Wednesday, October 21, 2009

Iskandar Malaysia laksana 6 inisiatif tenaga kerja

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Iskandar Malaysia akan melaksanakan enam inisiatif termasuk pembangunan modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di wilayah pembangunan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, semua inisiatif itu bagi memastikan Johor mempunyai bekalan pekerja berkemahiran dan berpengetahuan yang mencukupi bagi Iskandar Malaysia dalam tempoh 15 tahun akan datang.

"Inisiatif itu termasuk dalam Rangka Tindakan Pembangunan Iskandar Malaysia dan jika kesemuanya berkesan maka kita akan lihat bekalan tenaga kerja di Iskandar Malaysia datang dari seluruh dunia termasuk juga pekerja tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pembangunan dan Penilaian Kepimpinan Graduan Iskandar Malaysia (IMGLAD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Datuk Maulizan Bujang; Pengerusi Sumber Manusia negeri, M. Asojan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Harun Johari.

Hadir sama ialah Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan UTM Iskandar Malaysia (IMREC), Prof. Dr. Sr. Abdul Ghani Khalid.

Pada majlis itu, Abdul Ghani menyampaikan sijil kepada tenaga pengajar IMREC yang akan melatih sebanyak 300 graduan pelbagai universiti mengenai kemahiran insaniah selama sembilan bulan.

Abdul Ghani berkata, IMGLAD adalah salah satu daripada enam inisiatif berkenaan bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran insaniah sebagai tambahan kepada kelulusan akademik dalam ijazah masing-masing.

Menurutnya, kemahiran insaniah itu seperti berkomunikasi, berinisiatif tinggi, bekerja secara berkumpulan, kepimpinan dan pentadbiran.

"Pelajar akan dilatih selama tiga bulan oleh IMGLAD dan kemudian menerima latihan sambil bekerja dengan 120 majikan dalam pelbagai bidang," jelasnya.

Beliau berkata, latihan tersebut diadakan menggunakan modul Kepimpinan Deloitte yang berpusat di London yang terbukti berkesan memberi kemahiran insaniah kepada para siswazah.

Selain IMGLAD, Abdul Ghani memberitahu, inisiatif lain ialah Pusat Sehenti JobsMalaysia yang berperanan untuk memadankan kekosongan jawatan dengan tenaga kerja dalam pasaran kerja Iskandar Malaysia.

Menurutnya, ia akan membuat kajian pasaran kerja termasuk mengisi sebarang kekurangan bekalan tenaga manusia bagi memastikan pembangunan berjalan lancar.

"Inisiatif lain ialah dua program keusahawanan termasuk satu untuk industri kecil dan sederhana, program pra pengambilan pekerja dan kemahiran pembinaan dalam semua peringkat untuk rakyat tempatan," jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif seterusnya adalah dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun.

Sementara itu, seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azura Salleh, 24, yang mengikuti program tersebut berkata, ia diharap dapat membantunya meningkatkan lagi kemahiran kendiri untuk keperluan pasaran kerja.

"Ia merupakan kemahiran tambahan yang perlu dikuasai kerana saingan pasaran kerja pada waktu ini amat sengit," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Pelanggan yang berasal dari Batu Pahat itu.

Graduan Kejuruteraan Elektrik Universiti Illinois, Amerika Syarikat, Ansori Razali, 23, berkata, kemahiran itu akan meningkatkan peluang dan prospek kerja selain menambah pengalaman dan pengetahuan.

"Selain dapat memastikan peluang kerja, IMGLAD akan mendedahkan saya pada kemahiran baru iaitu insaniah yang tiada dalam sijil," katanya. - Utusan

Penyeludupan manusia : Malaysia-Australia bincang

JAKARTA 20 Okt. - Malaysia akan mengkaji langkah yang boleh diambil terhadap permintaan Australia supaya diperketatkan kawalan imigresen dan pemberian visa bagi mengelak perdagangan manusia dan insiden manusia perahu yang menjadikan Malaysia sebagai pusat transit.

Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak. berkata, permintaan Australia itu disampaikan kepada beliau oleh rakan sejawatannya, Kevin Rudd pada perjumpaan hubungan dua halanya di sini, selepas mereka menghadiri majlis pemasyhuran dan angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hari ini.

"Pertemuan itu diadakan atas permintaan Rudd, yang menyatakan puas hati dengan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya ke sini.

Najib berkata, secara spesifik Rudd membangkitkan beberapa hal termasuk kekhuatiran Australia mengenai masalah manusia perahu yang menjadikan Malaysia negara transit dan kemudiannya mencuba masuk secara haram ke Australia.

Satu contoh terbaru ialah sekumpulan penduduk Tamil Sri Lanka yang masuk ke Malaysia kemudiannya menaiki perahu di Melaka ke Australia sebagai destinasi akhir mereka tetapi telah ditahan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Perdana Menteri berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Malaysia ialah menambah bilangan pegawai imigresen di negara-negara tertentu untuk menapis dengan lebih ketat permohonan masuk ke Malaysia supaya dapat dibezakan antara pelancong tulen dan pemerdagangan manusia.

"Hal ini juga terkait dengan pemberian visa kepada mereka," katanya.

Najib menjelaskan, dalam pemerdagangan manusia, keuntungannya agak lumayan dengan kos dikenakan bagi seorang dari Sri Lanka untuk masuk ke Australia ialah antara AS$15,000 dan AS$20,000 yang menyebabkan kegiatan sindiket orang tengah itu masih berterusan.

"Ini juga berkaitan kestabilan dalaman di Sri Lanka. Kalau kerajaan Sri Lanka dapat menjamin keturunan Tamil dapat sepadu dalam pembangunan Sri Lanka kemungkinan mereka menjadi manusia perahu akan dapat dikurangkan," katanya.

Turut dibincangkan dengan Rudd ialah tawaran Australia untuk membantu Malaysia meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional di Malaysia, iaitu satu bidang kepakaran yang dimiliki oleh negara itu.

"Perdana Menteri Rudd akan menghantar para pegawainya ke Kuala Lumpur yang pakar untuk membincangkan tawaran itu dengan lebih lanjut tidak lama lagi," katanya.

Najib berkata, latihan kemahiran vokasional itu ialah untuk pelajar sekolah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, kata Perdana Menteri, mereka juga menyentuh bentuk yang relevan bagi Sidang Kemuncak Asia Timur dan persidangan khas perubahan iklim di Copenhagen, Denmark.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini. - Utusan

Hubungan Malaysia–Indonesia akrab


Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono pada majlis resepsi di Istana Merdeka di Jakarta, semalam. Turut hadir Rosmah Mansor, Ani Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono. – BERNAMA

JAKARTA 20 Okt. – Hubungan Malaysia dan Indonesia tidak pernah dalam situasi pasang surut tetapi sentiasa akrab sepanjang masa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang berada di Jakarta untuk menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, beliau yakin situasi itu akan berterusan.

“Saya hari ini menghadiri majlis mengangkat sumpah dan pemasyhuran SBY sebagai Presiden dan ia adalah tanda persahabatan yang amat akrab.

“Kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan tulus ikhlas. SBY sendiri mengucapkan terima kasih kehadiran saya dan maklumkan sebagai balasan Malaysia menjadi negara pertama akan dilawati iaitu pada 11 November ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd di sini hari ini.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman. Turut hadir pada majlis angkat sumpah Presiden Indonesia itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Rudd.

Susilo, Presiden keenam Indonesia mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal keduanya untuk tempoh 2009-2014 setelah memenangi pilihan raya secara langsung 8 Julai lalu.

Najib berkata, Malaysia dan Indonesia sentiasa mencari jalan dalam menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.

Menurut beliau, masalah yang dihadapi kini adalah hubungan antara rakyat berikutan terdapat kumpulan kecil yang melakukan tindakan dan mendapat liputan meluas media.

