Sunday, November 29, 2009

Pembekuan kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia kekal: PM

Daripada Zulkofli Jamaludin

PORT OF SPAIN: Malaysia tidak bercadang mengkaji semula sekatan pengambilan pekerja dari Bangladesh walaupun mendapat permintaan daripada pemimpin republik itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sekatan itu dilakukan bagi mengelak ejen pekerja asing menyalahgunakan kedudukan mereka sehingga ramai pekerja Bangladesh menjadi mangsa, apabila menjual harta dan ternakan untuk membiayai perjalanan ke Malaysia.

"Penipuan seperti inilah yang kita ingin elakkan. Mereka minta sekatan dikaji semula tetapi faham dalam keadaan sekarang, sukar untuk kita menambah pekerja asing," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina di sini, hari ini.

Pertemuan itu sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di ibu negara Trinidad dan Tobago yang dihadiri 32 ketua kerajaan selain naib presiden, timbalan perdana menteri serta menteri kanan.

Sebelum itu, Kaunselor Buruh Bangladesh, Talat Mahmud Khan, dilaporkan berkata 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di Malaysia untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, kerajaan membatalkan serta-merta visa kemasukan itu yang diluluskan pada 2007 bagi mengelak kemasukan pekerja asing terbabit kerana tiada keperluan.

Najib berkata, dalam pertemuan itu Sheikh Hasina melahirkan perasaan berpuas hati dengan hubungan dua hala dan perdagangan yang memihak Malaysia melalui pelaburan syarikat Malaysia di Bangladesh. - Berita Harian

Saturday, November 28, 2009

Aidiladha: Warga asing banjiri ibu negara


Warga asing mengambil kesempatan pada cuti umum Hari Raya Aidiladha beriadah di Menara Berkembar Petronas, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Ketika jutaan umat Islam negara ini merayakan Aidiladha di kampung halaman masing-masing, warga asing pula memenuhi lokasi tumpuan awam di ibu negara.

Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Berkembar Petronas (KLCC) hari ini mendapati, rata-rata mereka adalah warga Indonesia dan Bangladesh yang mengambil kesempatan sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan-rakan atau keluarga.

Dengan pelbagai gelagat, ada yang dilihat begitu leka mengambil gambar dan ada pula menikmati makanan secara berkumpulan di taman rekreasi menara tersebut.

Seorang pekerja buruh warga Indonesia, yang hanya mahu dikenali sebagai Jayadi, 32, memberitahu, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk bersiar-siar bersama keluarga pada cuti umum walaupun hanya sehari.

"Hanya dengan cuti umum, saya dapat bersama keluarga, hari lain sibuk dengan kerja.

"Sebab itu cuti Aidiladha ini saya gunakan dengan membawa keluarga melihat KLCC," katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Sementara itu, Ater Rossain, 23, yang berasal dari Bangladesh juga berkongsi pendapat yang sama.

Dia mengambil peluang sempena cuti umum ini untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sini bersama rakan-rakan.

"Saya tidak mempunyai saudara-mara di sini untuk menyambut hari raya bersama-sama. Sebab itu saya bersiar-siar bersama rakan-rakan sekerja," katanya yang bekerja di sebuah restoran di ibu negara.

Surao, 21, yang berasal dari Makasar, Indonesia, pula berkata, dia dan rakan-rakan mengambil peluang berkunjung ke KLCC kerana ingin melihat keunikan bangunan itu dari dekat.

"Saya bekerja di Putrajaya sebagai buruh, sebab itu saya belum pernah berpeluang melihat menara ini dari dekat.

"Sebagai pekerja buruh asing yang berjauhan dari keluarga, beginilah cara kami menyambut hari raya," katanya yang kali pertama menyambut Aidiladha di sini.

Sementara itu, seorang warga tempatan yang ditemui, Sakinah Mohamad, 26, berkata, kebanjiran warga asing di ibu negara ketika cuti umum sudah menjadi kelaziman.

"Namun pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek keselamatan kerana dikhuatiri berlaku perkara yang tidak diingini apabila mereka berkumpul beramai-ramai," katanya yang tidak pulang berhari raya di kampungnya di Terengganu kerana banjir. - Utusan

Friday, November 27, 2009

CCTV rakam amah hempas bayi ke lantai

TANJUNG MALIM: Seorang bayi perempuan parah selepas dipercayai didera pembantu rumah yang bertindak menghempasnya ke lantai sebelum mengangkat bayi malang itu dengan menarik rambutnya yang kemudian dihumban keluar dari bilik tidur ke ruang tamu di Jalan Kempas, Proton City, dekat sini.

