Wednesday, October 14, 2009

Perbincangan isu pembantu rumah Indonesia masih berlangsung

PETALING JAYA: Perbincangan antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu pembantu rumah masih sedang berlangsung dengan tiada persetujuan konklusif dicapai sehingga ini.

"Ada beberapa isu yang perlu diambil kira sebelum perbincangan dapat diselesaikan," Ketua Pengarah Jabatan Buruh, Datuk Ismail Abdul Rahim, hari ini.

Ketika ini, Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sementara menunggu hasil perbincangan menyeluruh dari segi gaji dan keadaan kerja.

Beliau berkata, perkara pokok yang menjadi tumpuan Malaysia dalam perbincangan itu adalah berkaitan proses pengambilan pembantu rumah Indonesia memandangkan ''masalah eksploitasi yang dialami pembantu rumah ini didapati berpunca daripada proses pengambilan''.

"Pengambilan yang tidak teratur serta cara pengambilan yang tidak diselaras yang dilaksanakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai ejen berdaftar yang beroperasi di Malaysia atau negara sumber, sering menjadi dalang yang menyumbang kepada kesengsaraan yang dialami pembantu rumah ini.

"Dalam banyak kes ejen itu sendiri terbabit dalam aktiviti eksploitasi ini," katanya.

Merujuk kepada isu berkaitan gaji, Ismail berkata, pendirian Malaysia adalah ia tidak dapat ditetapkan dan ia seharusnya bergantung kepada perjanjian antara pekerja dan majikan.

"Amat sukar untuk menetapkan gaji pekerja sektor ini, kerana gaji pekerja di lain-lain sektor juga perlu diambil kira sebagai pertimbangan," katanya.

Gaji pembantu rumah ketika ini adalah antara RM400 dan RM650, bergantung kepada pengalaman, dan juga perjanjian bersama antara pembantu rumah itu dengan majikan.

Sementara itu, Ismail berkata, Malaysia sedang menimbang untuk mengambil pembantu asing Muslim dari negara Kemboja, Filipina, dan Thailand.

Beliau berkata, ia bukan saja akan membolehkan majikan membuat pilihan, malah ia dapat mengurangkan penggantungan mereka kepada negara pembekal, seperti Indonesia.

Menurutnya, ketika ini, terdapat 251,255 pembantu asing berdaftar di Malaysia, di mana 230,141 daripadanya adalah dari Indonesia.

Terdahulu, ketika menyampaikan taklimat dalam satu perbincangan bertajuk ''Strategies to Support Proposed International Standard for Domestic Workers'', Ismail berkata, adalah menjadi dasar Malaysia untuk membekalkan perlindungan yang sama rata bagi pekerja tempatan mahupun asing.

Ismail berkata, pekerja asing mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan menerusi sistem mahkamah perusahaan, di samping berhak untuk memiliki kontrak perkhidmatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menangani masalah pembantu rumah mengenai gaji yang disimpan oleh majikan atau disimpan di bank atas nama majikan.

Pindaan akan turut menyediakan hukuman yang lebih berat buat majikan yang melakukan kesalahan terhadap pekerja, di samping melindungi pekerja daripada gangguan seksual. - Berita Harian

Ejen, pembantu rumah berpakat tipu majikan

KUALA LUMPUR: Dengan menabur janji manis, seorang wanita bergerak aktif membekalkan pembantu rumah secara haram sebelum menipu pelanggan dengan ‘mencuri’ kembali pembantu terbabit di rumah majikan.

Difahamkan, wanita licik berusia 40-an berkenaan ‘melatih’ dan berpakat dengan pembantu rumah dibekalkan untuk ‘berlakon’ kononnya mereka sakit dan tidak mampu bekerja lagi yang menyebabkan majikan akan mengembalikan semula pembantu rumah terbabit.

Dalam kejadian terbaru, seorang penyelia akaun kerugian kira-kira RM5,600 selepas terpengaruh dengan janji manis dan harga yang ditawarkan bagi mendapatkan khidmat pembantu rumah daripada wanita terbabit.

Malah, sepanjang tempoh setahun, mangsa bertukar tiga pembantu rumah kerana masing-masing mempunyai masalah dan ‘diambil’ semula wanita itu.

Menurut mangsa dikenali sebagai Dhalan, 40-an, dia mengenali wanita itu melalui rakannya, tahun lalu.

“Perwatakannya baik dan gaya percakapannya amat meyakinkan. Selepas membuat perbincangan, wanita berkenaan meminta saya menyerahkan RM3,600 bagi mendapatkan pembantu rumah sementara.

