Thursday, October 1, 2009

Amah: Indonesia terus beku

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Indonesia akan terus membekukan bekalan pembantu rumah ke negara ini selagi Akta Kerja 1955 tidak dipinda. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia diminta menyelesaikan segera pindaan tersebut bagi membolehkan tindakan pembekuan amah ke negara ini ditarik semula.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarda Ryananta berkata, pembekuan amah ke Malaysia sejak 25 Jun lalu adalah untuk menilai semula penempatan dan perlindungan amah Indonesia di negara ini berikutan aduan golongan itu didera.

''Sehingga hari ini kerajaan Indonesia belum mengeluarkan arahan baru untuk menarik semula pembekuan penghantaran amah ke sini (Malaysia).

''Indonesia hanya akan membenarkan penghantaran amah selepas akta tersebut selesai dipinda,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pembekuan pembekalan amah ke negara ini yang berlarutan sehingga hari ini.

Tindakan itu menimbulkan keresahan banyak pihak terutama agensi-agensi pekerja asing kedua-dua negara.

Pembekuan itu juga dikhuatiri boleh mengakibatkan jumlah amah yang berstatus pendatang tanpa izin (PATI) bekerja dengan majikan negara ini meningkat. - Utusan

Pendatang kuasai City One


Beberapa warga asing sedang berbual bual didepan banggunan City One semasa tinjauan orang ramai di Jalan Masjid India, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kebanjiran warga asing di negara ini sudah lama menjadi isu dan dibincangkan dari semasa ke semasa. Namun, di sebalik kepekaan kita terhadap kebanjiran orang luar itu, jumlah mereka tidak pernah berkurangan.

Warga kota juga sudah terlalu lali dengan mereka sehingga sudah tidak peduli dengan kehadiran golongan itu selagi mereka tidak mengganggu.

Malah, beberapa kawasan di ibu kota seperti Chow Kit, sudah dianggap sebagai lubuk warga asing sehingga warga tempatan pula terasa asing jika berada di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu negara baru-baru ini mendapati warga asing kini mempunyai kawasan baru untuk berkumpul.

Lebih memeranjatkan, bukan sahaja warga Indonesia atau Bangladesh sahaja memenuhi kawasan itu tetapi warga asing dari negara-negara lain.

Ini termasuklah warga Filipina, Pakistan, Nepal, India, China, Vietnam, Myanmar dan negara-negara Afrika.

Kawasannya ialah di Plaza City One, yang terletak bersebelahan dengan Semua House di Jalan Masjid India.

Plaza itu pada asalnya dibangunkan sebagai salah satu pangsapuri mewah di tengah bandar raya tetapi sudah bertukar menjadi kawasan tumpuan warga asing.

Mungkin lokasinya di kawasan yang sesak dan tidak eksklusif menjadikan pemilik plaza itu tidak berminat untuk tinggal di kawasan tersebut.

Tinjauan mendapati tingkat bawah plaza yang memuatkan kedai-kedai perniagaan barangan harian itu merupakan kediaman utama warga asing yang bekerja di ibu kota.

Kediaman ala kondominium lebih 30 tingkat di situ difahamkan didiami lebih 80 peratus warga asing dan menjadi lokasi pertemuan mereka pada waktu malam.

Lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar dilihat menjadi tempat paling mudah untuk ke mana-mana, selain menjadi 'lambang' kemewahan warga asing itu sendiri.

Tinjauan turut mendapati majoriti premis yang menjalankan perniagaan di sana turut dikuasai warga asing selain pemandangan di lobi plaza yang tidak menggambarkan langsung suasana ibu kota.

Kira-kira 70 peratus daripada pekerja di premis itu merupakan warga asing dan ia dianggap sebagai satu kemudahan serta kelebihan kepada 'penduduk' di situ.

Lebih malang, pengawal keselamatan yang menjaga plaza itu juga merupakan warga asing dan tidak faham bahasa Malaysia, selain beberapa patah perkataan bahasa Inggeris.

Seorang pekerja syarikat swasta, Micheal, 39, menjelaskan, kebanjiran warga asing di situ merupakan masalah besar yang perlu diawasi.