“Kepimpinan kedua-dua buah negara berada pada tahap baik dan selesa, begitu juga hubungan kedua-dua Menteri Luar,” kata Najib. – Utusan

Tuesday, October 20, 2009

Malaysia-Indonesia bincang masalah dua hala hari ini

JAKARTA 19 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini tengah malam ini untuk lawatan kerja sehari dan merupakan lawatan kedua beliau sejak menjadi pemimpin nombor satu negara.

Lawatan Perdana Menteri itu selain menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Dewan Permesyuaratan Rakyat, esok, ia juga bagi membincang masalah hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Masalah itu akan dibincangkan pada mesyuarat hubungan dua hala yang diadakan pada sebelah petang esok.

Hubungan Malaysia dan Indonesia ketika ini agak tegang berikutan beberapa pihak di Indonesia melakukan tindakan provokasi terhadap rakyat Malaysia di negara republik itu seperti tindakan mengusir atau 'sweeping Malaysia'.

Badan bukan kerajaan di Indonesia itu juga turut mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan mendakwa telah menghantar sukarelawannya menyusup ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Pertemuan itu kelak diharap akan dapat menjernihkan kembali situasi yang agak keruh tersebut yang bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat kedua-dua buah negara berjiran, bahkan menjejaskan hubungan perdagangan yang telah sedia terjalin.

Selain itu diharapkan juga pertemuan tersebut dapat menyelesaikan pelbagai isu lain termasuk tindakan kerajaan Indonesia membekukan penghantaran warganegaranya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Dijangka isu sempadan perairan kedua-dua buah negara iaitu di kawasan Ambalat akan terus diperbincangkan bagi mengelakkan salah faham sehingga kedua-dua buah negara saling tuduh-menuduh bahawa angkatan tentera negara jiran sengaja bertindak menceroboh perairan masing-masing.

Walaupun sebelum ini telah dipersetujui rondaan bersama dijalankan oleh kedua-dua angkatan tentera di kawasan berkenaan, pertemuan kali ini mungkin akan menilai sejauhmana keberkesanannya dan dilaksanakan dengan baik. - Utusan

Monday, October 19, 2009

KDN tubuh jawatankuasa khas atasi isu status anak pendatang

KOTA KINABALU 18 Okt. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyelesaikan isu taraf kerakyatan kanak-kanak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lahir di Sabah, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, perkara itu sedang dalam proses penyelesaian dan beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"KDN telah pun menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengendalikan isu kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan ini di Sabah.

"Kita berjanji, sebelum hujung tahun ini kita akan cuba selesaikan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan di perkarangan Dewan Serbaguna Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) di sini, hari ini.

Mahmood berkata, undang-undang dan perlembagaan Persekutuan menetapkan taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak itu ditentukan berdasarkan status kewarganegaraan ibu bapa mereka.

Katanya, mereka yang tidak mempunyai surat beranak tidak akan didaftarkan secara automatik sebagai warganegara kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu merujuk kepada status dokumen ibu bapa kanak-kanak tersebut.

"Jika kanak-kanak ini tidak mempunyai surat beranak, kita perlu lihat status ibu bapa mereka. Oleh itu mereka perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Majistret Kelas Kedua sebelum dibenar melakukan lain-lain urusan di JPN," katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas seramai 312,000 pekerja PATI telah didaftarkan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata, sebanyak 14 agensi di bawah kementerian itu mengambil bahagian dalam program Hari Bertemu Pelanggan yang berakhir hari ini.

Antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, JPN, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Percetakan Nasional Berhad dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 pengunjung yang terdiri daripada warga bandar raya dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghadiri program selama tiga hari itu.

"Program ini mendapat sambutan baik daripada pengunjung. Di samping dapat mengetahui apakah perkhidmatan yang diberikan KDN, ia juga peluang keemasan bagi orang awam memperolehi penjelasan jabatan dan agensi di bawah KDN secara langsung.

"Biasanya, KDN ini sukar dihubungi, jadi kita kumpulkan semua agensi dalam program hari bertemu pelanggan. Tujuan kita adalah untuk membantu rakyat Sabah menyelesai isu-isu berbangkit," katanya. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...