Thursday, December 3, 2009

Pembantu rumah dipenjara 36 bulan culik anak majikan

SHAH ALAM 2 Dis. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menculik anak majikannya berumur dua tahun tujuh bulan di sebuah apartmen di Seksyen 13 di sini bulan lalu.

Majistret Norkamilah Aziz memerintahkan Suparmi Lamidi, 50, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 19 November lepas.

Tertuduh mengaku bersalah menculik Siti Nurdiana Aung Soe @ Husin daripada jagaan ibunya, Haslinda Damanik tanpa persetujuannya di No. 908, Brunsfields Riverview Apartment, Jalan Yoga 13/42, Seksyen 13, kira-kira pukul 7 petang, 17 November lalu.

Suparmi didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian Haslinda bersama suaminya keluar dari rumah untuk bekerja dengan meninggalkan Siti Nurdiana bersama Suparmi kira-kira pukul 6.30 pagi.

Sekembalinya ke rumah kira-kira pukul 7 petang, mereka mendapati Siti Nurdiana dan Suparmi telah tiada dan usaha untuk mencari anak mereka gagal.

Berdasarkan siasatan polis, kira-kira pukul 6 petang, 18 November lalu, seorang lelaki menjumpai Siti Nurdiana berhampiran sebuah kedai yang berdekatan dengan stesen kereta api Batu Tiga di sini.

Suparmi seterusnya ditangkap kira-kira pukul 10 pagi, 19 November lepas di Jalan Haji Hussein 2, Kuala Lumpur hasil maklumat orang ramai yang tahu mengenai kes culik itu melalui hebahan media massa.

Siasatan juga mendapati tertuduh bekerja dengan Haslinda serta suaminya kira-kira dua bulan setengah dan tugasnya ialah untuk memastikan keselamatan Siti Nurdiana sewaktu majikannya keluar bekerja.

Tertuduh bagaimanapun melarikan mangsa yang masih kecil yang tidak mampu untuk menjaga keselamatan diri sendiri serta meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian di tempat awam tanpa memikirkan keselamatannya.

Terdahulu, Suparmi yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

''Saya ada ibu yang sudah tua dan saya sudah lama tidak balik ke kampung saya. Pohon hukuman saya diringankan,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes iaitu mangsa yang masih kecil telah ditinggalkan bersendirian di tempat awam.

''Ibu bapa mangsa telah memberi sepenuh kepercayaan kepada tertuduh untuk menjaga mangsa tetapi dia gagal melaksanakannya dengan meletakkan mangsa dalam bahaya.

''Oleh itu saya pohon mahkamah menjatuhi hukuman yang akan menjadi amaran dengan mengambil kira kesulitan yang dihadapi ibu mangsa dan saya percaya kejadian itu telah mendatangkan trauma kepada mangsa dan keluarganya,'' katanya. - Utusan

Wednesday, December 2, 2009

Denak karaoke, bagaimana boleh jadi begini?

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my



SUBANG JAYA: Pakej karaoke seks. Itu tarikan istimewa ditawarkan sebuah pusat karaoke eksklusif di sini, yang menyediakan wanita muda di kalangan ‘pelajar’ China, bukan saja sekadar untuk menemani sesi karaoke, malah memberikan khidmat seks kepada lelaki hidung belang.

Difahamkan, kebanyakan pelanggan pusat hiburan terbabit terdiri daripada golongan profesional termasuk peguam dan ahli perniagaan, malah ada juga kenamaan yang bergelar Datuk.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu berakhir apabila premis yang berdekatan sebuah hotel terkemuka di sini diserbu polis dari Bukit Aman, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam itu, 28 pelacur warga China ditahan ketika asyik melayan pelanggan masing-masing.

Menurut sumber polis, ketika ditahan semua wanita berusia 20 hingga 30 tahun itu memberitahu mereka pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang.

“Semua mereka yang ditahan didapati memasuki Malaysia secara sah menggunakan visa pelajar.

“Dengan bayaran RM200 sejam, pelanggan yang kebanyakan terdiri daripada golongan profesional bukan saja dapat menikmati layanan manja teman untuk berkaraoke, malah boleh melakukan hubungan seks dalam bilik karaoke terbabit,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan, hampir 30 pelanggan yang berada dalam pusat karaoke terbabit terdiri daripada golongan profesional termasuk warga negara jiran.