Katanya, banyak kes ragut yang difahamkan dilakukan warga asing di kawasan itu.

"Saya pernah nampak kes ragut oleh warga asing yang mengambil beg tangan seorang wanita. Kita tidak mahu perkara itu berulang.

"Kita minta ada pihak berkuasa yang memerhatikan warga asing di sini. Lihat sendiri kawasan ini seperti sudah menjadi kampung mereka," jelasnya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Hafzan Mohd. Bahari, 24, berkata, kebanjiran warga asing merupakan lumrah kepada warga kota termasuk di kawasan Plaza City One.

Tegasnya, kehadiran mereka sudah dianggap perkara biasa dan mereka hanya akan jadi perhatian jika berlaku kejadian jenayah membabitkan golongan itu.

"Jangan mereka buat jenayah dan pastikan kehadiran mereka adalah sah. Kita minta pihak berkenaan selalu memantau dan memeriksa mereka," ujarnya.

Lain pula halnya dengan seorang pembantu peribadi, Melati Roosly, 31, yang berpendapat kehadiran mereka akan meningkatkan hasil jualan peniaga di situ.

Katanya, perkembangan itu dilihat amat baik dan dapat meningkatkan keuntungan kepada peniaga tempatan selain membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada mereka.

Namun, katanya, kehadiran warga asing berkenaan juga perlu sah dan tidak menimbulkan masalah kepada warga tempatan.

"Kehadiran ramai warga asing ini baik sebenarnya kerana ia dapat menjana ekonomi kepada peniaga di sini dan ibu kota secara keseluruhannya.

"Tetapi jangan pula mereka ini melakukan jenayah dan kemasukan mereka di sini juga perlu sah selain pemantauan kerap daripada pihak berkuasa," katanya. - Utusan

Wednesday, September 30, 2009

Surat : Negara porak-peranda angkara warga asing

SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan ini kerana kebanjiran warga asing di negara kita amat membimbangkan. Lihat saja siapa yang menguasai ibu negara apabila kebanyakan warga kota pulang berhari raya di kampung.

Kehadiran terlalu ramai warga asing kerana mentaliti 'tidak apa' dan 'tidak kisah' yang membelenggu kita. Rakyat negara ini sudah sampai ke tahap sangat memerlukan pekerja asing untuk menjalankan tugas seharian seolah-olah tanpa mereka kita tidak boleh hidup.

Sekarang pekerja asing bukan saja bekerja di bandar besar, malah di kampung juga mereka diperlukan untuk bekerja di ladang sawit dan menoreh getah. Punca lain yang menyumbang kepada kebanjiran warga asing ialah sikap sebilangan besar belia negara ini yang lebih rela menganggur daripada melakukan kerja dianggap susah dan kotor.

Kebanjiran warga Indonesia di negara ini boleh dikatakan tidak terkawal seolah-olah ini adalah 'dasar transmigrasi' dengan warga Indonesia berhijrah secara beramai-ramai ke Malaysia dan menetap terus di sini. Kini warga Afrika pula boleh ditemui di mana-mana malah ada yang berniaga di kaki lima. Selain memberi ancaman keselamatan, harus diingat kehadiran warga asing dari pelbagai negara turut memberi kesan serius kepada masalah sosial di kalangan masyarakat.

Wanita Indonesia menggunakan peluang bekerja di negara ini untuk berkahwin lelaki Melayu yang kebanyakannya sudah beristeri, sekali gus meruntuhkan rumah tangga.

Lelaki Indonesia tidak kurang hebatnya dengan memukau gadis tempatan dibawa lari ke Indonesia. Lelaki Bangladesh pula kerap terbabit dengan kes maksiat dengan perempuan Melayu yang kini nampaknya semakin menjadi-jadi.

Daripada kes cabul, rogol kini merebak kepada khalwat dan hubungan di luar nikah yang menjadi lesen untuk mereka berkahwin dengan gadis tempatan. Baru-baru ini akhbar tempatan mendedahkan aktiviti wanita China yang berkahwin dengan lelaki tempatan sebagai taktik untuk melacur.

