Thursday, February 18, 2010

Utusan : Lapor kepada Patree masalah PATI

PUTRAJAYA 17 Feb. - Orang ramai yang berdepan masalah pendatang asing khususnya yang berkhidmat sebagai pembantu rumah boleh mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Malaysia Bebas PATI (Patree).

Presidennya, Zul Azhar Cha (gambar) berkata, Patree ditubuhkan tahun lepas untuk memberi khidmat nasihat dan runding cara kepada majikan, pekerja serta orang ramai yang berdepan dengan masalah pekerja asing.

"Patree ditubuhkan untuk melindungi hak majikan terutamanya mereka yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing dan ia boleh dihubungi melalui talian 012-7777548.

"Kita akan berperanan sebagai orang tengah dengan merujuk kes berkenaan kepada agensi yang sesuai untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pendatang tanpa izin di negara ini. Zul Azhar berkata, Patree akan bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membanteras kemasukan PATI ke negara ini.

"Kerjasama daripada orang ramai amat penting untuk membanteras kebanjiran PATI ke negara ini.
"Setiap orang perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika jiran mereka menggunakan pembantu rumah asing tanpa izin," katanya.

Menurutnya, Patree pada masa yang sama turut memberi bantuan kepada pekerja asing yang tertipu atau teraniaya di negara ini.

"Kita akan pastikan gejala penipuan pekerja asing tidak akan berterusan sehingga menjejaskan imej baik negara.

"Kita tidak mahu negara lain berhenti membekalkan pekerja kepada kita kerana tidak puas hati dengan kebajikan rakyat mereka di negara ini," katanya. - Utusan

Wednesday, February 17, 2010

Penyelesaian Isu Pembantu Rumah Indonesia Harus Untungkan Malaysia - Indonesia

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 17 Feb (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata penyelesaian kepada kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia harus menguntungkan kedua-dua belah pihak di Malaysia dan Indonesia.

Katanya di satu pihak, tenaga kerja Indonesia membantu Malaysia dalam pembangunan ekonominya manakala di pihak lain pula Malaysia memberi peluang pekerjaan kepada warga Indonesia, yang kemudian menyumbang kepada ekonomi Indonesia.

Sebagai negara sahabat yang berasal daripada saudara serumpun dan mempunyai banyak persamaan dalam budaya dan bahasa, Malaysia dan Indonesia seharusnya sentiasa menangani apa juga permasalahan yang dihadapi dengan matlamat akhir penyelesaiannya ialah kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyatnya, katanya kepada Bernama selepas mengunjungi Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Marzuki Alie di sini Rabu.

Sehubungan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata cadangan Indonesia supaya gaji minimum RM800 (Rp2.2 juta) sebulan ditetapkan bagi pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia harus dikaji kewajarannya dengan mengambilkira keupayaan majikan di Malaysia untuk membayar upah sebanyak itu dan sama ada upah itu setimpal pula dengan produk yang mereka perolehi.

Indonesia telah menggantung sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sejak pertengahan tahun lepas dan kedua-dua belah pihak masih berunding untuk menandatangani MoU baru bagi penghantaran pekerja domestik itu agar ia lebih teratur dan menjamin perlindungan kepada pekerja dan majikan.

Gaji minimum bagi pembantu rumah di Jakarta turut menjadi isu apabila pihak berkuasa kotaraya ini merancang untuk menetapkan kadar RP1.1 juta (kira-kira RM400) sebagai gaji minimum sebulan.

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris melaporkan hari ini bahawa ramai majikan mengeluh tidak mampu membayar gaji sebanyak itu, walaupun cadangan itu disambut baik oleh kumpulan aktivis buruh.

Beberapa majikan yang ditemuramah akhbar berkenaan menyatakan bahawa kadar itu terlalu tinggi sedangkan pada masa ini mereka kebanyakannya membayar antara Rp400,000 (kira-kira RM160) hingga Rp500,000 (kira-kira RM200) sebulan kepada pembantu rumah masing-masing.

Cadangan pindaan terhadap memorandum persefahaman yang akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia antara lain menetapkan gaji minimum RM550, dengan satu hari bercuti, majikan membuka akaun bank atas nama pekerja mereka dan membenarkan pekerja itu memegang pasport sendiri.

Indonesia bagaimanapun meminta agar gaji minimum itu ditetapkan pada RM800. -- BERNAMA

Mat Afrika buta undang-undang

KUALA LUMPUR: Biadab. Itulah boleh dikatakan terhadap segelintir warga asing terutamanya pemandu golongan Mat Afrika apabila buat tidak endah terhadap peraturan lalu-lintas sehingga tindakan mereka turut menyusahkan pengguna lain.

Tinjauan Harian Metro di Medan Idaman, Batu 5, Jalan Gombak, dekat sini, semalam, mendapati golongan berkenaan seperti ‘buta’ undang-undang apabila meletak kenderaan di bahu jalan yang mempunyai garisan kuning. Mereka kelihatan seperti tidak rasa bersalah apabila meninggalkan kenderaan hampir 30 minit tanpa menghiraukan pengguna lain.

