Wednesday, February 17, 2010

Patree sedia bantu majikan - Zul Azhar Cha

PUTRAJAYA: Pertubuhan Malaysia Bebas PATI (Patree) sedia membantu majikan yang mempunyai masalah dengan pekerja asing mereka, terutama membabitkan pembantu rumah yang lari atau tidak berkualiti, kata Presidennya, Zul Azhar Cha.

"Bukan saja pembantu rumah, malah semua sektor termasuk perladangan dan perkilangan. Sekiranya apa yang dijanjikan dalam perjanjian tidak ditepati, anda boleh bawa perjanjian tersebut kepada kami, dan kami akan kaji dan bincang dengan agensi yang terbabit," katanya di sini, hari ini.

Zul Azhar berkata, pertubuhan yang ditubuhkan tahun lalu itu bertujuan membantu kerajaan membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Beliau berkata, rakyat juga perlu bekerjasama membanteras gejala itu dengan membuat laporan sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenainya.

Patree juga sedia membantu mana-mana pekerja asing yang dianiaya dan sebarang maklumat hubungi melalui talian 012-777 7548. - Berita Harian

Lambakan warga asing luar biasa


WAJAH warga asing begitu menyerlah di kawasan kaki lima berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.


PUTRAJAYA 16 Feb. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut dengan lambakan warga asing yang disifatkan beliau luar biasa.

Fenomena tersebut, katanya, semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.

Menurut beliau, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing berada di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.

“Dalam tempoh cuti umum sempena sambutan Tahun Baru Cina, saya berkesempatan meninjau sendiri suasana di ibu negara.

“Sememangnya amat jelas setiap kali cuti umum yang panjang khususnya apabila rakyat tempatan balik ke kampung, ibu negara akan dibanjiri oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, hasil tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka bukan pelancong asing tetapi mendakwa bekerja di negara ini secara sah.

“Saya mendapati keadaan ini sebagai luar biasa dan membimbangkan.

“Berdasarkan pemerhatian rambang, kita dapat melihat sebahagian besar warga asing yang membanjiri ibu negara ini adalah daripada beberapa negara tertentu,” katanya.

Beliau berkata, selain dikhuatiri mendatangkan kesan sosial, isu keselamatan serta ketenteraman awam, keadaan itu boleh menjejaskan imej negara termasuk menyebabkan pelancong asing yang tulen berasa tidak selesa.

Dalam hal ini, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan cadangan awal strategi menangani lambakan warga asing yang akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) pada 22 Februari ini.

Jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hishammuddin berkata, cadangan itu menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang, semakan prosedur kemasukan, penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan.

Jelas beliau, cadangan tersebut akan membabitkan 13 kementerian berkaitan.

“Penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing melalui strategi dan pendekatan yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti pekerja asing dalam negara yang sukar dikesan melalui pendekatan konvensional.

“Sebagai contoh, sungguhpun operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi dijalankan dari semasa ke semasa, namun ia masih belum dapat menangani lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, tambahnya, pemantauan komprehensif hanya boleh dijalankan sekiranya kerajaan memiliki sistem maklumat yang bersepadu.

“Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sekalipun.

“Kita akan membina mekanisme dan sistem yang boleh memantau setiap seorang warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula.

“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, majikan juga memainkan peranan penting bagi memastikan penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan memahami ketegasan kerajaan untuk keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya. - Utusan

Tuesday, February 16, 2010

KDN bina mekanisme pantau warga asing sepanjang berada di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Satu mekanisme dan sistem bagi memantau status setiap warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula akan dibangunkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau berkata, kekerapan penguatkuasaan perlu dimantapkan dengan mekanisme pemantauan yang komprehensif, yang hanya boleh diwujudkan sekiranya mempunyai sistem maklumat yang bersepadu dan berintegrasi.

"Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana.

"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang meninjau sendiri kebanjiran warga asing di ibu negara pada cuti umum sempena Tahun Baru Cina, berkata cadangan mewujudkan mekanisme tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI), yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 22 Februari ini.

Beliau berkata, isu warga asing ini melibatkan bidang tanggungjawab pelbagai kementerian dan agensi, maka adalah perlu cadangan pembinaan mekanisme itu diperhalusi di peringkat JKKPA-PATI yang melibatkan 13 kementerian berkaitan.

Tambahnya, penambahbaikan dalam pengurusan dan pemantauan warga asing melalui pembentukan strategi yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa.

Sebanyak 7,099 kali operasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara sepanjang tahun lepas, yang melibatkan sebanyak 47,310 tangkapan.

Jelasnya, jumlah itu meliputi 26,545 kes masuk ke negara ini secara tidak sah, 8,655 kes tinggal di negara ini selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan.

Sebanyak 6,836 kes melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan, 669 kes menggunakan atau memiliki pas atau permit palsu atau dipinda dan selebihnya 4,605 melibatkan lain-lain kesalahan.

Katanya lagi, para majikan yang mengambil pekerja asing juga akan dilibatkan dalam usaha membendung permasalahan ini kerana majikan memainkan peranan yang penting dalam memastikan agenda penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan. - Utusan

Buruh asing mati dikelar


KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Indonesia ditemui mati dikelar di leher dan perut terburai dalam kejadian di tingkat 4, bangunan pembinaan pangsapuri 19 tingkat di Batu Muda, Sentul di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pihaknya dimaklumkan oleh beberapa pekerja di tapak pembinaan berhubung penemuan mayat mangsa, Mat Aspaim, 33, dalam stor tingkat terbabit.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mendapati kejadian berlaku dipercayai dalam tempoh empat jam sebelum mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemui.

“Pemeriksaan ke atas mayat menunjukkan mangsa mati kerana cedera parah akibat dikelar dengan senjata tajam di perut dan leher.

“Selain itu, polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong sayur berhampiran mayat dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zakaria berkata, pihaknya sudah memperoleh maklumat berhubung suspek yang terbabit dalam kejadian, disyaki rakan sekerja kepada mangsa.

“Polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali selain motif awal dikenal pasti, akibat perbalahan kerana mangsa dipercayai kerap mengganggu isteri suspek,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang giat memburu suspek dan isterinya, termasuk beberapa rakan mereka yang turut menghilangkan diri selepas kejadian.

Menurutnya, setakat ini, polis menahan lima pekerja di tapak pembinaan itu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa berasal dari Jawa timur itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan menjurus mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa sudah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata di Indonesia. - Sinar Harian

Pendatang asing mula serah diri

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berpuas hati dengan jumlah pendatang tanpa izin dan majikan yang 'menyerah diri' sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata sambutan menggalakkan itu berikutan 'tempoh pendidikan yang diwujudkan untuk mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan kepada pendatang dan majikan yang menyerah diri sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan.

"Kita harap lebih ramai yang tampil menyerah diri dan kita akan pertimbang untuk beri hukuman yang ringan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Jabatan Imigresen serius dalam menangani masalah ini, kalau boleh kita mahu negara bebas daripada pendatang tanpa izin ini dan ini adalah antara usaha kita membanteras isu ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai semalam bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Pendatang asing yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat.


Majikan yang didapati melindungi pendatang pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan rayuan daripada pelbagai pihak kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Abdul Rahman berkata, usaha membanteras pendatang asing dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan mereka yang semakin berleluasa tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Walaupun operasi besar-besaran ini ditangguhkan, tidak bermakna kita tidak membuat operasi langsung.

"Operasi penguatkuasaan tetap diteruskan seperti biasa sehingga kita mendapat keputusan Menteri untuk melaksanakan operasi besar-besaran itu," katanya. - Berita Harian

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...