“Jika berminat mengambil pembantu rumah sementara itu, saya perlu membayar sejumlah wang lagi bagi memproses permit dan dokumen,” katanya.

Dhalan berkata, sebulan selepas membuat pembayaran, dia diperkenalkan kepada pembantu rumah yang dikenali sebagai Yini berusia 40-an di rumah wanita berkenaan di Petaling Jaya.

“Namun, selepas dua minggu bekerja, pembantu terbabit memaklumkan yang dia sakit dan enggan bekerja lagi,” katanya.

Katanya, wanita itu memintanya membayar RM2,000 sebelum dia mendapat seorang lagi pembantu rumah dikenali Yati.

“Sebulan selepas itu, sekali lagi pembantu rumah sementara itu mengadu sakit dan meminta saya menghubungi wanita terbabit.

“Wanita terbabit memperkenalkan saya kepada seorang lagi pembantu rumah sementara, namun perkara sama berlaku,” katanya. - Berita Harian

Sunday, October 11, 2009

Pekerja Indonesia bantah cubaan cetus ketegangan

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan pekerja warga Indonesia berkumpul secara aman di hadapan Masjid Kayangan, Brinchang, di sini hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap usaha kumpulan tertentu di Indonesia yang cuba mencetuskan ketegangan dengan Malaysia.

Kumpulan berkenaan yang diketuai seorang pekerja binaan, Ahmad Thoyib Ma'sum, mula berkumpul di hadapan masjid berkenaan pada jam 10.15 pagi sambil memegang beberapa sepanduk yang antara lain menyatakan "Kami aman di Malaysia", "No ganyang Yes kenyang", "Terima kasih bantuan di Padang" dan "Jangan tutup rejeki kami" sebelum bersurai secara aman 10 minit kemudian selepas diarahkan polis.

Ahmad Thoyib, 53, dari Jawa Timur, yang ditemui pemberita berkata kumpulan berkenaan yang mewakili lebih 500 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands menaruh harapan agar sebarang isu yang membabitkan dua negara serumpun diselesaikan secara musyawarah dan bukannya melalui tindakan kekerasan.

Beliau yang bekerja di sini sejak 20 tahun lepas juga menyuarakan rasa tidak setujunya terhadap tindakan sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk "mengganyang" Malaysia berikutan beberapa isu berbangkit.

"Itu saya tidak setuju langsung. Rakyat Indonesia bukan keseluruhannya macam itu. Rakyat Indonesia di sini tidak ada yang terpengaruh dengan "Ganyang Malaysia" sebab di sini tempat cari rezeki, kita tidak mahu kekacauan... rakyat di sini pun tidak mahu. Kitakan serumpun," katanya yang turut menafikan telah diupah ataupun dipaksa untuk membuat bantahan tersebut.

Beliau juga menasihatkan warga Indonesia di Malaysia tidak terpengaruh dengan beberapa isu berbangkit dan terus mencari rezeki secara aman di negara ini bagi menyara hidup anggota keluarga masing-masing di Indonesia.

Bendera, kumpulan yang tidak berdaftar di Indonesiau, kononnya mahu menyerang negara ini dengan buluh runcing pada 8 Oktober lalu berikutan beberapa isu berkaitan kedua-dua negara, termasuk isu tarian Pendet dari Bali yang didakwa oleh mereka dicuri Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pekerja berkenaan walaupun perhimpunan itu dilakukan tanpa kebenaran polis.

"Tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka kerana mereka buat bantahan secara aman tanpa membabitkan kekecohan. Mereka juga mematuhi arahan polis untuk bersurai setelah diminta berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands yang terbabit dalam sektor perladangan, pembinaan dan juga pembantu rumah. - Berita Harian

Banteras pelacuran ke akar umbi

TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) mengambil berat terhadap pendedahan Utusan Malaysia mengenai operasi pelacur luar negara yang bergiat di Malaysia.

Walaupun pelacuran dianggap pekerjaan paling tua dalam sejarah manusia, ini tidak bermakna masyarakat harus bersikap sambil lewa dan tidak peduli langsung.

Laporan yang didedahkan dalam Utusan Malaysia mengenai arus kedatangan pelacur dari negara luar yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi bukan sahaja sangat mengecewakan, malah menandakan wujudnya sindrom tidak peduli di kalangan sebahagian besar masyarakat kita.

Kita pernah didedahkan bahawa jika dicampurkan jumlah pelacur tempatan dan pelacur luar, ia mencecah angka puluhan ribu. Pelacur luar yang dinyatakan datang dari 21 negara, seolah-olah Malaysia sudah menjadi destinasi dan hab pelacuran antarabangsa. Kenapa fenomena ini semakin berleluasa?

