Thursday, November 5, 2009

Tujuh ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan tujuh lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pukul dua penjenayah hingga mati oleh sekumpulan 50 warga Myanmar di Pasar Borong Selayang, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, enam lelaki terbabit berasal dari Myanmar, manakala seorang lagi dari Bangladesh, kesemuanya berusia antara 22 dan 30 tahun.

“Mereka ditahan dalam operasi khas yang dilancarkan bermula jam 9.30 malam tadi (kelmarin) dan berakhir kira-kira jam 1 pagi ini (semalam).

“Tangkapan dibuat di sekitar kawasan pasar borong,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam kelmarin, seorang daripada lelaki berkenaan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi dalam perjalanan ke hospital, selepas dibelasah kumpulan warga asing itu. - Berita Harian

Wednesday, November 4, 2009

Suri rumah mengaku tidak bersalah memperdagang manusia

PETALING JAYA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, September lalu.

Anita Nordin, 43, dari Petaling Jaya didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Indonesia, Deden Firman, 27, bagi tujuan mengeksploitasinya di sebuah rumah bernombor 5 PJS/7/15D Bandar Sunway, jam 2 petang, 29 September lalu.

Ibu kepada tiga anak itu juga didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang wanita Indonesia, Patimah, 36, pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Anita yang diwakili peguam bela T Mishant, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Zahari, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin bagaimana pun beliau tidak membantah sekiranya mahkamah memberikan jaminan dengan menawarkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

"Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan dari peguam bela dan mengambil kira faktor kesihatan kamu (tertuduh) mahkamah membenarkan kamu diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin," kata Hakim Balqis Aini Mohd Ali.

"Dari segi undang-undang kamu tidak bersalah selagi kesalahan itu belum dibuktikan tetapi ini tidak bermakna kamu boleh mengambil ringan perkara ini di samping kamu perlu menjaga kesihatan kamu," kata Balqis Aini.

Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula. - Berita Harian

Tuesday, November 3, 2009

Hati-hati pilih isteri kalangan warga asing

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Hati-hati memilih pasangan dari kalangan warga asing. Itu nasihat kepada lelaki di negara ini yang ghairah mencari wanita cantik dari kalangan warga asing.

Ini kerana ada yang menjadikan kecantikan itu sebagai alat untuk mengikis sebanyak mungkin wang daripada lelaki negara ini sebelum melarikan diri ke negara asal masing-masing.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini dibuktikan apabila pihaknya menerima lima aduan berhubung perkara itu pada tahun ini.

Katanya, beliau percaya jumlahnya lebih banyak tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau yang bimbang mengenai fenomena itu berkata, sesuatu perlu dilakukan supaya bilangan mangsa tidak terus meningkat.

"Kita sering mendapat aduan kejadian seumpama itu yang melibatkan wanita warga China, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus aduan melibatkan wanita warga China," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Ampang di sini.

Malah, katanya, golongan lelaki itu juga akan 'dikikis' sehingga pokai sebelum ditinggalkan sebagai bapa tunggal bagi menyara anak-anak hasil perkongsian hidup mereka.

Menurutnya, antara alasan untuk 'mengikis' wang suami mereka ialah perlu memperbaharui pasport dan beberapa dokumen penting lain selain perbelanjaan harian.

Michael memberitahu, berdasarkan maklumat daripada pihak imigresen, wanita asing itu tidak dianggap bersalah kerana mereka meninggalkan negara ini sebelum tamat tempoh pasport.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya golongan lelaki tidak terlalu gopoh dalam memilih calon isteri yang terdiri daripada warga asing bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku ke atas diri mereka. - Utusan

Sering berlaku : Warga Nepal disamun

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Empat lelaki yang menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), menyamun beberapa warga Nepal di rumah mereka di Flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, suspek-suspek yang lengkap berpakaian Rela dikatakan mengetuk pintu rumah itu kononnya untuk tujuan membuat pemeriksaan pendatang asing.

Sejurus selepas dibenarkan masuk, suspek-suspek itu kemudian mengunci pintu rumah terbabit lalu mengarahkan semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

"Mangsa-mangsa diarahkan supaya duduk di satu lokasi di dalam rumah terbabit sebelum suspek melarikan telefon bimbit dan wang tunai.

"Jumlah barangan yang berjaya dilarikan suspek dianggarkan bernilai RM6,000," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat lelaki yang berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. Utusan

Monday, November 2, 2009

Amah dipenjara enam tahun racun majikan

KUANTAN: Seorang pembantu rumah dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah meracun majikannya, kira-kira setahun lalu.

Nurhayati Ahmad, 22, dari Lombok, Indonesia mengaku bersalah terhadap perbuatan dakwaan meracun Jaharah Daud, 77, di sebuah rumah beralamat di No 6 Lorong I/M 5/14, Bandar Indera Mahkota, di sini kira-kira jam 1.30 petang, 16 Julai tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dilaksanakan mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Julai 2008.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dan anak perempuannya serta tertuduh masuk ke dapur untuk makan tengah hari sebelum mangsa kemudiannya meminum air kopi yang dihidangkan tertuduh berasa pahit dan mendapati minuman itu berbau selain bertukar warna menjadi kelabu.

Anak mangsa yang tidak sedap hati mengesyaki sesuatu kemudiannya memeriksa sup sayur dihidangkan pembantu rumah itu dan mendapati ia turut berbau sama.

Mereka yang mengesyaki makanan dan minuman berkenaan sudah dicampur racun kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berhubung perkara itu pada hari sama.

Anggota polis yang bergegas ke rumah mangsa menemui sebotol racun berada di atas sinki dan sebotol lagi diletakkan di dalam almari dapur rumah berkenaan.

Mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama untuk membuat pemeriksaan ditahan bagi pengawasan kesihatan sehingga keesokan harinya dan laporan kimia yang diterima pada 10 September 2008 mengesahkan mangsa diracun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana memasukkan racun ke dalam makanan dengan niat atau dengan pengetahuannya boleh menyebabkan kematian kepada mangsa yang jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara atau denda.

Terdahulu, peguam tertuduh, Mohd Fadly Hashim, merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dan mohon dipenjarakan kerana tertuduh ketika itu baru sebulan bekerja di rumah mangsa selain tertuduh perlu menyara lapan adik beradik yang berada di Lombok kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia.

"Tertuduh juga menyesal dan insaf dengan apa yang berlaku dan ingin pulang ke kampung halamannya untuk meneruskan kehidupan," kata Mohd Fadly.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukannya adalah berat dan boleh membawa kematian. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...