Friday, October 16, 2009

Beku pengambilan pekerja Bangladesh tak jejas hubungan dua hala

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Bangladesh dan Malaysia tidak terjejas sebaliknya tetap kukuh dan akrab walaupun pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini dibekukan pada 2007, kata Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A K M Atiqur Rahman.

Beliau berkata pembekuan itu tidak akan merapuhkan hubungan baik yang telah lama terjalin kerana kedua-dua negara mempunyai ikatan kuat daripada segi agama, sejarah dan kebudayaan.

"Kami faham kedudukan Malaysia, jadi kami sedang berusaha mencari penyelesaian. Ini bukan isu besar," katanya kepada di sini hari ini.

Terdahulu, Atiqur Rahman menghadiri sesi taklimat untuk media di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini tentang 'Showcase Bangladesh 2010' yang bakal diadakan dari 8 hingga 10 Januari tahun depan di PWTC.

Pameran perdagangan yang julung kali diadakan itu akan disertai 65 syarikat dari Bangladesh yang akan mempamerkan produk, perkhidmatan dan kebudayaan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan pameran anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, Persatuan Kerjasama Selatan-Selatan Malaysia, Persekutuan Pengeluar dan Pengilang Malaysia (FMM) dan dewan perniagaan di Bangladesh.

Atiqur Rahman berkata nasib lebih 400,000 pekerja Bangladesh yang masih bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan di Malaysia, juga bukan merupakan satu isu kerana kelulusan visa mereka dibuat sebelum pembekuan itu diumumkan kabinet.

Kabinet pada Oktober 2007 memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja Bangladesh berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak pelbagai masalah kepada negara ini termasuk masalah sosial.

Sebelum ini Malaysia pernah membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh pada tahun 1999.

Pada Mac 2009, Kabinet juga telah membatalkan serta-merta semua visa kemasukan pekerja asing dari Bangladesh yang diluluskan pada 2007 tetapi masih belum memasuki Malaysia.

Tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru melainkan untuk sektor-sektor tertentu yang kritikal. - Berita Harian

Petanda pemulihan ekonomi : Krisis hilang kerja berakhir

PUTRAJAYA 15 Okt. - Krisis hilang kerja yang melanda negara ini berikutan kegawatan ekonomi global telah berakhir dengan jumlah pekerja yang diberhentikan kembali ke tahap normal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, rekod terkini menunjukkan hanya terdapat 1,000 hingga 1,200 pekerja yang diberhentikan pada setiap bulan.

Beliau berkata, banyak kilang di negara ini telah meningkatkan pengeluaran mereka dan memerlukan jumlah pekerja yang ramai.

''Krisis hilang kerja tidak wujud lagi, bilangan pekerja yang diberhentikan pada bulan lalu dan bulan ini ialah 1,000 hingga 1,200 orang sahaja.

''Jumlah ini adalah normal dan sama dengan keadaan sebelum krisis, terdapat ramai majikan yang berdaftar dengan kita untuk mendapatkan pekerja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Subramaniam berkata, jumlah pekerja yang diberhentikan ekoran krisis ekonomi global ialah kira-kira 37,000 orang.

''Tetapi kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi turut menyediakan 37,000 peluang pekerjaan baru.

''Jadi jumlah pekerja yang kehilangan kerja adalah sama dengan peluang pekerjaan baru yang diwujudkan," katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam menggalakkan golongan pekerja memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta meningkatkan tahap produktiviti masing-masing.

''Kajian mendapati produktiviti pekerja kita adalah kurang berbanding negara-negara lain.

''Produktiviti kita perlu dipertingkatkan untuk bersaing dengan kuasa ekonomi baru seperti China dan India. Kita juga perlu berdepan dengan negara industri baru di Asia Tenggara termasuk Kemboja dan Vietnam," katanya.

Menjawab soalan pemberita, beliau menafikan dakwaan bahawa pekerja sektor perladangan tempatan dibayar gaji yang rendah berbanding pekerja asing. - Utusan

Thursday, October 15, 2009

Enggan ganti amah lari

KUALA LUMPUR: Seorang artis wanita popular yang menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah warga Indonesia disyaki memperdaya pelanggan apabila menyediakan amah yang sakit dan enggan bekerja.

Difahamkan, pelakon drama bersiri popular yang juga seorang penyanyi itu menjadi ejen pembantu rumah dengan berkongsi perniagaan bersama seorang rakan wanitanya.

