Wednesday, October 28, 2009

29 pendatang asing Indonesia ditahan


Sebahagian daripada warga Indonesia yang ditahan kerana cuba masuk secara haram di Tawau, semalam.

TAWAU 27 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dalam satu operasi di kawasan Sungai Tongkang di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, mereka yang ditahan kira-kira pukul 11.50 pagi itu berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an.

"Daripada jumlah itu, 27 pendatang asing tersebut merupakan lelaki manakala selebihnya wanita. Mereka diperiksa dalam sebuah feri dari Nunukan, Indonesia ke Tawau dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menunjukkan surat pelepasan cuti kononnya daripada majikan mereka di sini tetapi setelah diperiksa, ternyata ia adalah palsu.

"Surat itu sebenarnya dikeluarkan di Nunukan dan dibeli oleh PATI berkenaan dengan harga 450,000 Rupiah Indonesia (RM150)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah itu adalah modus operandi PATI dari negara tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi membolehkan mereka membolosi negara ini.

Menurutnya, semua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh didenda RM10,000, lima tahun penjara dan disebat. - Utusan

Ops Seleratahan 22 PATI

JOHOR BAHRU 27 Okt. - Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 15 wanita ditahan dalam Ops Selera di beberapa lokasi berbeza di sekitar bandar raya ini, malam semalam hingga awal pagi ini.

Dalam operasi oleh Jabatan Imigresen negeri bermula kira-kira pukul 8 malam hingga 3 pagi itu, kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen negeri, Nor Shahidah Zolkifly berkata, dalam operasi di sebuah restoran di Danga Baya, pihaknya menahan empat lelaki warga Bangladesh.

"Selepas itu, 12 PATI termasuk 10 wanita dari Myanmar, India dan Vietnam ditahan di kawasan Taman Setia Indah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam operasi itu juga, beliau menambah, seorang lelaki dan lima wanita warga India pula ditahan di kawasan Taman Setia Purnama, di sini.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 17 dan 51 tahun serta disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh ditetapkan," katanya.

Nor Shahidah berkata, kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, dekat sini untuk siasatan lanjut.

"Pihak kami akan terus menggiatkan usaha termasuk memperbanyakkan lagi operasi bagi menangkap PATI," katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan disertai oleh seramai 19 anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen negeri. - Utusan

7 warga asing samun kilang beras


Amer Awal (kiri) melihat kampit-kampit beras yang dijumpai semula di kawasan pengumpulan barangan kitar semula di Jalan Kempas Lama, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 27 Okt. - Tujuh lelaki warga asing bertindak melarikan lima buah lori mengandungi 50 tan beras bernilai RM200,000 dalam rompakan nekad di sebuah kilang beras di Kawasan Perindustrian Senai, Seelong di sini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam membabitkan sekumpulan penjenayah yang bersenjatakan parang dan kayu.

Katanya, siasatan mendapati kesemua mereka telah memanjat pagar kilang berkenaan sebelum mengikat kedua-dua pengawal kilang berkenaan.

"Sejurus menerima maklumat itu, kami telah menubuhkan satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya dan menemui sebuah lori membawa 10 tan beras tersebut.

"Kenderaan itu ditemui di persimpangan Jalan Seelong-Kempas, kira-kira 20 minit selepas kejadian," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kempas, di sini hari ini.

Amer berkata, kira-kira tiga jam selepas itu, polis menemui empat buah lori beras kosong yang ditinggalkan di tepi jalan Lebuh Raya Pasir Gudang.

Katanya, hasil maklumat awam, polis kemudian menyerbu sebuah gudang kosong di Batu 8, Jalan Skudai, Off Jalan Kempas Lama, pada pukul 12.10 tengah malam tadi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui semula sebahagian beras yang disamun, bernilai kira-kira RM150,000.

"Tiada penghuni di gudang itu ketika serbuan dan pemeriksaan mendapati kesemua beras tersebut cuba dibungkus semula ke dalam bungkusan yang lebih besar bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini memburu ketujuh-tujuh suspek warga asing berusia antara 20 dan 35 tahun itu, dipercayai kumpulan sama yang menyamun beras di stor Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) di Taman Kota Puteri, Masai, dekat sini tahun lalu.

"Dipercayai ada sebahagian baki beras belum ditemui polis dan kita menasihatkan orang ramai ataupun kedai runcit yang didatangi individu yang menawarkan penjualan beras dengan harga yang rendah supaya segera menghubungi polis," katanya. - Utusan

Polis selamatkan amah dakwa didera majikan

PULAU PINANG 27 Okt. - Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warganegara Indonesia yang mendakwa didera oleh majikannya di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat di sini semalam.

Salah seorang jiran mangsa di kawasan itu telah membuat laporan sebelum polis bergegas ke tempat kejadian dan menyelamatkan wanita Indonesia itu daripada rumah majikannya pada pukul 5 petang.

Difahamkan, apabila disoal pihak polis, pembantu rumah berusia 30 tahun itu mendakwa dia sering dipukul oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan yang kelihatan di tubuh mangsa.

''Ekoran daripada itu, dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani pemeriksaan untuk memastikan kesahihan dakwaannya.

''Kita sedang menunggu laporan terperinci hasil pemeriksaan itu sama ada kecederaan dalaman yang dialami atau sebagainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung insiden itu namun tidak menolak kemungkinan akan memanggil majikan wanita itu bagi membantu siasatan. - Utusan

Susanti Lutifyah ditahan di Melaka

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pembantu rumah warga Indonesia yang diburu pihak polis bagi membantu siasatan kes dera anak majikannya berjaya ditahan orang awam di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek, Susanti Lutifyah, 27, ditahan orang awam kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, ketika ditahan, suspek berseorangan dan turut membawa sebuah beg pakaian.

"Bagaimanapun, barangan peribadi majikannya seperti wang tunai dan komputer riba yang dilaporkan hilang tidak ditemui bersamanya.

"Kita percaya suspek telah menjual barangan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, polis memburu Susanti setelah dia dipercayai mendera empat anak majikannya sehingga lebam seluruh badan di Desa Subang Permai dekat sini.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh suspek sejak dia bekerja di rumah teres tersebut setahun lalu.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...