Difahamkan, ketika premis berkenaan diserbu, kebanyakan pelacur yang berselindung di sebalik status pelajar itu berpakaian mencolok mata dan dalam keadaan mengghairahkan.

Malah, ada antara mereka sengaja tidak memakai pakaian dalam bagi menarik perhatian dan seterusnya menggoda pelanggan yang melanggani mereka.

Sumber itu berkata, premis terbabit sudah diserbu tiga kali sepanjang tahun ini dan serbuan kelmarin mendapati taukenya berlainan daripada pemilik sebelum ini.

“Semua ‘pelajar’ yang ditahan itu dibawa ke Bukit Aman untuk disiasat mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas pelajar,” katanya.

Difahamkan, premis terbabit diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian Haram dan Maksiat (D7) Bukit Aman, selepas membuat risikan sejak dua minggu lalu. - Harian Metro

Tuesday, December 1, 2009

Gaji pembantu rumah Indonesia mengikut perjanjian lama

KUALA LUMPUR 1 Dis.- Sehingga kini Malaysia dan Indonesia masih mengguna pakai perjanjian persefahaman (MoU) mengenai pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 13 Mei 2006, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, berdasarkan perjanjian itu penetapan gaji pembantu rumah ditentukan melalui persetujuan di antara majikan dan pembantu rumah berkenaan yang termaktub dalam kontrak pekerjaan.

Beliau berkata, isu berkaitan dengan desakan untuk menetapkan gaji yang lebih tinggi kepada pembantu rumah Indonesia tidak pernah dibangkitkan secara rasmi oleh kerajaan Indonesia.

"Perkara ini hanya dilaporkan secara meluas oleh pihak media sedangkan kerajaan Malaysia tidak pernah menerima sebarang desakan atau permohonan daripada kerajaan Indonesia,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu pendirian kerajaan berkaitan tuntutan gaji pembantu rumah Indonesia yang kini dianggap

“amat mahal” serta kemudahan bercuti di hujung minggu.

Sehubungan itu Maznah berkata, kementerian berpendapat bahawa soal desakan untuk menetapkan gaji pembantu rumah yang lebih tinggi tidak timbul. - Utusan

1.5 juta pekerja asing dalam negara

TEMERLOH 1 Dis. - Sehingga kini terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor dalam negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan penurunan ketara berbanding jumlah dua juta pekerja asing yang bekerja dalam negara tahun lepas.

Menurutnya, ketika ini masih ada kalangan syarikat swasta yang memohon untuk mendapatkan khidmat pekerja asing terutama di sektor perladangan, namun kerajaan tidak menggalakkannya.

"Kerajaan tidak menggalakkan pengambilan pekerja asing dalam jumlah yang banyak kecuali dalam bidang-bidang tertentu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan tahunan Kuil Sri Maha Lingeswarar di Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan setakat ini masih lagi membenarkan pengambilan pekerja asing dari China, India, Filipina, Nepal, Indonesia dan Thailand tetapi hanya dalam bidang tertentu seperti kejuruteraan bagi menampung keperluan. - Utusan

Pemerdagangan Orang, 88 Ditangkap Dan 39 Didakwa

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Sejak Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dikuatkuasakan, seramai 88 individu ditangkap dan 39 didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan manakala lima orang telah disabitkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah menjalankan siasatan ke atas dakwaan berkaitan penglibatan penjawat awam dalam pemerdagangan pelarian Myanmar.

"Sehingga kini terdapat satu kes pendakwaan berkaitan dengan isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Lim mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil yang dicapai dan jumlah tangkapan serta dakwaan mahkamah dibuat untuk mengelakkan Malaysia disenaraikan lagi oleh negara asing sebagai sebuah negara yang giat dalam memperdagangkan dan penyeludupan manusia.

Hishammuddin berkata kerajaan memandang serius jenayah pemerdagangan orang dan menghargai keprihatinan anggota Parlimen dalam menangani isu ini dan terhadap imej Malaysia yang diturun taraf kepada Tier 3 dalam Laporan Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang 2009.