Helah ejen terbabit hanya disedari mangsa selepas pembantu rumah diberikan artis itu mengadu sakit hanya selepas dua minggu bekerja dan mendakwa tidak dapat melakukan kerja rumah lagi.

Berikutan itu, mangsa menghubungi artis berkenaan serta rakan kongsinya untuk mengadu hal terbabit, namun tidak diendahkan.

Mangsa akhirnya membuat laporan polis, Isnin lalu, selepas pembantu rumahnya melarikan diri hanya selepas lima bulan bekerja.

Menurut mangsa yang juga seorang jurujual berusia 20-an dan enggan dikenali, pembantu rumahnya itu meninggalkan anak perempuannya yang berusia dua tahun bersendirian di apartmennya di Jalan Ipoh di sini.

“Saya geram betul. Ada ke patut amah itu meninggalkan anak saya berseorangan di luar rumah,” katanya.

Katanya, dalam kejadian jam 3 petang Isnin lalu, dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku terhadap anaknya yang ditemui seorang pekerja warga Bangladesh yang kemudian terus menghubunginya.

“Saya dan isteri yang sedang bekerja bergegas pulang ke rumah selepas mendapat tahu hal berkenaan sebelum menemui anak kami sedang menangis bersama lelaki warga asing terbabit.

“Kami memeriksa seluruh badan anak jika dia mendapat apa-apa kecederaan sebelum mendapati barang kemas yang dipakai anak saya sudah tiada,” katanya.

Berasa curiga, dia bergegas pulang ke rumah sebelum mendapati komputer riba juga lesap menyebabkan kerugian kira-kira RM33,000.

Difahamkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen itu, pembantu rumah terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah teksi.

Lelaki terbabit menghubungi artis dan rakan kongsinya memberitahu hal berkenaan, namun kedua-duanya hanya mengambil sikap lepas tangan.

“Apabila diadukan kepada rakan dan ejen berkenaan pembantu rumah itu menghilangkan diri selain melarikan barangan berharga milik saya, artis itu memberikan pelbagai alasan termasuk berjanji menggantikannya.

“Malah, mereka turut menyuruh saya membuat laporan polis jika tidak puas hati,” katanya.

Mangsa berkata dia mengenali rakan perniagaan artis terbabit melalui kawannya lima bulan lalu sebelum tertarik mendapatkan pembantu rumah selepas bertemu artis berkenaan.

“Saya membayar RM1,000 sebelum diperkenalkan dengan pembantu rumah berkenaan dan membuat pembayaran RM5,000 lagi.

“Namun, saya kecewa kerana selepas dua minggu bekerja, pembantu rumah terbabit memaklumkan yang dia sakit dan enggan bekerja lagi,” katanya. - Harian Metro

Picit asyik


PETALING JAYA: Mengejutkan apabila sekumpulan gadis urut tradisional yang terkenal dengan jolokan ‘awek tegang’ dikesan menawarkan perkhidmatan picit dalam keadaan telanjang bulat dengan bayaran serendah RM100 bagi setiap sesi rawatan.

Gadis genit warga Thailand dan China terbabit dikesan menjalankan kegiatan ‘panas’ itu dengan berselindung di sebalik papan tanda premis rawatan kecantikan untuk mengaburi kegiatan berkenaan.

Aktiviti urut dalam keadaan telanjang bulat itu turut disertai beberapa pakej istimewa lain termasuk urutan batin sebelum pelanggan ditawarkan melakukan hubungan seks dengan bayaran tertentu.

Kegiatan itu dibongkar apabila sepasukan lima anggota polis daripada Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) melakukan serbuan mengejut di premis terbabit di Jalan SS2/55 Sea Park di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang, pihak pengurusan rumah urut terbabit tidak sempat melarikan diri kerana diberkas polis yang terlebih dahulu melakukan intipan dan penyamaran.

Sumber polis berkata, ketika serbuan, beberapa pelanggan lelaki berada di tingkat satu premis terbabit sambil menanti masa menerima ‘rawatan’ dan urutan.

Menurutnya, kedatangan polis turut menyebabkan seorang gadis urut warga Thailand yang melayan nafsu seorang pelanggan lelaki warga tempatan tergamam.

“Ketika ditahan, wanita terbabit dalam keadaan telanjang bulat dan dipercayai sedang memberikan urutan istimewa kepada pelanggannya yang juga dalam keadaan ghairah.