Setelah segala tindakan dilaksanakan oleh pihak berkuasa, sama ada dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mahu pun dari Jabatan Agama Islam, nampaknya kegiatan maksiat yang menjijikkan ini bukan semakin mengurang malah semakin bertambah.

Harus diingat bahawa yang dilaporkan oleh pihak Bukit Aman mengenai angka tangkapan dan pendakwaan mereka yang terlibat itu hanya secebis sahaja daripada keseluruhan yang tidak dapat dikesan.

Sementara pihak berkuasa serius untuk membendung gejala ini, kita tahu ia sangat sukar untuk dibersihkan kerana adanya permintaan. Bermakna, isu yang lebih mendasar ialah pelacuran terus wujud kerana adanya satu pekerjaan yang beroperasi berdasarkan nafsu manusia yang tidak dapat dikawal.

Pasaran industri pelacuran adalah nafsu dan bahan dagangnya adalah tubuh manusia. Dengan yang demikian akan berpanjanganlah isu ini sehingga ke hari terakhir bumi ini wujud.

Bagaimanapun, kita tidak pula dilepaskan daripada tanggungjawab untuk berusaha sekeras mungkin agar gejala ini dibanteras.

Di samping adanya undang-undang untuk pihak berkuasa bertindak, kita juga sedar bahawa pegangan agama yang kukuh sahaja mampu membendung gejala ini daripada berleluasa.

Kita tidak mungkin akan bersetuju untuk mengambil langkah seperti negara-negara lain yang mewujudkan kawasan khas untuk membenarkan pelacuran beroperasi secara sah.

Alasan langkah ini dilakukan ialah agar ia tidak berleluasa di mana-mana dan akan lebih mudah dikawal. Namun ini juga bermakna kita seperti merestui pelacuran yang tidak boleh diterima sama sekali dalam Islam dan budaya kita.

Lantaran itu jalan yang perlu kita ambil ialah melakukan tindakan serampang banyak arah. Kita harus adakan langkah pendidikan yang sangat efektif baik melalui saluran formal mahupun tidak formal

Langkah ini ialah dengan menanamkan penghayatan tata cara hidup Islam yang mantap di kalangan masyarakat Islam di semua lapisan.

Sekaligus dengan itu kita mesti menggandakan kempen kesedaran akibat buruk melanggan pelacur daripada segi kesihatan, sosial, kestabilan keluarga, jenayah dan ekonomi negara.

Juga disarankan agar segala lorong dan kesempatan pihak yang cenderung untuk mengambil peluang menjalankan pelacuran secara bersindiket hendaklah segera ditutup seketat-ketatnya.

Mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan didapati terlibat dengan sindiket pelacuran, jika ada, tidak boleh dikompromi sama sekali.

Kakitangan agensi penguatkuasa mesti diambil tindakan tegas jika didapati turut terlibat mendapat keuntungan dengan cara melindungi dan menjadi dalang kepada sindiket pelacuran.

TERAS juga menyarankan pihak berkuasa dan masyarakat bermuafakat dalam membanteras gejala ini dengan mengawal segala kegiatan yang boleh membuka ruang untuk pihak tertentu terjebak dengan maksiat.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID

Presiden TERAS - Utusan

21 PATI diberkas

JOHOR BAHRU 10 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 Tampoi memberkas seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong di kawasan perairan berhampiran Pulau Che Kamat, Sungai Rengit di Kota Tinggi awal pagi ini.

Timbalan Komander PGM Wilayah 2, Supritendan N. Kalai Chelven berkata, pihaknya menahan bot pancung dinaiki PATI warga Indonesia berusia antara 20 hingga 32 tahun.

Bot itu, katanya, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukannya yang menjalankan operasi Ops Octopus kira-kira pukul 4.30 pagi hasil maklumat awam.

Beliau berkata, ketika dihampiri, bot yang membawa 20 pendatang lelaki dan seorang wanita itu terus memecut melarikan diri menyebabkan pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menahannya.

"Sewaktu dikejar, bot pancung itu juga melanggar bot laju PGM sebanyak dua kali sehingga menyebabkan berlaku kerosakan pada bot dan enjin bot pancung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kalai Chelven berkata, bot pancung berkenaan akhirnya mendarat di Pulau Che Kamat bersama kesemua PATI dan tekong cuba melarikan diri dengan terjun ke laut.

"Namun tekong itu berjaya ditahan oleh pasukan kita," katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas bot pancung dan satu enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seperti rompakan di laut, penyeludupan dan kesalahan maritim lain diminta melaporkan perkara itu kepada PGM Wilayah 2 di talian 07-2372222 atau 07-2376122. - Utusan

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...