Wednesday, November 18, 2009

KDN, KPT bekerjasama pantau penggunaan pas pelajar

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula proses penyaringan dan pemantauan pengambilan pelajar asing ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini membabitkan aspek prosedur dan syarat kemasukan meliputi penetapan kelayakan akademik minimum dan kesesuaian pencapaian akademik dengan bidang pengkhususan yang dipohon di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, kerjasama pemantauan mereka yang memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar bertujuan mengelakkan penyalahgunaan pas itu serta mengatasi isu kebanjiran warga Afrika di sekitar Kuala Lumpur yang mengundang kerisauan dan rasa tidak selamat di kalangan penduduk tempatan.


"Sebahagian daripada mereka itu didapati masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar atau visa pelancong yang kemudiannya ditukar kepada pas pelajar, namun tujuan sebenarnya bukanlah untuk melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kedua-dua kementerian juga akan bekerjasama untuk membuat semakan berkala terhadap pas pelajar yang dikeluarkan kerana didapati wujud segelintir yang memegang pas berkenaan tetapi sudah tidak menghadiri kuliah di institusi tempat mereka mendaftar.

Selain itu, katanya, KDN melalui agensi berkaitan akan memperkenalkan sistem biometrik di setiap pintu masuk negara, sebagai usaha penambahbaikan sistem kemasukan pelawat ke negara ini.

"Usaha penambahbaikan ini membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan agar mereka yang dilarang memasuki negara ini dapat dikenal pasti," katanya.

Bagi menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin secara menyeluruh, Hishammuddin berkata, antara usaha yang sedang digerakkan adalah penghantaran pulang pendatang secara sukarela dan pengusiran pendatang yang ditahan melalui proses penguatkuasaan.

Rekod peribadi mereka yang pulang ini akan disimpan dan mereka sama sekali dilarang memasuki negara ini pada masa depan, katanya. - Berita Harian

Kanak-kanak dilarikan amah

SHAH ALAM 17 Nov. - Kerana terlalu percayakan pembantu rumah, seorang tukang masak warga Myanmar, Aung Soe atau Abu Hussin, 38, kehilangan satu-satu anaknya, Siti Nurdiana Aung Soe, 2.

Siti Nurdiana dipercayai dilarikan pembantu rumah warga Indonesia dikenali sebagai Suparmi, 50, yang baru dua bulan bekerja di rumah Aung Soe di Apartment Brunsfields Riverview, Seksyen 13 di sini tengah hari ini.

Lebih malang lagi, Aung Soe tidak tahu di mana hendak menjejaki Suparmi kerana wanita itu tiada permit kerja yang sah dan merupakan pendatang tanpa izin.

Menurut Aung Soe yang telah 10 tahun bekerja sebagai tukang masak di sebuah syarikat sajian makanan di Glenmarie di sini, dia dan isterinya, Haslinda Damanik, 35, warga Indonesia menyedari kehilangan anaknya sewaktu pulang dari kerja kira-kira pukul 7.30 malam ini.

"Sampai di rumah, saya dah rasa lain macam kerana rumah saya gelap. Apabila masuk dan membuka lampu saya terkejut kerana rumah saya bersepah, kunci rumah di atas lantai dan anak serta orang gaji saya tiada.

"Isteri saya pula terus meraung apabila mendapati beberapa helai baju Siti Nurdiana telah tiada.

"Saya terus hubungi majikan saya dan dia kemudian membawa saya dan isteri membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong sebelum pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini untuk diambil keterangan," katanya di perkarangan IPD Shah Alam di sini malam ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang melancarkan gerakan memburu pembantu rumah tersebut. - Utusan

Tuesday, November 17, 2009

Warga Indonesia sebabkan kematian rakan dipenjara 13 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pemotong daging warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian rakan senegaranya dari Sumatera Utara selepas pertengkaran tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Shahrul Efendi, 30, menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan pada 3 Disember 2006 selepas beliau mengaku bersalah ke atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian buruh pasar, Adi Syaputra, 31.

