Tuesday, December 1, 2009

Gaji pembantu rumah Indonesia mengikut perjanjian lama

KUALA LUMPUR 1 Dis.- Sehingga kini Malaysia dan Indonesia masih mengguna pakai perjanjian persefahaman (MoU) mengenai pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 13 Mei 2006, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, berdasarkan perjanjian itu penetapan gaji pembantu rumah ditentukan melalui persetujuan di antara majikan dan pembantu rumah berkenaan yang termaktub dalam kontrak pekerjaan.

Beliau berkata, isu berkaitan dengan desakan untuk menetapkan gaji yang lebih tinggi kepada pembantu rumah Indonesia tidak pernah dibangkitkan secara rasmi oleh kerajaan Indonesia.

"Perkara ini hanya dilaporkan secara meluas oleh pihak media sedangkan kerajaan Malaysia tidak pernah menerima sebarang desakan atau permohonan daripada kerajaan Indonesia,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu pendirian kerajaan berkaitan tuntutan gaji pembantu rumah Indonesia yang kini dianggap

“amat mahal” serta kemudahan bercuti di hujung minggu.

Sehubungan itu Maznah berkata, kementerian berpendapat bahawa soal desakan untuk menetapkan gaji pembantu rumah yang lebih tinggi tidak timbul. - Utusan

1.5 juta pekerja asing dalam negara

TEMERLOH 1 Dis. - Sehingga kini terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor dalam negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan penurunan ketara berbanding jumlah dua juta pekerja asing yang bekerja dalam negara tahun lepas.

Menurutnya, ketika ini masih ada kalangan syarikat swasta yang memohon untuk mendapatkan khidmat pekerja asing terutama di sektor perladangan, namun kerajaan tidak menggalakkannya.

"Kerajaan tidak menggalakkan pengambilan pekerja asing dalam jumlah yang banyak kecuali dalam bidang-bidang tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan tahunan Kuil Sri Maha Lingeswarar di Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan setakat ini masih lagi membenarkan pengambilan pekerja asing dari China, India, Filipina, Nepal, Indonesia dan Thailand tetapi hanya dalam bidang tertentu seperti kejuruteraan bagi menampung keperluan. - Utusan

Pemerdagangan Orang, 88 Ditangkap Dan 39 Didakwa

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sejak Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dikuatkuasakan, seramai 88 individu ditangkap dan 39 didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan manakala lima orang telah disabitkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah menjalankan siasatan ke atas dakwaan berkaitan penglibatan penjawat awam dalam pemerdagangan pelarian Myanmar.

"Sehingga kini terdapat satu kes pendakwaan berkaitan dengan isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil yang dicapai dan jumlah tangkapan serta dakwaan mahkamah dibuat untuk mengelakkan Malaysia disenaraikan lagi oleh negara asing sebagai sebuah negara yang giat dalam memperdagangkan dan penyeludupan manusia.

Hishammuddin berkata kerajaan memandang serius jenayah pemerdagangan orang dan menghargai keprihatinan anggota Parlimen dalam menangani isu ini dan terhadap imej Malaysia yang diturun taraf kepada Tier 3 dalam Laporan Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang 2009.

Beliau berkata kesungguhan Malaysia menangani isu itu telah dimanifestasikan dengan mewujudkan akta berkenaan yang diluluskan pada 24 April 2007 dan berkuatkuasa sepenuhnya mulai Februari 2008.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah mengarahkan supaya kes-kes berkaitan warga asing kecuali kesalahan-kesalahan jenayah yang jelas di bawah akta-akta lain seperti bunuh dan mengedar dadah, disiasat terlebih dahulu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang.

Untuk mempergiat usaha memerangi jenayah ini, Hishammuddin berkata Majlis Antipemerdagangan Orang telah melaksanakan beberapa dasar dan mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya mewujudkan Pelan Tindakan Strategi Antipemerdagangan Orang Nasional yang menggariskan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun bagi memantapkan penguatkuasaan dan pelaksanaan usaha membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan mewujudkan jaringan kerjasama dari segi perkongsian dan pertukaran maklumat serta risikan antara agensi-agensi penguatkuasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Dalam konteks antarabangsa juga, saya ingin menegaskan bahawa isu pelarian Myanmar khususnya Rohingya bukanlah masalah yang boleh ditangani sendiri oleh Malaysia kerana ia merupakan isu serantau dan antarabangsa.

"Ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Proses Bali peringkat menteri pada Mac 2009. Isu ini harus ditangani dengan teliti dengan menyelesaikan punca sebanrnya," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan memperhebatkan operasi laut dari segi pemantauan dan penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin di semua laluan yang sering digunakan untuk tujuan kegiatan penyeludupan manusia.

"Bagi mengatasi kelemahan dan kekaburan yang terkandung dalam peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang 2007, Jawatankuasa Perundangan yang diketuai Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji semula dan merangka pindaan ke atas akta ini dalam aspek perundangan, penguatkuasaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Antara aspek penting yang turut dikaji adalah cadangan untuk memasukkan kesalahan penyeludupan manusia ke dalam akta ini, katanya. -- BERNAMA

28 Pelacur Warga China Ditahan

SUBANG, 30 Nov (Bernama) -- Dua puluh lapan pelacur warga China ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan polis dari Bukit Aman di pusat karaoke sebuah hotel mewah di sini, malam Isnin.

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, ada di antara mereka sedang melayan pelanggan dan terdapat kira-kira 230 pelanggan berada di 15 bilik karaoke.

Mereka yang ditahan berumur antara 25 hingga 30 tahun dan memasuki negara ini menggunakan visa pelajar.

Kesemua mereka yang ditahan dan dibawa ke Bukit Aman untuk disiasat mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas pelajar.

Sumber polis berkata pusat itu telah diserbu sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun.

Modus operandi sindiket ialah kereta mewah membawa wanita berkenaan ke hotel dan kemudian berjumpa dengan pelanggan di bilik karaoke untuk urusan lanjut. -- BERNAMA

Monday, November 30, 2009

Ugut tuan rumah

AMPANG: Teguran ikhlas seorang wanita kepada penyewa bilik rumahnya di Taman Bukit Teratai, di sini yang membawa pulang teman lelaki sebulan lalu mengundang padah apabila dia diugut bunuh sebelum diekori beberapa lelaki yang cuba menakutkannya, Jumaat lalu.

Berikutan kebimbangan itu, mangsa yang kini mengandung anak kembar menghubungi polis apabila dia teringatkan perbualan telefon penyewa bilik rumahnya dengan seseorang yang cuba melakukan perbuatan buruk terhadapnya.

Difahamkan, penyewa bilik terbabit, seorang wanita warga Indonesia pada mulanya membawa pulang teman lelaki dan tidur semalaman di rumah itu, bulan lalu menyebabkan mangsa tidak berpuas hati.

Mangsa kemudian menegur wanita terbabit secara baik kerana perbuatannya itu dilihat jiran, namun suspek berang dan membalas nasihat itu dengan menghamburkan kata-kata cacian.

Menurut sumber polis, suspek turut memberitahu dia boleh melakukan apa saja termasuk membunuh mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana suspek masih menyewa di rumahnya.

“Sejak itu, mereka hanya bermasam muka dan mangsa sudah tidak berani menegur kerana setiap nasihat yang diberikan itu pasti akan dibalas kata cacian dan maki hamun selain ugutan bunuh daripada suspek,” katanya.

Bagaimanapun, pada malam Jumaat lalu, mangsa mula berasa takut apabila dia terdengar perbualan telefon antara suspek dengan rakannya.

“Dalam perbualan itu, mangsa terdengar suspek mengajak seseorang datang ke rumah itu dan seperti merancang sesuatu membuatkan dia ketakutan dan teringat akan ugutan yang diterimanya sebelum ini.

“Kerisauan itu ditambah lagi dengan ketiadaan suaminya yang bekerja pada malam berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang risau keselamatannya keluar dari rumah menuju ke telefon awam untuk menghubungi polis, namun ketika itu tiga lelaki dipercayai warga asing mengekorinya.

“Bagaimanapun, mangsa sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis bergegas ke lokasi dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suspek tinggal menyewa di rumah mangsa sejak setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan dan tangkapan yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. - Harian Metro

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...