan maklumat yang lebih jelas bagi membolehkan kita melakukan siasatan menyeluruh kerana kita tiada apa-apa yang hendak disembunyikan," ujarnya. - Utusan

205 PATI Warga Indonesia Ditahan Cuba Melarikan Diri

TAWAU, 12 April (Bernama) -- Seramai 205 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam sebuah feri penumpang kerana cuba meninggalkan negara ini melalui Tawau secara haram lewat petang Isnin.

Jurucakap Jabatan Imigresen Tawau Surend Jayshee Praser berkata kesemua PATI berkenaan termasuk 55 wanita dan 31 kanak-kanak yang berumur antara tiga dan 58 tahun itu, ditahan ketika feri yang mereka naiki cuba berlepas ke Nunukan, Indonesia kira-kira pukul 5.15 petang.

"Kesemua penumpang berkenaan menaiki perahu pete-pete (sejenis perahu kecil berinjin sangkut) dari pantai ke feri penumpang yang menunggu mereka di tengah laut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Katanya selepas diperiksa didapati kesemua penumpang dalam feri berkenaan tidak mempunyai dokumen sah yang membolehkan mereka meninggalkan negara ini.

Menurutnya mereka dihantar ke Pusat Tahanan Sementara PATI di Jalan Utara bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (c) Akta yang sama.

Beliau berkata juragan feri berkenaan turut ditahan dalam operasi yang disertai 25 anggota yang diketuai Ketua Imigresen Tawau Syamil Chelvam Shah Abdullah bagi membantu sisatan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen. --BERNAMA

Monday, April 12, 2010

Empat GRO China diberkas


TAHAN...empat wanita warga China yang ditahan dalam serbuan, semalam

KLANG 11 April - Kelab malam yang menawarkan perkhidmatan seks kini bukan sahaja wujud di pusat-pusat bandar tetapi semakin popular di ladang kelapa sawit.

Awal pagi ini, sebuah bangunan usang di ladang kelapa sawit di Teluk Gong, Pandamaran di sini yang menyediakan kemudahan kelab malam dan hiburan, diserbu.

Berperanan sebagai mini kelab malam, pelanggan akan duduk dan minum dalam bangunan itu sebelum memilih pasangan yang rata-ratanya wanita warga China.

Selepas bersetuju dengan harga yang ditawarkan, pelanggan akan mencari tempat lain termasuk pusat-pusat hiburan di pusat bandar bersama wanita warga asing tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menahan empat wanita warga China berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di premis itu.

Kata beliau, operasi hasil maklumat orang ramai itu diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Klang, Deputi Supritendan Roslan Ibrahim bersama 18 orang anggota polis mulai pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

"Ketika serbuan, wanita warga asing itu sedang duduk di meja-meja yang disediakan bagi melayan tetamu.

"Polis percaya premis itu sebagai transit sebelum GRO dan pengunjungnya pergi berhibur di pusat-pusat hiburan lain di bandar ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad menambah, keempat-empat wanita itu kini ditahan mengikut Akta Imigresen dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an selaku penjaga premis turut ditahan empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, premis itu didapati beroperasi tanpa lesen daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). - Utusan

Majikan Simpan Pekerja Asing Tamat Tempoh Visa Boleh Kena Tindakan

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati masih membenarkan pekerja asing untuk terus bekerja dengan mereka walaupun selepas visa pekerja berkenaan tamat tempoh, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Dalam satu kenyataannya di sini , beliau berkata sebaik sahaja tempoh visa pekerja terbabit tamat, majikan mereka seharusnya memohon untuk melanjutkan tempoh tersebut, atau menghantar pekerja berkenaan kembali ke negara asal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu leporan berita hari ini yang memetik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai mendakwa lebih 150,000 pekerja asing di reatoran dan kedai-kedai makan tidak dapat kembali ke negara asal apabila tempoh visa mereka tamat kerana pasport mereka dipegang oleh majikan masing-masing.

Naib Presiden MTUC A.Balasubramaniam dilaporkan berkata pekerja itu tidak berniat untuk tinggal lebih daripada tempoh yang dibenarkan, tetapi mereka dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh.

Subramaniam berkata jumlah pekerja asing yang terlibat sebagaimana yang didakwa oleh MTUC agak besar, dan beliau meminta supaya MTUC membekalkan maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja. -- BERNAMA

Sunday, April 11, 2010

16 warga asing ditahan ketika nyenyak tidur

ALOR GAJAH: Seramai 16 pekerja warga asing sebuah kilang yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup ketika nyenyak tidur dalam Ops Sapu di Taman Seri Pelangi, Rembia, dekat sini, awal pagi semalam.

Kebanyakan warga asing berkenaan yang nyenyak tidur atau berehat di luar rumah tergamam apabila disergah pihak berkuasa yang berjaya mengelirukan mereka.


Pengarah Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa Melaka, Shadan Othman, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing sekitar taman perumahan terbabit sebelum pihaknya melakukan risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa anggota dibahagi dalam kumpulan dan menjalankan serbuan serentak sebelum menahan 16 pekerja lelaki iaitu enam warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh berusia 20 hingga 39 tahun kerana didapati tiada dokumen sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Warga asing terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan, di mana jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali,” katanya.

Shadan berkata, tindakan undang-undang mengikut akta sama juga boleh dikenakan kepada rakyat tempatan jika menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang tanpa izin (Pati) bekerja atau tinggal di premis mereka.

“Rakyat tempatan yang bersubahat boleh ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pati boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kebanjiran warga asing ke negara ini.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dan melaporkan kepada jabatan kami bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Turut serta dalam operasi itu ialah polis, Jabatan Imigresen negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...