Adakah kita hendak melihat masyarakat porak-peranda dengan membiarkan lebih ramai warga asing masuk ke negara ini tanpa had? Saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak sekarang sebelum terlambat. Jika perlu hantar saja anggota penguat kuasa kita ke Singapura untuk belajar dari negara berkenaan bagaimana bersikap tegas dalam menangani isu yang semakin menjadi barah ini.

M FAISAL,
Kuala Lumpur.
- Berita Harian

Melaka&Negeri Sembilan: Warga asing banjiri pusat beli-belah

Oleh Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my

Rakyat tempatan bimbang gangguan akibat pergaduhan

SEREMBAN: Pemandangan warga asing membanjiri kawasan rekreasi dan pusat beli-belah setiap kali cuti umum, termasuk Aidilfitri bukan saja berlaku di ibu kota, Kuala Lumpur tetapi turut boleh dilihat di bandar ini.

Antara tempat tumpuan warga asing kebanyakannya dari Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar berkenaan ialah pusat beli-belah Terminal One, The Store, KM Plaza, Dataran Seremban dan Taman Tasik Seremban.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan warga tempatan yang bimbang berlaku pergaduhan di kalangan kumpulan warga asing itu, selain mengganggu warga tempatan terutama perempuan.

Seorang penduduk tempatan, Nur Amira Hamid, 30, berkata warga asing terbabit biasanya keluar berkumpulan dan berkumpul di tempat tumpuan sehingga menimbulkan rasa bimbang walaupun mereka sekadar bersembang dan melepak.

"Selagi mereka tidak melakukan perkara yang memudaratkan seperti bergaduh sesama sendiri atau mengganggu warga tempatan, tidak mengapa. Namun, pihak berkuasa perlu memantau mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kontrak warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Shasilan, 34, berkata dia hanya berkumpul bersama rakan bagi menghabiskan cuti sempena Aidilfitri.

"Biasanya waktu lain dihabiskan dengan bekerja dan inilah masanya untuk bertemu serta berkumpul bersama rakan. Lagipun, suasana Aidilfitri di sini jauh lebih meriah berbanding Indonesia," katanya. - Berita Harian

25 pendatang Myanmar 'sesat' tengah bendang kena tahan

KANGAR: Sekumpulan 25 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar ditemui berkeliaran di kawasan sawah di Kampung Tok Pulau, dekat Simpang Empat, di sini, awal pagi semalam, selepas diperdaya dan ditinggalkan sekumpulan pemandu teksi dalam gelap.

Semua mereka, termasuk lima kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun yang berdepan risiko ditahan tidak mempunyai pilihan selepas ditinggalkan kecuali bersembunyi di petak sawah berkenaan dalam keadaan gelap dan sejuk, sementara memikirkan cara untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, hasrat mereka itu tidak kesampaian apabila kehadiran mereka di situ dapat dihidu anggota risik Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan itu, sepasukan anggota UPP diketuai Sarjan Muhd Noor Muhd Isa, dikerahkan ke lokasi untuk menyiasat sebelum menahan mereka.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata pihaknya terpaksa mengepung kawasan sawah itu sebelum berjaya menahan semua 25 warga Myanmar itu yang berkeliaran di tengah sawah.

Berdasarkan maklumat katanya, semua mereka dikesan memasuki negara ini secara haram melalui ladang tebu Chuping dengan berpan-dukan pengalaman seorang daripada mereka yang dikatakan pernah bekerja di Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata, mereka yang berjalan kaki merentasi ladang tebu Chuping kemudian cuba mendapatkan khidmat beberapa teksi untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, selepas sewa teksi dibayar, kumpulan pendatang itu diperdaya dan ditinggalkan kumpulan pemandu teksi dalam kawasan gelap berhampiran kawasan sawah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, semua yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah. Mereka kemudian dibawa ke Pejabat UPP Kuala Perlis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Pihak berkuasa masih menyiasat dalang yang membantu mereka masuk ke negara ini dan menguruskan mereka ke Pulau Pinang. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...