Pemandu teksi, Ali Taib, 39, mendakwa kebanyakan warga Afrika di kawasan itu menggunakan kenderaan ‘uzur’ berumur lebih 10 tahun yang boleh dibeli dengan secara tunai.

“Akibat menggunakan kenderaan uzur itu, mereka tidak mengambil kisah badan kereta sekiranya dilanggar pemandu lain.

“Mereka seperti kebal dengan undang-undang.

Kadangkala tindakan mereka yang meletak kenderaan secara ‘double parking’ (bertindan) turut menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dia mendakwa golongan itu turut memandu secara melulu dan tidak menghiraukan keselamatan kanak-kanak yang berjalan di bahu jalan.

Pengawal keselamatan, Tahir Rudin, 46, mendakwa golongan itu turut memandu secara berbahaya dan boleh mengundang kemalangan terutamanya pengguna pejalan kaki. “Saya tidak yakin mereka (Mat Afrika) mempunyai lesen memandu.

Jika mempunyai lesen memandu di negara ini, pasti mereka akan mematuhi peraturan,” katanya. - Harian Metro

2 warga Pakistan, 1 warga Iran ditahan bawa dadah

SHAH ALAM: Tiga lagi warga asing, dua rakyat Pakistan dan seorang rakyat Iran ditahan dalam tiga kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana didapati membawa dadah yang keseluruhan seberat 10 kilogram dan bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Ketiga-tiga mereka yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Seorang lelaki Pakistan berumur 30 tahun ditahan kira-kira 9.50 malam pada Khamis minggu lalu setibanya dia dengan penerbangan dari Doha, Qatar.

"Setelah diperiksa begnya, didapati 101 paket plastik yang disyaki berisi heroin gred tinggi seberat dua kilogram bernilai RM160,000 disembunyikan di dalam sehelai jaket kulit.

"Pada esok harinya pula, seorang warga Iran berusia 36 tahun turut ditahan setibanya dengan penerbangan dari Dubai pada 8.00 malam.

"Pemeriksaan ke atas ruangan bahagian bawah beg pakaiannya oleh polis, mendapati empat plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 4 kilogram bernilai RM1 juta," kata Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, warga Iran ini telah datang ke Malaysia sebanyak empat kali dan polis sedang menyiasat sama ada sebelum ini dia masuk ke Malaysia dengan turut membawa dadah bersamanya.

Semalam pula, seorang lagi warga Pakistan yang berumur 36 tahun ditahan kira-kira 10.20 pagi setibanya dari Tehran.

Dia didapati turut singgah di Bahrain sebelum itu.

Nordin berkata, empat paket plastik yang disyaki mengandungi heroin gred tinggi seberat 4 kilogram bernilai RM320,000 dijumpai di dalam begnya.

Lelaki ini telah dua kali datang ke Malaysia.

Nordin berkata, polis sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga warga asing ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa yang sejak kebelakangan ini menggunakan warga asing seperti Iran dan Pakistan untuk membawa dadah ke Malaysia melalui KLIA. "Sejak awal tahun ini sehingga semalam, polis telah menahan 44 warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah melalui KLIA," katanya. - Berita Harian

Doktor sukar fahami pertuturan Muntik

SHAH ALAM: Seorang doktor memberitahu perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau sukar memahami bahasa pertuturan Muntik semasa mencatitkan pengakuan pembantu rumah itu bahawa dia didera oleh majikan lelakinya.

Pegawai Perubatan Siswazah Dr Urscilla Jaya, 27, yang bertugas di Jabatan Ortopedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) berkata, penyelianya, Dr M Shujatha terpaksa mengulangi soalan kepada Muntik kerana sukar memahami apa yang dituturkan walaupun pembantu rumah itu menggunakan Bahasa Melayu.

"Bila ditanyakan soalan, pesakit (Muntik) juga mengalami kesukaran untuk memahami soalan kami, jadi kami terpaksa ulangi soalan untuk mendapatkan jawapan daripadanya," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

A Murugan, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada mereka memperolehi jawapan selepas mengulangi soalan kepada Muntik, Dr Urscilla menjawab:“Ya”.

“Saya dengar Muntik beritahu Dr Shujatha bahawa dia dipukul berulang kali oleh majikan lelakinya dengan penyapu dan kayu, dia ditendang dan ditumbuk di bahagian muka, perut dan belakang. Dia juga beritahu bahawa dia dipukul dengan rod besi dan disimbah dengan air panas selain beritahu bahawa majikan lelakinya juga membotakkannya serta dikunci dalam tandas selama dua hari tanpa makanan.

“Dr Shujatha juga ada tanya sama ada dia dirogol oleh majikannya tetapi pesakit (Muntik) menjawab tidak. Saya mencatitkan semua keterangannya dalam nota perubatan sebelum Dr Shujatha kemudian menyemak nota saya sepintas lalu,” katanya.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, beliau berada berdekatan dengan Muntik ketika pembantu rumah itu menceritakan mengenai perkara berkenaan kepada Dr Shujatha dan mengakui bahawa pendengarannya jelas ketika mencatitkan pengakuan Muntik dalam nota perubatan.

Dr Urscilla, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan peguambela tertuduh, V Rajehgopal bahawa segala keterangannya di mahkamah berhubung pengakuan Muntik adalah keterangan yang ditokok tambah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...