“Pasangan terbabit yang diberkas polis didapati berada dalam bilik urutan khas yang hanya ditutupi dengan tirai panjang. Tindak-tanduk pasangan terbabit ketika diberkas membuktikan mereka bukan lagi melakukan urutan tradisional biasa,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis memberkas empat wanita Thailand dan tiga gadis China yang menawarkan urutan istimewa berkenaan kepada pelanggan lelaki tempatan.

“Semua wanita terbabit yang berusia awal 20-an didapati menyalahgunakan visa lawatan sosial sebagai pelancong untuk bekerja sebagai tukang urut. Mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Siasatan mendapati, setiap pelanggan lelaki yang datang diminta membayar RM60 untuk perkhidmatan urut selama satu jam,” katanya.

Menurutnya, ketika berada dalam bilik tertutup itu, pelanggan boleh membuat permintaan istimewa sama ada meminta gadis terbabit melakukan urutan sambil berbogel atau melakukan urut batin diikuti hubungan seks.

“Biasanya urutan batin atau hubungan seks terbabit dikenakan bayaran tambahan serendah RM100 hingga RM150. Bagaimanapun, pelanggan biasanya akan melakukan tawar menawar dengan gadis berkenaan bagi perkhidmatan disediakan.

“Gadis tinggi ramping dan berwajah cantik tanpa segan silu akan membogelkan diri sebelum meneruskan sesi rawatan berahi berkenaan sebelum menerima bayaran seperti dijanjikan,” katanya.

Difahamkan, pusat urutan terbabit sudah diserbu polis Petaling Jaya tiga kali sejak awal Januari lalu, namun pemiliknya masih tidak serik.

“Siasatan mendapati, pemilik premis terbabit kerap bertukar manakala gadis urut dibawa masuk sindiket tertentu dengan menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Katanya, bagi mengelak diserbu, pemilik dikesan memasang tiga kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk premis.

Semua kamera CCTV berkenaan disorokkan di belakang kotak fius elektrik bagi mengelakkan ia dihidu pihak berkuasa.

“Semua gadis terbabit termasuk tiga pelanggan lelaki dan seorang penyelia premis dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk diambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya percaya pemilik terbabit menyalahgunakan permit yang dikeluarkan bagi tujuan itu.

“Kes terbabit masih dalam siasatan dan polis masih mengumpul bukti melalui beberapa saksi yang mengetahui kegiatan haram premis itu,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Harian Metro

Lagi pekerja Indonesia bantah Bendera


sebahagian pekerja rakyat Indonesia yang bekerja di Ladang Yayasan Pahang, Endau, Rompin, mengadakan demonstrasi secara aman membantah provokasi kumpulan Bendera, kelmarin.

ROMPIN 14 Okt. - Seramai 200 pekerja Indonesia dari Ladang YP Plantation Holdings Sdn. Bhd., Endau, di sini berhimpun secara aman semalam bagi membantah tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang ingin menyerang Malaysia baru-baru ini.

Perhimpunan selama sejam pada pukul 4 petang di kawasan rumah kongsi di ladang berkenaan diadakan sebagai tanda sokongan rakyat Indonesia di sini kepada Malaysia.

Mereka turut membawa poster yang bertulis Indonesia dan Malaysia adik beradik selain menggunakan bahasa Indonesia berbunyi Ojo ganggu aku, aku aman neng kene.

Selain itu Kumpulan Bendera jangan cemari kami, kami mencari rezeki halal di Malaysia, Kumpulan Bendera jangan buat kami keresahan di sini, Malaysia dan Indonesia serumpun dan terima kasih Pahang.

Peserta perhimpunan, Talib Halim Abdullah, 38, menegaskan, rakyat Indonesia di negara ini tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kekerasan, peperangan dan keganasan ke atas penduduk Malaysia.

"Apa yang berlaku itu boleh diselesaikan secara mesyuarat dan bukannya melalui kekerasan. Saya harap rakyat Indonesia di Malaysia bertenang dan tidak terpengaruh dengan kumpulan Bendera," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Talib, dia tidak mahu akibat tindakan kumpulan tersebut hubungannya dengan kawan-kawan di sini terganggu.

Sementara itu, Tupan Pramana Putra, 38, berkata, dia dan rakan-rakannya bekerja dengan aman di negara ini.

"Kami tidak menyokong kekecohan dan keganasan seperti yang dilakukan sebilangan rakyat di negara kami," katanya. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...