Perbuatan kejam pembantu rumah warga Indonesia berusia 30-an itu disyaki dilakukan kira-kira jam 6 petang pada Selasa lalu ketika bayi berkenaan nyenyak tidur di atas katil manakala ibu bapa bayi berusia setahun lapan bulan itu masih di tempat kerja masing-masing.

Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan, berkata perbuatan terhadap bayi bernama Allysa Idrina Azizan itu dikesan ibunya selepas menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah mereka ekoran melihat kecederaan teruk pada tubuh anaknya.

Katanya, sebelum itu, bapa mangsa yang bekerja di sebuah bank di Teluk Intan diberitahu isterinya bahawa terdapat kesan lebam pada muka dan pipi anak mereka manakala biji mata kanannya berdarah selepas isterinya pulang dari bekerja.

"Ibu mangsa bersama pembantu rumah itu yang baru lapan bulan bekerja dengannya membawa Allysa ke sebuah klinik di pekan ini dan hasil pemeriksaan awal doktor mengesahkan kesan kecederaan pada muka dan mata bayi itu disebabkan terjatuh atau terkena hempasan atas permukaan keras .

“Oleh kerana tidak sedap hati dengan laporan doktor, , ibu mangsa melihat semula rakaman CCTV dalam rumahnya dan terkejut melihat pembantu rumahnya menarik kaki anak perempuannya yang tidur lalu menghempasnya ke lantai dan beberapa minit kemudian kelihatan wanita itu menarik rambut bayi perempuan itu sehingga terangkat kedua-dua kaki lalu mencampaknya dari bilik sehingga ruang tamu dengan kejam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Tanjung Malim, semalam.

Mohd Ali berkata, oleh kerana ketakutan ibu mangsa menelefon jiran meminta menemaninya dan menelefon suaminya di Teluk Intan sebelum membuat laporan di Balai Polis Behrang Stesyen kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Katanya, polis menahan pembantu rumah yang berasal dari Bandung itu kira-kira jam 2.15 pagi hari sama dan direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Berita Harian

Sindiket dagang manusia tumpas

KOTA KINABALU: Polis Sabah melumpuhkan satu sindiket memperdagangkan manusia dengan menyelamatkan tujuh wanita warga asing yang dipercayai digunakan untuk tujuan maksiat dalam serbuan di sebuah rumah papan di Tawau, Selasa lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) yang turut menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga asing, semuanya berusia 21 hingga 30 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner II Zainal Abidin Kasim, berkata semua wanita warga asing yang diselamatkan itu berusia 19 hingga 24 tahun dan ditempatkan dalam jagaan sementara.

“Serbuan dibuat selepas pemerhatian dan risikan. Kita berjaya menyelamatkan tujuh mangsa yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak sihat,” katanya. - Berita Harian

Imigresen tahan 20 PATI

Oleh unaidi Ladjana

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam satu operasi bersepadu di Jalan Kimanis-Papar di Papar, Sabah, semalam.


PAPAR 26 Nov. - Bahagian Penguat Kuasa Imigresen cawangan Sabah berjaya menahan lebih 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu di Jalan Kimanis-Papar dekat sini hari ini.

Ketua Operasi tersebut, Mahadzir Mohamad berkata, kesemua mereka kini ditahan reman untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa operasi dijalankan.

"Kebanyakan yang ditahan adalah penumpang pengangkutan awam yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, operasi bersepadu itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Kita masih dalam proses menapis dan jika ada orang yang tampil untuk membantu atau mengemukakan dokumen pengenalan diri, mereka akan dibebaskan," katanya.

Sementara itu, pasukan operasi AADK berjaya menahan dua lelaki tempatan yang didapati positif dadah jenis syabu selepas ujian air kencing dijalankan terhadap mereka.

Menurut Ketua Operasi AADK, Abdul Rahim Awang Yussof, kedua-dua lelaki yang ditahan itu merupakan pemandu kenderaan yang berumur dalam lingkungan 20-an.

Dalam operasi itu, lima saman telah dikeluarkan JPJ terhadap beberapa kenderaan yang melakukan kesalahan.

"Antara saman yang dikeluarkan termasuklah kerana tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Operasi bersepadu itu adalah kali kedua diadakan dalam tempoh satu minggu di mana sebelum ini operasi sama telah dijalankan di Jalan Telipok dekat sini pada 19 November lalu. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...