Beliau berkata kesungguhan Malaysia menangani isu itu telah dimanifestasikan dengan mewujudkan akta berkenaan yang diluluskan pada 24 April 2007 dan berkuatkuasa sepenuhnya mulai Februari 2008.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah mengarahkan supaya kes-kes berkaitan warga asing kecuali kesalahan-kesalahan jenayah yang jelas di bawah akta-akta lain seperti bunuh dan mengedar dadah, disiasat terlebih dahulu di bawah Akta Antipemerdagangan Orang.

Untuk mempergiat usaha memerangi jenayah ini, Hishammuddin berkata Majlis Antipemerdagangan Orang telah melaksanakan beberapa dasar dan mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya mewujudkan Pelan Tindakan Strategi Antipemerdagangan Orang Nasional yang menggariskan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun bagi memantapkan penguatkuasaan dan pelaksanaan usaha membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

Selain itu, katanya, kerajaan mewujudkan jaringan kerjasama dari segi perkongsian dan pertukaran maklumat serta risikan antara agensi-agensi penguatkuasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Dalam konteks antarabangsa juga, saya ingin menegaskan bahawa isu pelarian Myanmar khususnya Rohingya bukanlah masalah yang boleh ditangani sendiri oleh Malaysia kerana ia merupakan isu serantau dan antarabangsa.

"Ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Proses Bali peringkat menteri pada Mac 2009. Isu ini harus ditangani dengan teliti dengan menyelesaikan punca sebanrnya," katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia juga akan memperhebatkan operasi laut dari segi pemantauan dan penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin di semua laluan yang sering digunakan untuk tujuan kegiatan penyeludupan manusia.

"Bagi mengatasi kelemahan dan kekaburan yang terkandung dalam peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang 2007, Jawatankuasa Perundangan yang diketuai Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji semula dan merangka pindaan ke atas akta ini dalam aspek perundangan, penguatkuasaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Antara aspek penting yang turut dikaji adalah cadangan untuk memasukkan kesalahan penyeludupan manusia ke dalam akta ini, katanya. -- BERNAMA

Labels

. KEMENRETIAN SUMBER MANUSIA (2) 6P (15) Afghanistan (2) Ampang Jaya (1) apjati (1) APMM (2) ATM (1) Bangladesh (4) BEAM (3) Bebas-PATI (1) biometrik cap jari (1) Bot Karam (1) Bukit Kayu Hitam (1) China (1) CLAB (1) Dadah (2) DANGEROUS (1) DIFFICULT (1) DIRTY (1) Filipina (1) GRO Asia Barat (1) GRO Warga Asing (3) Hishammuddin (1) i-kad (1) Imigresen (6) IMIGRESEN JOHOR (1) INDIA (1) Indoneisa (2) Indonesia (7) izat emir (1) JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA (3) KDN (26) Kemasukan 1.5juta Pekerja Asing Dari Bangladesh (1) kEMENTERIAN DALAM NEGERI (2) Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee (1) KSU (1) KUANTAN (1) Langkawi (1) LEVI (1) Lombok Agreement (1) MAJIKAN (1) malaysia (4) MAPO (1) MBAM (1) Myanmar (3) najib tun razak (4) Nepal (1) Nigeria (1) Operasi (1) OSC (1) papa (1) PATI (30) PBT (1) PDRM (1) Pekerja Asing (12) Pekerja Asing Indonesia (1) Pelacur (1) Pelajar Asing (2) Pemalsuan Pasport (1) Pembantu Rumah (9) Pembantu Rumah Tangga (1) Pemerdagangan Manusia (4) Penduduk Tetap (1) Pengawal Keselamatan (1) Pengemis Warga Asing (1) perdanasama (1) PERTUBUHAN Bebas-PATI 1MALAYSIA (3) pikap (1) presiden susilo (1) PRT (2) raja zulkepley dahalan (1) Rela (1) Sedili Besar (1) Shahrizat Jali (1) SPA (1) SPRM (1) Sri Lanka (1) Stesyen minyak (1) susilo (2) Susilo Bambang Yudhoyono (1) Tan Sri Mahmood Adam (3) Teluk Semayong (1) Thailand (1) TKI (3) Vietnam (1) VISA Pelajar (1) Warga Asing (5) Warga Asing - Dadah (1) Warga Asing Meninggal (1) Warga Indonesia (1) ZAHID HAMIDI (2) ZUL AZHAR B CHA (3)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...