Shahrul dituduh melakukan kesalahan itu di rumah No 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini, kira-kira jam 9 malam pada 3 Disember 2006.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka yang bekerja di Pasar Chow Kit mula bertengkar ketika sedang minum di sebuah warung tetapi dileraikan oleh rakan-rakan senegaranya.

Sepuluh minit kemudian, Shahrul dikatakan mengekori mangsa ke satu lorong berhampiran sebelum kembali dengan sebilah pisau yang berlumuran darah serta kesan darah di bajunya.

Adi yang ditikam sekali di bahagian dada, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Shahrul ditahan polis pada hari sama berhampiran tempat kejadian.

Terdahulu, peguam Rozal Azimin Ahmad yang mewakili Shahrul memberitahu mahkamah tertuduh tidak berniat untuk mencederakan Adi tetapi ia lebih berpunca daripada perasaan marah selepas dia diserang Adi dengan sebiji gelas dan menerima lima jahitan di kepalanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar, berhujah bahawa mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh bukan saja memasuki negara ini secara haram tetapi telah melakukan satu kesalahan yang serius. - Berita Harian

Awang Hitam: Imigresen bimbang

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Jabatan Imigresen melahirkan rasa bimbang dengan trend peningkatan kemasukan secara haram warga Afrika atau dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ ke negara ini.

Ini kerana siasatan mendapati mereka yang memasuki negara ini melalui cara tersebut banyak menyumbang dalam kegiatan jenayah.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Raja Mohammad Raja Ismail berkata, antara cara yang digunakan oleh mereka untuk memasuki Malaysia ialah melalui ‘jalan tikus’ dan pasport palsu yang didalangi oleh sindiket antarabangsa.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil tangkapan warga berkenaan di Lembah Klang dalam tempoh Januari hingga November lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tangkapan terbabit di atas faktor keselamatan.

“Bilangan kemasukan ‘Awang Hitam’ ke negara ini menggunakan dokumen palsu walaupun masih kecil jumlahnya tetapi perlu dipandang serius kerana menimbulkan banyak masalah dan jenayah.

“Imigresen sedar perkara ini dan akan bertindak dan melakukan operasi secara berterusan untuk memburu mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini mengenai kebanjiran warga Afrika sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan penduduk tempatan.

Dalam laporan tersebut, sebanyak 56,240 warga negara itu dikesan memasuki Malaysia secara sah, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Seramai 21 warga Afrika ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan jenayah.

Dalam pada itu, Raja Mohammad memberitahu, selain memasuki negara menggunakan jalan tikus dan pasport palsu, warga Afrika juga dikesan tinggal lebih masa di negara ini. - Utusan

Sunday, November 15, 2009

Pusat jagaan orang tua jadi sarang PATI

KUALA LUMPUR 15 Nov. — Pusat penjagaan rumah orang tua kini menjadi sarang dan taktik terbaru yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyembunyikan diri daripada diberkas pihak berkuasa.

Ini terbukti apabila seramai 175 orang warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh ditahan dalam serbuan Ops Nyah II selama tiga jam yang melibatkan sebuah Pusat Penjagaan Rumah Orang Tua Nan Yang Tasik Permai, sekitar kawasan Ampang dan kawasan bersepadan balai Ampang dan balai Pandan Indah di sini, yang bermula kira-kira 1.30 pagi tadi.

Mereka yang terdiri daripada 85 lelaki termasuk seorang kurang upaya, 60 wanita dan 30 kanak-kanak itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan.

Ketika serbuan di pusat penjagaan rumah orang tua tersebut, polis mendapati hanya lapan orang warga emas tempatan yang tinggal di pusat penjagaan tersebut manakala seramai 18 PATI menyewa di pusat penjagaan itu, katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut tentang penyewaan di pusat penjagaan tersebut kerana kami (polis) mendapat maklumat bahawa PATI telah menyewa tempat tersebut selama lima bulan yang lepas dan tindakan yang setimpal akan dikenakan terhadap tuan punya rumah (penyewa),” katanya yang tidak menolak kemungkinan penyewa menggunakan cara pantas ini untuk mendapatkan keuntungan. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...