Saturday, April 10, 2010

Warga asing bolot tapak pasar

PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sudah buat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beberapa kali dan tindakan sudah diambil, tetapi selang beberapa hari, masalah sama berulang kembali,” katanya.

Gambar hiasan

Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.

“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.

Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.

“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.

“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. - Harian Metro

Spa aksi kamar mandi diserbu


Pusat pelacuran sedia khidmat istimewa berselindung perniagaan salun

KUALA LUMPUR: Pakej mandi bersama antara perkhidmatan tambahan ditawarkan kepada pelanggan di sebuah pusat pelacuran di Taman Sri Petaling, Sungai Besi di sini yang berselindung di sebalik perniagaan salun kecantikan.

Ia terbongkar dalam serbuan malam kelmarin oleh sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPPKL) hasil maklumat awam. 
 Gambar hiasan

Dalam serbuan itu, polis menahan tujuh wanita warga asing dari China, Vietnam dan Indonesia berusia antara 22 hingga 36 tahun, selain seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dipercayai ibu ayam.

Cif Inspektor Badrul Hisham Bakri yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan, semua pelacur terbabit tidak sempat melarikan diri kerana sedang tawar-menawar dengan pelanggan.

“Siasatan awal mendapati pelacur terbabit mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 bergantung kepada perkhidmatan diinginkan pelanggan, termasuk khidmat tambahan iaitu mandi bersama dalam tab mandi yang disediakan di situ.

“Turut ditemui beberapa kondom yang berselerak dan rekod pelanggan di premis terbabit. Berdasarkan lapan bilik yang dibina dari papan lapis, kita tidak menolak kemungkinan kegiatan ini baru aktif beberapa bulan lalu,” katanya.

Semua pelacur dan ibu ayam yang ditahan, termasuk beberapa lelaki tempatan berusia 52 hingga 59 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk disoal siasat. - Berita Harian

Friday, April 9, 2010

38,316 warga asing kerja tanpa permit

KUALA LUMPUR: Seramai 38,316 warga asing kebanyakannya dari India dan Sri Lanka serta tidak mempunyai permit kerja kini bekerja sebagai tukang masak atau pekerja am di restoran Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kajian Gabungan Persatuan dan Pengusaha Restoran Malaysia mendapati daripada jumlah itu, 29,437 bekerja di restoran dan kedai kopi Cina, manakala 8,879 lagi di restoran India. Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India, Datuk R Ramalingam di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Hadir sama Ketua Biro itu, Datuk Michael Chong.

Ramalingam bimbang sekiranya Jabatan Imigresen membuat serbuan ke atas restoran dan menghantar pulang pekerja yang tidak mempunyai permit, pengusaha restoran berdepan masalah kekurangan pekerja yang serius, sekali gus mungkin terpaksa gulung tikar.

“Pengusaha restoran bukan mengutamakan pekerja asing, masalah kita ialah rakyat tempatan enggan bekerja di sektor pemakanan dengan menjadi tukang masak atau pekerja restoran.

“Pada 1999, kami pernah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari pekerja dan berjaya merekrut 630 lelaki menganggur dan yang berminat untuk bekerja.

“Kami turut menanggung kos pengangkutan sebanyak RM1,500 untuk seorang, bagaimanapun pelaburan itu tidak berbaloi kerana mereka hanya bertahan selama enam bulan dan beralih ke pekerjaan lain,” katanya.

Berikutan itu, Ramalingam bersama enam persatuan pengusaha restoran termasuk pengusaha kedai dobi dan landskap menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya satu kajian berhubung penghantaran pulang pekerja asing terbabit diperincikan semula.

Ramalingam tidak menafikan pelbagai kes jenayah dilaporkan kebelakangan ini mengenai salah laku warga asing, bagaimanapun bukan semuanya bermasalah, malah ada yang bekerja semata-mata mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara asal.

“Sektor ini sebenarnya memberi pendapatan lumayan, sekiranya bekerja dengan rajin, tukang masak restoran mampu meraih antara RM1,500 hingga RM4,500 sebulan manakala pekerja am sehingga RM1,000,” katanya. - Berita Harian

Thursday, April 8, 2010

Majikan Masih Potong Yuran Levi, Dakwa MTUC

PETALING JAYA, 8 April (Bernama) -- Majikan masih mengenakan potongan bayaran levi dari gaji pekerja asing walaupun kerajaan telah meminta mereka supaya menghentikan amalan itu, dakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada hari Khamis.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, kerajaan telah menaikkan bayaran levi pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

Katanya kerajaan juga mewajibkan yuran levi itu dibayar oleh majikan dan bukan oleh pekerja berkenaan berkuatkuasa April tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman kerajaan itu tidak dilaksanakan kerana wujud kekeliruan sama ada Jabatan Imigresen atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Balasubramaniam berkata MTUC telah banyak menerima aduan dari golongan pekerja asing yang mengadu majikan mereka masih mengenakan potongan gaji sebagai yuran levi.

Sebelum syarat ini, levi, yang berjumlah antara RM360 untuk pembantu rumah hingga RM1,400 untuk pekerja asing dalam sektor pembuataan, dibayar oleh pekerja berkenaan secara ansuran bulanan.

Balasubramaniam meminta JTK meningkatkan langkah penguatkuasaan dan memastikan majikan memulangkan wang potongan yuran levi yang dikenakan terhadap pekerja mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah JTK, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamad, berkata pekerja yang dikenakan potongan gaji sebagai yuran levi perlu melaporkan kepada pejabat JTK berdekatan untuk bantuan.

"Langkah itu adalah bertentangan dengan undang-undang bagi majikan meneruskan potongan gaji pekerja kerana kami sudah memaklumkan kepada majikan terlebih dahulu menerusi pelbagai surat pekeliling," katanya. -- BERNAMA

Pengemis asing cemar Klang

KLANG - Menggunakan modus operandi dengan membawa anak kecil untuk meraih simpati masyarakat untuk meminta sedekah, pengemis warga asing dilihat semakin berleluasa di bandar ini.

Walaupun taktik itu sudah tidak lagi laku dan orang ramai sudah tidak lagi melayan pengemis berkenaan, namun kehadiran mereka menggugat ketenteraman awam dan mencemar imej bandar diraja ini.

Sebahagian pengemis itu dipercayai berasal daripada Bangladesh dan Myanmar berdasarkan rupa paras dan fizikal mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa lokasi antaranya Jalan Pasar dan sekitar Hentian Jalan Kepayang menunjukkan masalah ini jika tidak diatasi bakal menjadi satu lagi identiti negatif bandar Klang.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab diminta segera menangani masalah tersebut dengan mengambil tindakan sepatutnya agar bandar ini bersih daripada golongan pengemis warga asing ini. - Sinar Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...